Bujang merebahkan diri di sisi Chendana.Melihat tindakan berani suaminya itu,Chendana lekas-lekas meletakkan bantal dakap memisahkan mereka lalu mengerengkan badannya membelakangi Bujang,dadanya berombak kencang. “Cepat benar Awang Kerambit balik tadi,tak sempat kita berbual panjang,”Bujang mendedahkan sambil baring terlentang meletak tangan di bawah kepala. “Mana abang tahu Awang Kerambit itu Chendana?”tanya Chendana perlahan,badannya masih diam membatu,hanya dadanya turun-naik menahan perasaan. “Masakan seorang suami tidak mengenali isterinya sendiri,”ujar Bujang.”Lagi pun, kerambit abang asalnya dua bilah.Sebilah abang simpan,sebilah lagi abang hadiahkan pada Chendana.” “Chendana masih lagi ingat malam itu,”Chendana baring melentang pula tetapi masih segan memandang pada suaminya.”Chendana terlena ketika menunggu abang. Kesal juga rasanya kerana sehingga sekarang Chendana masih perawan.” “Bukankah sebelum itu kita memadu kasih hingga ke subuh?”Bujang terkejut. “Abang tersalah sangka,”Chendana menafikan.”Mungkin abang bersama Teratai atau Balqis. Chendana masih lagi suci seperti dahulu.” “Mungkin juga,”Bujang cuba mengingat kembali peristiwa itu tetapi gagal. Yang masih diingatnya,mereka telah belayar sepanjang malam dan mengecap kepuasan yang tidak terhingga di dalam kegelapan itu. “Abang,”tanya Chendana perlahan.”Kenapa abang mengawini Kak Teratai?” “Kerana Teratai seorang janda yang perlukan belaian dan kasih-sayang,”jawab Bujang. “Tunku Balqis bukan seorang janda,”Chendana memulangkan paku buah keras. “Balqis seorang puteri raja,”Bujang menegakkan kebenarannya.”Menolak titah Sultan bererti mendurhaka.Orang yang mendurhaka,hukuman pancung balasannya.” “Kenapa pula abang mengawini Chendana?”Chendana memasang jerat. “Waktu itu kita bukan muhrim,Chendana,”Bujang menjelaskan.”Kita tidak ada pertalian darah sedikit pun.Biarpun kita mengaku adik-beradik,yang haram tetap haram. Jalan yang terbaik bagi kita ialah berkahwin.” “Jadi,abang mengawini Chendana bukan kerana cinta?”jerat Chendana mengena. Bujang terdiam seketika mencari modal mematahkan hujah isterinya. “Cinta,kasih dan sayang letaknya di hati,bukan dilahirkan dengan kata-kata,”katanya berterus terang.”Tinggi atau rendahnya martabat seseorang adalah terletak di hujung lidahnya sendiri.” “Abang bukan sahaja bijak bermain senjata,tapi bijak juga bermain kata-kata,”Chendana memuji suaminya.”Sekeras-keras kerak nasi,akhirnya lembut juga.” “Tapi abang ini ayam jantan,di mana ada ayam betina,di situlah abang hinggap,”Bujang memulangkan paku buah keras, mengungkit kembali peristiwa di dusun. “Abang menyindir Chendana,ya?”Chendana memeluk bantal dakap sambil memerhati suaminya.”Hati yang sedang panas,akan mengatakan apa sahaja. Tapi sekarang,Chendana sudah sedar dan insaf.Lupakan sahaja perkara itu,yang berlalu biarlah berlalu,kita buka lembaran baru.” “Untuk membuka lembaran baru,bolehkah diubah sempadan negeri?”Bujang memalingkan badan memegang bantal dakap yang memisahkan mereka. “Silalah ubah sempadan negeri,bercucuk-tanam sesuka hati,”balas Chendana dengan manja, matanya tiba-tiba bersinar galak,sambil menyerahkan bantal dakap itu. Bujang mengambil bantal dakap itu lalu ditolaknya ke tepi.Dia memandang tepat ke wajah isterinya dan mata mereka bertentang dalam debaran jantung yang bergelora hebat. “Abang…,”suara Chendana perlahan sekali,bagaikan tidak tertahan lagi. “Kenapa,sayang?”Bujang berbahasa seperti kumbang menyeri bunga. “Chendana malulah,”bisik Chendana.”Tolong