SEBAIK sahaja matahari naik di ufuk Timur, suara tangisan itu bergema di seluruh ruang istana. Pagi itu merupakan satu pagi di dalam bulan Rabiuawal yang tidak akan dilupakan oleh semua penghuni Gunung Bakar.
Pagi itu, lahirnya seorang putera raja yang akan menjadi simbol kekuatan bagi seisi Nusantara. Gendang dipukul bertalu-talu, semboyan dibunyikan, beduk dipalu tanda meraikan kedatangan putera muda itu.
Pembantu bidan terkocoh-kocoh memanggil Putera Arjuna yang sedari tadi tidak senang duduk memikirkan keadaan isteri dan cahaya mata lelaki mereka itu. Kakanda-kakanda kepada putera muda itu pula berlari seiringan sambil membuntuti ayahanda mereka yang sedang berjalan laju dengan wajah yang gembira. Mereka sejak tadi bersama-sama menanti di taman istana.
Putera Arjuna menolak pintu kamar dan mendapatkan Puteri Awana yang sedang memeluk tubuh kecil putera lelaki mereka dalam keadaan lemah.
Wajah Puteri Awana terlihat senang. Senyuman tidak lekang daripada wajahnya ketika itu.
“Alhamdulillah tuanku. Putera lelakinya sihat walafiat,” ujar bidan istana.“Mari, aku azankan,” kata Putera Arjuna sebelum perlahan-lahan mengangkat bayi yang dibalut di dalam kain putih berlapik selendang emas itu.
“Comel!” kata puteri sulung.
“Comel!” sahut puteri-puteri bersaudara yang lain.
Lelaki berusia 100 lebih tahun itu berjalan ke penjuru kamar dan keluar melewati koridor panjang dan luas yang disimbahi cahaya pagi. Putera Arjuna yang selama ini terkenal dengan kebengisannya, yang tidak pernah tersenyum pada kebiasaannya, menangis ketika mengalunkan azan di telinga kanan putera kecilnya itu. Air matanya tidak semena-mena keluar. Air mata kesabaran yang menanti selama ratusan tahun untuk tumpah, akhirnya berderai jua pada hari keramat itu.
“Anak ini bakal menjadi raja,” gumam Putera Arjuna.
Pada saat yang sama, sebentuk berlian yang berbuah daripada pohon delima yang tumbuh di sebelah makam Puteri Bintang mengeluarkan cahaya kemerah-merahan dan mengejutkan seluruh isi istana. Berlian kemerah-merahan itu bergelora dengan kehangatan yang membara dan menyilaukan. Makam itu adalah makam nenek moyang mereka yang sudah bersemadi ribuan tahun dahulu. Hari itu kemudiannya dipanggil sebagai Hari Kebangkitan Naga. Untuk tahun-tahun seterusnya, hari kelahiran putera raja itu akan menjadi hari perayaan penduduk Puak Bara Pawaka di Gunung Bakar.
“Ini satu petanda!” laung Daim, penasihat diraja. Entah kenapa, dia juga terlajak gembira pada hari itu.
“Berlian yang berbuah pada pohon delima itu, sadurkan dengan emas! Bentukkan menjadi barang perhiasan untuk dijadikan rantai kebesaran untuk putera muda!” suruh Putera Arjuna.
“Apa bentuk yang tuanku inginkan?”
“Simbol kemegahan Bara Pawaka, bintang berbucu tujuh.”
....................
“SUDAH fikirkan nama, kanda?” tanya Puteri Awana. Selepas isyak, puteri-puteri datang berkunjung lagi ke kamar, menziarahi bonda dan adinda lelaki mereka sambil ditemani oleh Putera Arjuna.
“Kanda ingin menamakannya dengan nama seorang sahabat, yang menurut kanda, sedap dan gagah bunyinya.”
“Apa namanya, ayahanda?” tanya salah seorang daripada puteri itu.
“Putera Andika Azran Ibni Putera Arjuna. Nama seorang pahlawan yang sukar dikalahkan. Lebih garang daripada Raja Singa. Lebih tinggi darjatnya daripada Raja Naga.”
“Andika!” laung puteri-puteri bersaudara.
Gelak ketawa mereka kedengaran. Suasana malam itu sungguh permai dan nyaman bagi seluruh isi istana. Aura kegembiraan menemani mereka. Mereka tahu Putera Arjuna sudah lama menginginkan seorang putera, supaya suatu hari nanti, apabila waktu pemerintahan Sultan Sina di Purnama Sari berakhir, Putera Andika boleh menjadi pengganti takhta itu. Selebihnya adalah kemuncak kegemilangan kerajaan ghaib Nusantara yang diimpikannya selama ini.
YOU ARE READING
ANDIKA : Sebuah Kisah Pendek Puteri Bunian Bulan
FantasyMengisahkan tentang kelahiran Putera Andika dan bagaimana baginda membesar menjadi pahlawan teragung Nusantara