Bab 29

267 10 0
                                    

Di tengah hutan paya,Bujang naik semula ke atas ran selepas menunaikan sembahyang isyak.Dalam kegelapan itu,dia mencari kedudukan yang sesuai untuk melelapkan mata. Tiada apa yang boleh dilakukan melainkan menunggu hari siang.Nyamuk dan agas yang terhidu bau manusia terus menghurungnya tetapi tidak dipedulikan asalkan dia tidak digigit. Binatang juga pandai menghargai nyawa. Dia pun baring di atas lantai ran,sebelah tangan berpaut pada dahan kecil,kedua-dua kakinya yang bercapal itu dibiar berjuntai.Lama juga dia terbaring begitu,namun matanya masih segar membilang bintang di langit.Akhirnya dia bangun menyandarkan diri pada batang pokok,memerhati sekitar sambil memasang telinga. Kata orang,hutan paya seperti itu memang terdapat bermacam-macam jenis hantu dan jembalang.Antara yang diingatnya ialah sejenis hantu yang suka terbang pada waktu malam. dengan tali perut yang terburai mengeluarkan api.Dia tidak ingat nama hantu itu tetapi khabarnya hantu itu suka menghisap darah manusia. Ada juga jembalang air dan hantu tinggi. Termasuk juga penunggu hutan paya yang suka menyamar sebagai perempuan tua bongkok tiga. Fikirannya yang menerawang itu mula memikirkan perkara yang bukan-bukan. Dia pun mengunci semua pancainderanya dengan Ayat Kursi lalu memejam mata sambil melafazkan zikrullah dalam hati untuk melawan segala ingatan yang tidak baik itu.Dia seperti berada di alam lain dan bukan lagi di tengah hutan paya.Telinganya berdesing tetapi tidak sampai menyakitkan.Dalam keadaan antara tidur dengan jaga,wajah Puteri Mayang Sari yang amat cantik itu menjelma lalu berkata padanya,”Di hujung sana ada sebuah teratak.Pergilah.” Bujang tersentak dari lamunannya.Rasanya dia terlelap sebentar sahaja tetapi dilihatnya fajar sudah pun menyingsing di sebelah timur.Keadaan yang gelap pekat sudah bertukar samar-samar,menandakan hari akan siang.Dia teringat dalam mimpinya tadi Puteri Mayang Sari menunjuk ke arah mata terbit. Dia pun turun dari atas ran,menuju ke sampannya dan terus mendayung ke arah yang ditunjukkan melalui celah-celah pokok bakau dan pokok nipah.Dugaannya tidak meleset. Tidak jauh dari situ terdapat sebuah teratak yang agak besar, bumbungnya bumbung atap yang disemat kemas,dinding dan lantainya pula dibuat daripada batang buluh yang dibelah dan diraut nipis. Sebuah telaga turut digali berhampiran teratak itu yang agak tersorok serta dikelilingi pepohon mengkuang. Dia pun naik ke darat selepas tali sampan ditambat pada akar bakau.Sehelai kain basahan yang tersangkut pada ranting pokok bakau diambilnya.Kerana keadaan dalam teratak masih gelap,dia tidak pedulikan. Pagi itu (Rabu 14 Zulkaedah 1062H@6 Okt 1652M),Bujang mandi dan bersembahyang subuh di teratak yang sunyi sepi itu.Ketika hari semakin cerah,dia tidak lupa berwirid dan berdoa.Kemudian,dia duduk bersila di atas lantai buluh itu sambil berzikir panjang sehingga matahari tinggi segalah.Barulah keadaan dalam teratak itu nampak jelas.Seluruh teratak itu penuh dengan pakaian yang tergantung pada alang,kain-kain sejadah yang dilipat kemas,alat-alat senjata serta bahan-bahan makanan yang disusun rapi,seolah-olah didiami manusia. Anehnya,semua pakaian itu berwarna