padamkan lilin itu.” “Baiklah,”ujar Bujang.Bujang melontar bantal dakap itu ke arah lilin.Lilin pun padam. Dalam kegelapan itu,dua pasang bibir bercantum,dua badan berpadu satu.Sepanjang malam itu,katil tidak henti-henti bergoyang,diselang-seli dengan bunyi nafas masing-masing,suara keluhan dan rengekan,sekali-sekala kedengaran suara mengerang penuh nikmat.Ketika kokokan ayam berderai-derai menandakan subuh sudah menjelma,mereka berpelukan dalam kain selimut,badan masing-masing basah bersimbah peluh.Mereka berihat melepaskan penat. “Alangkah nikmatnya,terasa macam di syurga,”Bujang mengeluh kepuasan. “Ala abang ni,janganlah cakap macam tu,…malulah,”bisik Chendana dalam kegelapan itu. “Mari kita pergi mandi dan sembahyang subuh.” “Lepas itu?”Bujang menatap wajah isterinya penuh makna. “Lepas itu,…lepas itu,…kita bersiar-siar di taman,”balas Chendana sambil mencubit hidung suaminya. Pagi itu hari Isnin 12 Zulkaedah 1062 Hijrah(4 Oktober 1652M),mereka meraikan kegembiraan mereka dengan bersiar-siar di dalam taman di belakang rumah. Sambil memeluk pinggang Bujang,Chendana berpantun,”Nyiur gading puncak mahligai,buat ketupat berisi inti,hancur-daging tulang berkecai,kasih-sayang sampai ke mati.” Mereka berhenti di tepi sungai.Bujang mengikur senyum mamandang wajah isterinya. “Buat ketupat berisi inti,santapan puteri muda remaja,sudah dapat hajat di hati,seumur hidup ingin bersama,”dia membalas pantun yang dijual. “Abang bukan sahaja bijak berkata-kata,tetapi bijak juga bermain pantun,”puji Chendana. Mereka duduk di atas bangku di tepi sungai,memandang arus mengalir deras. “Sekian lama kita menanti,akhirnya sama-sama dapat merasa,”kata Bujang. “Menanti bulan jatuh ke riba,menanti bintang terang cahaya,”sambut Chendana. “Menanti malam menjadi siang,menanti kelam bertukar terang,”sambung Bujang. “Menanti bunga kembang menguntum,menanti budi mesra bercantun,”balas Chendana. “Menanti fajar menyingsing awal,menanti kita makan sepinggan,”akhiri Bujang. “Oh abang,”Chendana terus memeluk suaminya dengan penuh kasih-sayang. Tidak jauh dari taman itu,Mak Siti yang sedang memetik pucuk putat untuk dibuat ulam ternampak merpati dia sejoli itu di atas bangku di tepi sungai.Dia tersenyum lebar,terkenang-kan zaman mudanya dulu.Dia segera berjalan menikus pergi dari situ. “Sudah kau jalankan perintah yang diberi?”tanya Temenggung dari atas tangga. “Sudah,Orang Kaya,”jawab Lela Wangsa yang berdiri di halaman mengadap Orang Kaya Temenggung.”Hamba sudah hantar utusan menemui Engku Kelang,Bendahara Sekudai, Menteri Akhir Zaman dan Johan Pahlawan Lela Perkasa. Terang-terang tanah tadi,mereka sudah bertolak.” “Moga-moga tidak terlambat,”kata Temenggung penuh harapan. “Mana Tengku Panglima Agung,Orang Kaya?”tanya Lela Wangsa memandang sekitar. “Ada di belakang,dalam taman agaknya,bersama Chendana,”Temenggung melihat isterinya tergesa-gesa menuju kemari.”Di depan dia jangan dipanggil Tengku,pantang baginya. Dia lebih suka dipanggil Panglima.” Mak Siti datang membisikkan sesuatu ke telinga suaminya.Temenggung tersenyum lebar memandang Lela Wangsa yang kebingungan.”Kusangka retak menanti belah,rupanya carik-carik bulu ayam,”katanya berfalsafah,menyebabkan Lela Wangsa bertambah bingung. “Abang,”Mak Siti mencuit lengan suaminya dan menunjuk ke hujung halaman. Lela Wangsa dan Temenggung sama-sama memandang ke sana. “Yamtuan Muda Ibrahim,”tiba-tiba Temenggung terasa sirihnya kelat lalu diludahnya, “ Bersama Paduka Raja Laksamana dan Seri Bija Diraja,”Lela