Gadis bernama Ratna itu bagaikan tersentak dari lamunan.Begitu juga Bujang.Ratna tersipu-sipu menguntum senyum,menampakkan gigi yang putih bak mutiara,sebelum mengikut ibu dan ayahnya ke dalam kedai makan.Bujang keluar dari situ tanpa menoleh ke belakang lagi,tetapi hatinya terpanggil untuk mengetahui lebih lanjut tentang gadis Bugis bernama Ratna itu. Usianya baru belasan tahun,mungkin lapan belas atau sembilan belas.Tentu seorang puteri raja berdasarkan kepada percakapan pengawal tadi. Puteri Ratna.Ratna sahaja nama panggilan. Kerana senja kian berlabuh,Bujang terus menghala ke mesjid.Baru sahaja menjejak tangga mesjid,tiba-tiba dia disapa dari belakang.”Assalamualaikum,Panglima Agung.” “Waalaikumussalam,”Bujang berpaling untuk melihat siapa yang mengenalinya. “Hamba Tok Kilat,”jelas lelaki separuh umur itu.”Panglima kenal lagi pada hamba?” “Masakan tidak,”Bujang bersalam dengan Tok Kilat.”Salah seorang ahli Kumpulan Awang Kerambit. Tok Kilat tinggal di sini?” “Tidak,”balas Tok Kilat mesra.”Kampung hamba dekat Bukit Larangan tidak jauh dari sini.Hamba baru balik dari Melaka.Apa Panglima buat di sini?” Bujang duduk di atas tangga mesjid.”Hamba hendak ke Melaka mencari isteri hamba yang dilarikan orang.” “Isteri Panglima dilarikan orang?”Tok Kilat terduduk di atas tangga di sebelah Bujang. “Pelik juga.Hamba tidak dengar pun tentang perkara itu ketika di Melaka.Kalau ada,tentu Kartini wakil kita di sana akan memaklumkan kepada hamba. “Mereka dilarikan oleh orang-orang Bugis,”tambah Bujang.”Diupah oleh musuh hamba.” “Orang-orang Bugis?”sekali lagi Tok Kilat terkejut.”Kalau begitu,isteri Panglima tentu dibawa ke Tanah Bugis,bukan ke Melaka.” “Di Melaka banyak kapal saudagar asing,”Bujang menidakkan.”Hamba percaya isteri hamba akan dijual kepada mereka sebagai hamba abdi.” “Di Makasar pun ada kapal asing,”sampuk Tok Kilat.”Kalau isteri Panglima dibawa ke Tanah Bugis,mahukah Panglima mencarinya sampai di sana?” “Biarpun sampai ke hujung dunia,hamba sanggup pergi,”Bujang menegaskan. “Nampaknya Panglima sudah nekad hendak pergi jua ke Melaka,”Tok Kilat kagum dengan semangat dan azam Bujang.”Beginilah,Panglima.Hamba berurusan menjual kelapa kering dengan Nakhoda Mamat.Kapalnya sering berulang-alik antara Sulawesi,Melaka dan Betawi. Sekarang,kapalnya berlabuh di sini dan akan belayar ke Melaka sehari-dua lagi. Panglima bolehlah tumpang kapal itu.” “Kecil tapak tangan,nyiru hamba tadahkan,”Bujang terus menerima tawaran itu. “Nanti hamba pesan pada anak hamba supaya disampaikan hajat Panglima kepada Nakhoda Mamat,”Tok Kilat berjanji.”Malam ini Panglima tidur di mana?” “Di masjid ini sudah memadai,”jawab Bujang dengan tenang.” “Jangan begitu,Panglima,”bantah Tok Kilat.”Bermalamlah di rumah hamba sementara menunggu kapal Helang Laut belayar.Janganlah sampai hendak bermalam di masjid. Malu kalau diketahui rakan-rakan lain.” “Hamba tidak mahu menyusahkan Tok Kilat sekeluarga,”Bujang memberi alasan. “Tak ada susahnya,”balas Tok Kilat.”Anak sulung hamba itu kerap belayar mengikut kapal dagang.Anak-anak lain pula bersama isteri