hitam. Apabila ternampak topeng yang tersangkut pada dinding,baru dia sedar dia sudah menemui tempat persembunyian kumpulan Awang Kerambit. Inilah markas rahsia mereka di mana segala rancangan diatur.Ketika dia memeriksa senjata yang dilonggok di tepi dinding,terdengar orang memberi salam dari luar. Dijenguknya menerusi celah dinding.Isterinya Chendana dan Lela Wangsa tercegat di darat,sampan yang mereka gunakan tertambat sebelah sampan Bujang. Dia pun menjawab salam lalu keluar menemui mereka. “Pandai juga Panglima mencari markas Awang Kerambit,”Lela Wangsa memuji Bujang selepas mereka bersalaman. “Yalah,Abang,”sokong Chendana sambil memeluk lengan suaminya.”Kawasan paya ini di-kawal rapi siang dan malam oleh orang-orang kita.Bagaimana abang boleh terlepas?” “Abang tak nampak sesiapa pun sejak petang semalam,”Bujang menjelaskan. “Berani Panglima bermalam di sini seorang diri,”mereka duduk di sebuah pangkin buluh di tepi telaga.”Kawasan paya ini berpenunggu.Ramai orang berfikir dua kali untuk masuk kemari.Sebab itulah,tempat ini kami jadikan tempat persembunyian kami.” “Kau pernah bertemu dengan penunggunya?”Bujang mengusik Lela Wangsa. “Belum pernah,”jawab Lela Wangsa.”Dengar cerita adalah.Tapi rakan-rakan kita ada juga yang terserempak dengan seorang nenek tua yang sudah bongkok tiga.Mungkin juga Nenek Kebayan yang macam di Gunung Ledang tu.Mungkin juga jin atau jembalang.” “Mereka juga makhluk Allah seperti kita,”jelas Bujang. “Chendana ada bawa bekalan dari rumah,”pelawa Chendana.”Abang nak makan?” “Jangan ditanya,Chendana…,bawa saja kemari,”sampuk Lela Wangsa. “Rapat benar kau dengan Chendana,”tegur Bujang sambil melihat isterinya kembali ke sampan mengambil kampit kulitnya dan bekalan makanan. “Chendana bukan orang lain dengan hamba,Panglima.Kami saudara sepupu.” Ketika mereka bertiga duduk bersarapan di atas pangkin buluh,Lela Wangsa pun bercerita dengan lebih lanjut,”Hamba dan ayah hamba memang diutus oleh Sultanah Tajul Alam untuk membantu kerajaan Johor.Tetapi Orang Kaya Temenggung juga berasal dari Acheh.Dia mengikut Almarhum Sultan Abdullah berpindah ke Pulau Tambelan.Dek kerana terlalu lama di Johor,kami terputus hubungan.Bila kami kemari dari Acheh,baru kami tahu rupanya ayah hamba itu adik kepada Orang Kaya Temenggung.Jadi,hamba bersaudara dengan Chendana.” “Kenal arwah emak hamba Chut Narasari?”tanya Bujang ingin tahu. “Sewaktu kecil hamba berkawan dengan Tengku Chut Narasari kerana ayah hamba pengawalnya sebelum dia berpindah mengikut Tengku Abdullah,”Lela Wangsa menghuraikan lagi.”Kalau Panglima belum tahu,arwah ibu Panglima adalah adinda bongsu Sultanah Tajul Alam Safiatuddin Shah atau dikenali juga sebagai Puteri Seri Alam Permaisuri.” “Rupanya kita sama-sama keturunan Acheh,”Bujang menepuk bahu Lela Wangsa. “Bezanya kami rakyat biasa,abang berdarah raja,”Chendana mencelah. “Tidak ada bezanya darah rakyat biasa dengan darah raja,”Bujang membetulkan anggapan itu.”Darah tetap darah,sama-sama berwarna merah.” “Pendapat Panglima jauh berbeza dengan pendapat Yamtuan Muda Ibrahim,”Lela Wangsa membuat perbandingan.”Dia terlalu bangga dengan darah keturunannya.Suka bercakap besar. Meninggi diri.Kononnya dialah yang berhak menjadi sultan Johor dan bukan