Wangsa juga meludah. “Ambilkan baju abang,”seru Temenggung sambil bangun dan turun dari tangga. Bila Yamtuan Muda Ibrahim tiba di halaman rumah itu bersama Laksamana dan Seri Bija Diraja,Temenggung sudah siap menyarungkan baju layang sekadar menutup bahagian atas tubuhnya manakala Lela Wangsa berada di tepi sungai memerhati arus yang tiba-tiba menarik minatnya. Mak Siti pula ke belakang rumah member makan ayam-itik. “Tuanku,”Temenggung menyusun sembah menyambut Yamtuan Muda Ibrahim manakala Laksamana dan Seri Bija Diraja tidak diendahkan langsung. “Orang Kaya Temenggung,”tegur Yamtuan Muda.”Sunyi sahaja di sini.Mana pergi anak dan isteri? Beta tak nampak pun Tun Chendana.” “Ada di belakang,Tuanku,”jawab Temenggung acuh tak acuh.”Oh ya,terima kasih kerana menjemput kami suami-isteri ke majlis santapan semalam.Patik terhutang budi.” “Yamtuan Muda ni datang nak tengok Tun Chendana,”sampuk Laksamana. “Semalam tak ada di istana,pagi ini pun tak ada juga,”rungut Seri Bija Diraja pula. “Mana Tun Chendana?Panggil dia kemari!”perintah Laksamana mengurut misainya. “Lela Wangsa,”Temenggung memberi isyarat supaya memanggil anaknya Chendana. Tanpa banyak soal,Lela Wangsa terus beredar pergi menuju ke belakang rumah. “Sudah Orang Kaya beri kata pemutus?”tanya Yamtuan Muda. “Tentang apa,Tuanku?”Temenggung pura-pura tidak tahu. “Tentang apa lagi,tentulah tentang perkara beta hendak meminang Tun Chendana,.” “Oh,tentang itu,”Temenggung pura-pura baru ingat.”Kata pemutus di tangan anak patik. Kalau dia sudah menolak,takkan patik hendak memaksanya pula.” “Orang Kaya sebagai ayah berhak memaksanya,”balas Yamtuan Muda.”Untuk kebahgiaan-nya juga.Apa kurangnya beta?Apa lebihnya calon lain?” “Anak patik tidak ada calon lain lagi,Tuanku,”Temenggung membetulkan. “Hah,kalau begitu,apa salahnya beta jadi calonnya,”Yamtuan Muda menyarankan. “Perkara itu bukan patik yang membuat pilihan,”Temenggung menolak dengan lembut. “Apa lagi yang Temenggung cari?”herdik Laksamana.”Apa kurangnya Yamtuan Muda ini? Orangnya kacak lawa,masih muda,bangsawan dan hartawan.Apa,Temenggung tak suka ber-menantukan bakal Sultan Johor?” “Nampaknya Laksamana tak faham bahasa,”sindir Temenggung,suaranya mengeras. “Apa kau cakap?”Laksamana menyambar hulu keris panjangnya,misainya bergerak-gerak. “Orang Kaya,Tun Chendana sudah datang,”pekik Lela Wangsa dari hujung halaman. Laksamana tidak jadi menghunus kerisnya.Dia tersenyum sumbing melihat Chendana. Pagi itu Chendana berpakaian cantik dengan baju kurung dan selendang. Tetapi Chendana bukan datang seorang.Sebaliknya Bujang turut sama menemaninya. Bujang berpakaian seperti pendekar tetapi hanya memakai keris pendeknya. Melihat menantunya turut hadir,Temenggung bagaikan mendapat kekuatan baru. Begitu juga Lela Wangsa yang tampil berdiri di sebelah Temenggung. Chendana menggigit bibir melihat Seri Bija Diraja menghampirinya. “Apa halnya ini,Hang Jana?”bisik Chendana pada Seri Bija Diraja. “Jangan panggil aku Hang Jana,”marah Seri Bija Diraja.”Yamtuan Muda nak tengok kau.” “Tengoklah puas-puas,”balas Chendana bena tak bena lalu mendapatkan emaknya yang baru muncul dari belakang rumah. “Siapa orang muda itu?”tengking Laksamana menjegil pada Bujang.”Halau dia!” “Hamba baru berkhidmat dengan Orang Kaya Temenggung,”jawab Bujang tenang. “Orang baru,ya?”cebik Laksamana.”Apa kerjanya?” “Si-Bujang ini pengawal peribadi patik,Tuanku,”jawapan itu ditujukan kepada Yamtuan Muda walau pun Laksamana yang bertanya.Panas hati Laksamana kerana dilayan begitu oleh Temenggung. Dia mara setapak di hadapan Temenggung. “Sejak bila pula Temenggung mengambil pengawal?”sindir Laksamana. “Sejak kudengar kumpulan Awang Kerambit bermaharajalela di laut,”ujar Temenggung. “Kalau Laksamana menjalankan tugas dan tanggung-jawab dengan sesungguhnya,masalah Awang Kerambit takkan ada.” Laksamana mengalih perhatiannya kepada Bujang.