hamba di kampung keluarganya di Bentan.” “Hamba seganlah,Tok Kilat,”Bujang cuba menolak pelawaan itu. “Apa yang nak disegankan?Kita dalam angkatan Fisabilillah sudah mengaku adik-beradik dunia-akhirat,”tegas Tok Kilat.”Mari,Panglima.” Kerana kuatnya desakan Tok Kilat,Bujang tidak boleh berdolak-dalih lagi.Dia pun mengikut sahaja kehendak Tok Kilat. “Tadi hamba terserempak dengan raja Bugis dan anaknya,”Bujang bercerita ketika mereka berjalan menuju ke rumah Tok Kilat. “Oh,itu Daeng Relaku,raja Gowa,”beritahu Tok Kilat.”Anaknya bernama Daeng Ratna Sari.” “Apa yang dibuatnya di sini?”Bujang cuba mengorek rahsia. “Berihat,”jawab Tok Kilat.”Sekarang musim tengkujuh.Laut bergelombang tinggi.Semua kapal yang hendak ke Makasar,Tanjung Pura atau Pulau-pulau Rempah terpaksa berlindung di Kuala Sungai Singapura lebih kurang tiga bulan menunggu pertukaran musim. Ramai orang luar berkampung di sini sebagai tempat tinggal sementara.Sebab itulah ada Kampung Cina, Arab,Jawa dan banyak lagi.” “Kampung Bugis?”Bujang cuba merisik. “Kampung Bugis pun ada,”Tok Kilat memberi jawapan yang dinantikan.”Di situlah Daeng Relaku sekeluarga berkampung bersama para pengawalnya.Malah,turut dibina sebuah istana hinggap lengkap dengan taman larangan berhampiran kawasan air terjun. Hai,ada apa-apa kah Panglima dengan orang Bugis?” “Hamba sekadar ingin tahu,itu sahaja,”Bujang memberi alasan pada usikan Tok Kilat itu. Tok Kilat hanya tersenyum mendengar alasan yang sengaja diada-adakan itu. Hati tuanya yang sudah masak dengan pengalaman hidup dapat menangkap maksud tersirat di sebalik pertanyaan Bujang itu. “Itukah Bukit Larangan?”Bujang mengubah tajuk supaya tidak disyaki Tok Kilat. “Betul,Panglima,”balas Tok Kilat.”Di atas bukit itu terdapat makam Raja Seri Teri Buana, raja beragama Hindu yang mula-mula membuka Singapura.Makam anak-cucunya juga terdapat di situ.Cicitnya yang terakhir ialah Damar Raja Paduka Seri Maharaja,juga disebut Sang Nila Utama.” Sambil berjalan,Bujang mengamati Bukit Larangan yang menyimpan sejarah silam itu. “Anak Damar Raja yang bernama Permaisura itulah yang membuka negeri Melaka setelah diusir dari Singapura oleh armada perang Majapahit,”Tok Kilat bercerita lagi.”Di Melaka, Permaisura memeluk agama Islam lalu menukar namanya menjadi Sultan Iskandar Shah.Dan, dari Melakalah asal-usul kesultanan Johor sekarang.” Mereka tiba di kawasan perumahan yang congkah-mangkih dan dibina rapat-rapat di tepi pantai.Tok Kilat berhenti di sebuah rumah yang agak besar tetapi pintu dan tingkap bertutup rapat.”Nampaknya,anak hamba sudah pergi belayar,”katanya pada Bujang.”Panglima naiklah dulu,buat seperti rumah sendiri. Hamba nak ke kedai membeli sedikit makanan.Kalau hamba bersua dengan Nakhoda Mamat,akan hamba suruh beliau kemari temui Panglima.” “Baiklah,”Bujang akur. Setelah Tok Kilat pergi,dia pun membasuh kaki dan capalnya,lalu naik ke atas rumah itu. Pelita ayan bercorong kaca yang tergantung dari palang kayu di dinding menerangi ruangan dalam rumah.Bujang meletak kampitnya dan menuju ke sebuah tempayan di belakang untuk mengambil