Sultan Abdul Jalil sekarang.Malangnya,ramai juga yang termakan cakapnya.” Perbualan mereka tiba-tiba terganggu oleh bunyi siulan nyaring dari jauh.Lela Wangsa membalasnya dengan siulan yang lebih nyaring sehingga membengitkan telinga. “Orang-orang kita,Panglima,”Lela Wangsa menjelaskan bila Bujang memandang padanya penuh tanda-tanya.”Ketua lama kami Awang Kerambit minta mereka berkumpul di markas ini untuk membantu Panglima mencari Tambak dan Galak.” “Awang Kerambit?”Bujang menjeling pada isterinya.”Sepatutnya nama itu ditukar kepada Siti Kerambit atau Minah Kerambit,baru sesuai dengan orangnya.” Chendana melepaskan satu cubitan manja ke paha suaminya. Lela Wangsa tertawa melihat telatah pasangan suami-isteri itu.Sebentar kemudian,muncul beberapa buah perahu dan sampan dari celah pokok nipah dan pokok bakau.Bujang membasuh tangan untuk bersalam-salaman dengan mereka. “Rancangan pertama kita ialah membawa balik peti besi khazanah dari Pulau Besar ke mari,”Bujang mengeluarkan kunci peti besi dari tali pinggangnya.”Siapa yang sanggup?” Semua mengangkat tangan hampir serentak. Bujang tersenyum bangga. “Oleh kerana terlalu ramai yang sanggup,perkara ini hamba serahkan kepada Lela Wangsa untuk memilih mereka yang sesuai,”Bujang menyerahkan kunci kepada Lela Wangsa. Bujang memerhati mereka semua yang duduk bertemu lutut di kelilingnya di atas teratak buluh itu.”Perkara yang kedua ialah kapal,”dia meneruskan.”Kita memerlukan beberapa buah kapal atau lancang supaya mudah kita bergerak dan melancarkan serangan. Kapal itu sekali gus menjadi markas kita dan tempat penginapan kita.Sediakan kelengkapan yang cukup umpama berada dalam rumah sendiri.Kita gunakan wang yang sedia ada dalam peti besi itu.Soalnya sekarang,di mana harus kita cari pembuat kapal seperti itu?” “Panglima Agung,”Tok Kilat mengangkat tangan menawarkan diri.”Hamba dengar di Pulau Duyung,Trengganu,terdapat beberapa orang tukang yang pandai membina kapal atau lancang.Oleh kerana hamba dari Singapura,mudahlah hamba ke sana.” “Hamba dari Bentan sanggup membantu Tok Kilat,”Belitong menyokong. “Baiklah,”Bujang bersetuju.”Perkara membina kapal atau lancang ini hamba serahkan kepada Tok Kilat dan Belitong. Perkara lain akan kita bersidang kemudian.” “Panglima Agung,”Tamrin mengangkat tangan.”Bagaimana dengan perkara Tambak dan Galak yang menikam Orang Kaya Temenggung?Takkan kita hendak lepaskan mereka begitu sahaja?” “Tugas itu hamba serahkan kepada kau dan Jerjaka,”Bujang memutuskan. “Bagaimana dengan Laksamana,Panglima?”Tun Berkat bertanya. “Jangan,”Bujang melarang keras.”Laksamana bukan lawanmu. Seri Maharaja dan Seri Bija Diraja juga bukan calang-calang orang.Perkara mereka bertiga,serahkan pada hamba.” “Bagaimana dengan Yamtuan Muda Ibrahim?”tanya Lela Wangsa pula. Bujang mengerling pada Chendana dan termenung sejenak sebelum menjawab,”Kita tengok dulu rentak dan permainannya.” Semua mengangguk tanda setuju dengan keputusan Bujang. “Eh,abang..,bau apa tu?”tanya Chendana,hidungnya kembang-kempis. “Bau macam…macam….,”Lela Wangsa tergagap-gagap. Belum sempat Lela Wangsa menghabiskan kata-katanya,tiba-tiba terdengar ngauman harimau yang kuat yang dari bawah teratak.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now