“Betul kau pendekar?Tak nampak macam pendekar pun?” “Jangan dinilai buah pada kulitnya,Datuk,”tegas Bujang. “Seri Bija,ajar pendekar baru ini selangkah-dua seni silat,”perintah Laksamana. Seri Bija Diraja tampil berhadapan dengan Bujang,kerisnya dihunus. “Jangan bimbang,Chendana,”sindirnya.”Aku bukan nak bunuhnya. Aku cuma nak ajar dia macam mana hendak bersilat dengan betul.” “Silalah ajar anak harimau makan daging,”Chendana mempelawa Seri Bija Diraja. Seri Bija Diraja tidak faham kata-kata Chendana itu.Dia terus menikam Bujang.Tiba-tiba satu sepakan kencang hinggap di pergelangan tangannya,menyebabkan kerisnya terpelanting ke tanah.Seri Bija Diraja menghunus badiknya pula,hendak dirodoknya Bujang biar terburai isi perut.Sekali lagi lengannya disepak dan badik itu turut terpelanting ke tanah. “Memadailah pelajaran silat hari ini,”Bujang menyindir Laksamana sambil menghalau Seri Bija Diraja. Seri Bija Diraja pergi mengutip keris dan badiknya. “Bagus,”puji Yamtuan Muda.”Pandai Orang Kaya memilih pendekar handalan.Lega rasa beta kerana tunang beta berada dalam jagaan yang selamat.” “Patik tidak pernah dan tidak akan bertunang dengan Tuanku,apa lagi untuk menjadi isteri Tuanku,”Chendana menjelaskan pendiriannya.”Tuanku hanya bertepuk sebelah tangan.” “Tun Chendana.”marah Laksamana.”Jangan biadap dengan bakal Sultan Johor!Nanti aku tangankan kau!” “Jangan bermimpi di siang hari,Laksamana,”Bujang tampil ke sisi Chendana.”Langkah dulu mayatku sebelum kau sentuh kulit Chendana.” “Berani kau cabar aku?”Laksamana menghunus keris panjangnya menyahut cabaran. “Orang Kaya Paduka Raja,”Yamtuan Muda menghalang Laksamana.”Kedatangan beta kemari hendak melihat Tun Chendana,bukan hendak melihat pertumpahan darah. Mari kita balik.” Yamtuan Muda pun beredar pergi diiringi Seri Bija Diraja.Laksamana menjegil ke arah Bujang seketika,kemudian menyarungkan keris panjangnya dan mengekori Yamtuan Muda. “Itulah Yamtuan Muda Ibrahim sepupumu,Bujang,”Temenggung memperkenalkan. “Tak disangka orang seperti itu mempunyai pertalian darah dengan Bujang,”Bujang berkata dengan nada kesal.Dia mencapai tangan isterinya.Sambil berpegangan tangan,mereka berjalan menuju ke dusun pula.Temenggung dan Mak Siti tersenyum riang melihat kemesraan anak-menantu mereka. “Lela Wangsa,”Temenggung memanggil hulubalang itu.”Bagaimana dengan persiapan khenduri besok. Ada apa-apa yang kurang?” “Setakat ini semuanya sudah dibereskan,”terang Lela Wangsa.”Ayam-itik,beras,garam dan sebagainya sudah disediakan ayah hamba. Seekor lembu akan ditumbangkan malam ini. Cuma hamba ingin tahu apakah Duli Yang Dipertuan akan dijemput sama.” “Tentulah,Lela,”beritahu Temenggung.”Baginda sultan kita.Jemput juga semua Orang Kaya Empat,Orang Kaya Lapan dan Orang Kaya Enambelas.Jemput juga orang-orang dari kampung lain di sekitar Kampung Panchor.” “Kalau begitu,seekor lembu tak cukup,Orang Kaya,”Lela Wangsa mencongak. “Kau buatlah apa-apa yang patut,duit kuberikan.”sahut Temenggung sambil menarik tangan isterinya ke atas rumah. Di dusun buah-buahan,Bujang menarik tangan Chendana lalu menyarungkan sebentuk cincin emas berbatu