wuduk. Ketika Bujang mendirikan sembahyang maghrib dan isyak yang dijamak serta diqasarkan, dia terdengar bunyi tangga dipijak orang.Kemudian orang yang tidak dikenali itu duduk di atas tangga menantinya dalam gelap.Sudah tentu Nakhoda Mamat yang datang menemuinya. Tok Kilat akan terus naik kerana ini rumahnya.Bujang cepat-cepat menghabiskan sembahyangnya. Doanya pun ringkas sahaja kerana hendak melayan tetamu yang datang. “Masuklah,Nakhoda Mamat,”Bujang mempelawa dari atas tikar.”Pintu tidak berkunci.” Bujang terdengar pintu dibuka.Serentak dengan itu,bau semerbak menyerbu masuk menusuk hidung.”Wangi betul Tuan Nakhoda malam ini,”tegurnya tanpa menoleh. “Beta bukan Nakhoda Mamat,”terdengar suara halus membalas tegurannya. Bujang tersentak dan terus memandang ke arah pintu.Puteri Bugis yang terserempak dengan-nya di kedai tadi kini berada di hadapan matanya dengan berpakaian cantik tetapi penuh bersopan,selindang songket kuning berselipang menutupi dadanya. “Beta Daeng Ratna Sari,puteri Daeng Relaku,”gadis itu memperkenalkan dirinya secara rasmi.”Ayahanda beta Raja Gowa yang bergelar Sultan Alauddin dari titisan Daeng Imanariogau Daeng Bonto Karaenglakiung Tunipalangga.” “Panjangnya nama keturunan Tuan Puteri,”ujar Bujang penuh kagum. “Boleh beta duduk?”tanya Daeng Ratna sambil tersenyum simpul.Tanpa menunggu jawapan dari Bujang,Daeng Ratna terus duduk bersimpuh di atas tikar di hadapan Bujang. “Kurang manis dipandang orang kalau seorang gadis berdua-duan dengan jerjaka seperti patik,”Bujang menegur perbuatan Daeng Ratna yang terlalu berani.”Apa lagi kalau gadis itu dari keturunan bangsawan.” “Tidak mengapa,Panglima,”balas Daeng Ratna.”Pengawal beta menunggu di luar.” “Bagaimana Tuan Puteri tahu nama patik?”Bujang bertanya kehairanan. “Orang seperti Panglima mudah dikenali ramai,”Daeng Ratna menggunakan alasan itu. “Ampun patik di atas kejadian di kedai makan petang tadi,”Bujang memohon.”Patik pacal yang hina ini tidak tahu-menahu tentang adat-istiadat orang Bugis.” “Seharusnya beta yang meminta ampun lantaran kebiadaban pengawal beta,”Daeng Ratna memohon pula.”Akan tetapi,bukan sebab itu beta kemari menemui Panglima. Sebetulnya,beta kemari merisik khabar.Beta berkenan dengan apa yang beta lihat.Dan,beta ingin memanjang-kan hubungan siratulrahim antara kita berdua.” “Patik kurang faham maksud Tuan Puteri,”Bujang menyatakan dengan terus-terang. “Panglima akan faham nanti,”Daeng Ratna bangun mengakhiri perbualan.”Kita berjumpa lagi,wahai kekasih hati.Assalamualaikum,kanda.” “Waalaikumussalam…,”Bujang menjawab panjang-panjang,terkesima oleh kata-kata ucapan Daeng Ratna yang tidak disangka-sangka itu.Dia hanya mampu memandang puteri Bugis itu melangkah keluar dan menutup pintu..Setelah gadis itu pergi,dia menarik nafas panjang.Berani betul gadis itu datang menawarkan diri kepada lelaki yang baru dikenalinya.Sementelah lagi lelaki yang sudah lama tidak merasa kehangatan tubuh seorang isteri.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Fiksi SejarahMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...