delima ke jari manis isterinya itu.”Lat-lat dengan jari Chendana.” “Cantiknya…,dari mana abang dapat ni?”jerit Chendana keriangan. “Abang tempah di Kedah,cincin tanda dari abang,”Bujang menyatakan.”Balqis pun ada sebentuk seperti ini.Batunya delima asli dari alam ghaib.” “Patutlah mula-mula tadi Chendana terasa kebas seluruh badan,”jelas Chendana sambil membelek batu cincin itu.”Sekarang tidak lagi.” “Itu tandanya cincin itu sudah sebati dengan diri Chendana,”jelas Bujang pula. Mereka duduk di atas bangku di bawah sepohon jambu yang rendang di pinggir sungai. “Besok hari perkahwinan kita,”Bujang membelai rambut isterinya.”Selepas itu,abang hendak membawa Chendana balik ke Kedah.” “Tak boleh-kah abang menetap di Johor saja?”Chendana agak keberatan.”Abang pun berasal dari sini juga.” “Balqis sudah berbadan dua,”Bujang meluahkan kebimbangannya.”Tidak tergamak abang membiarkan dia keseorangan di saat-saat abang diperlukan.Abang harap Chendana faham.” “Kalau setakat hendak bertandang,tidak mengapa,”Chendana membuat pilihan.”Kunjung-mengunjung perkara biasa. Tetapi untuk menetap terus di Kedah,kampung-halaman Chendana di sini,abang.” “Baiklah,”Bujang mengalah kerana tidak mahu menimbulkan perang mulut lagi. “Tengok di sana,abang,”Chendana tiba-tiba menunjuk ke dalam sungai.”Tidak jauh dari pelantar itu terdapat sebuah lubuk yang dalam.Kata orang,lubuk itu berpuaka.Ada penunggu. Kalau penunggu itu marah,air sungai berpusar-pusar,menarik sesiapa sahaja ke perut lubuk. Ramai juga yang mati lemas angkara penunggu lubuk puaka itu.” “Jangan suka percaya pada perkara yang tahyul,Chendana,”nasihat Bujang. “Chendana bukan percaya,tapi..,”Chendana terdiam sejenak.Kemudian bangun menuju ke sepohon ara,lalu menjual pantun,”Tuai padi antara masak,esok jangan layu-layuan,intai kami antara nampak,esok jangan rindu-rinduan.” Bujang bangun mengikut Chendana lalu menjawab pantun yang dijual sambil berpaut pada dahan ara,”Anak cina pasang lukah,lukah dipasang di Tanjung Jati,di dalam hati tidak berubah,sebagai rambut bersimpul mati.” Chendana bersandar pada seketul batu,memerhati ikan-ikan dalam sungai.Bujang meragut sepohon selasih di tanah,dibawanya kepada isterinya lalu berpantun,”Batang selasih permainan budak,daun selasih dimakan kuda,bercerai kasih talak tiadak,seribu tahun kembali juga.” Chendana memerhati burung-burung berterbangan di seberang sungai,lalu berpantun pula, “Burung merpati terbang seribu,hinggap seekor di dalam taman,hendak mati di hujung kuku, hendak berkubur di tapak tangan.” Bujang menatap wajah isteri kesayangannya,”Kalau Chendana mudik ke hulu,carikan abang bunga kemboja,kalau Chendana mati dahulu,nantikan abang di pintu syurga.” “Chendana pun sama juga,abang,”Chendana memeluk Bujang dengan erat,”Patah galah haluan kemudi,patah di ruang bunga kiambang,kalau tidak bertemu lagi,bulan terang sama dipandang.” Chendana pun menangis teresak-esak. “Eh,kenapa ni,Chendana?”Bujang memegang bahu Chendana dan menatap wajahnya yang basah bersimbah air mata.”Kenapa lain benar bunyi pantun Chendana?” “Entahlah,abang,”Chendana mengesat air matanya dan menyapu pipinya.”Chendana hanya berpantun mengikut kata hati. Asap angin embun berderai,patah galah haluan perahu,niat di hati tak hendak bercerai,kuasa Allah siapa yang tahu.” “Sudahlah,jangan merepek,”tegur Bujang.”Jangan diikut hati dan perasaan,kelak binasa panjang-panjangan.” Bujang memimpin tangan isterinya berjalan pulang.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...