Bujang mengeluh sendirian lalu memulakan zikrullah yang lazim dilakukannya.Baru separuh jalan,tiba-tiba kedengaran suara orang lelaki memberi salam dari luar.Bujang menjawab salam itu dan lekas-lekas bangun kerana disangkanya Tok Kilat.Bila pintu dibuka,lelaki separuh usia yang tersenyum memandangnya itu tidak dikenalinya. “Tok Kilat tidak ada di sini,”Bujang menyatakan pada lelaki itu. “Tok Kilat yang menyuruh berjumpa Panglima,”lelaki itu memperkenalkan diri.”Hamba Nakhoda Mamat dari kapal Helang Laut. Kata Tok Kilat,Panglima hendak menumpang kapal hamba ke Melaka.” “Memang benar,Tuan Nakhoda,”ujar Bujang.”Silakan duduk.” “Tak apalah,Panglima,”Nakhoda Mamat menolak.”Hamba hendak uruskan pemunggahan barang-barang untuk dimuat ke atas kapal besok.Cuma hamba ingin maklumkan pada Panglima ,pagi lusa kita akan belayar ke Melaka.” “Kalau begitu,tunggu sebentar,”Bujang menahan Nakhoda Mamat yang hendak pergi. “Kenapa,Panglima?”tanya Nakhoda Mamat kehairanan. “Ambil dulu wang tambangnya,”Bujang mencapai kampitnya untuk mengeluarkan wangnya. “Bayar kemudian pun tak apa,Panglima,”sekali lagi Nakhoda Mamat menolak. “Boleh hamba naik ke kapal lebih awal?”Bujang meminta kebenaran. “Terpulanglah pada Panglima,”Nakhoda Mamat memberi keizinan.”Hamba balik dulu,ya? Kita berjumpa nanti di atas kapal.” “Baiklah,”balas Bujang dengan gembira. Tetapi malam itu Bujang tidak jadi ke kapal Helang Laut.Dia terpaksa menghormati Tok Kilat sebagai tuan rumah yang telah bermurah hati menumpangkannya bermalam di situ. Besoknya hari Isnin 24 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan 16 November 1651 Masehi ketika bersarapan di kedai makan,baru Bujang menyatakan hasratnya kepada Tok Kilat. “Kalau begitu,tak apalah,Panglima,”Tok Kilat menerima alasan Bujang dengan hati yang terbuka serta berlapang dada.”Kebetulan hari ini hari Isnin dan hamba pula ada urusan dengan Raja Bendahara di Sekudai,tak bolehlah hamba melayani Panglima berbual panjang.” “Hamba faham,”Bujang menjawab lalu menghabiskan minumannya. Tok Kilat memanggil pemilik kedai untuk membayar harga makanan dan minuman. Baki wangnya dimasukkan kembali ke dalam uncang kecil lalu diikat penutupnya. “Apa ini,Tok Kilat?”tanya Bujang kehairanan bila uncang wang itu dihulur padanya. “Buat perbelanjaan Panglima dalam pelayaran,”jawab Tok Kilat sambil memasukkan uncang wang itu ke dalam kampit Bujang.”Hamba tahu Panglima kekurangan wang.Pemberian hamba itu sekurang-kurangnya boleh meringankan beban Panglima.” “Dengan apalah harus hamba balas budi-baik Tok Kilat,”ucap Bujang dengan terharu. “Anggaplah ini sebagai sedekah jariah dari adik-beradik dan saudara seagama,”balas Tok Kilat.”Hamba pergi dulu,Panglima.Assalamualaikum.” “Waalaikumussalam,”ujar Bujang. Selepas bersalaman,Tok Kilat pun meninggalkan Bujang menuju ke perahu layarnya.Bujang juga bangun mencapai kampitnya tetapi tiba-tiba bahunya dipegang dengan kasar dari belakang. “Duduk dulu,”Bujang dipaksa duduk semula.”Kami ingin bercakap dengan kamu.” Dua orang berpakaian pendekar bersenjatakan pedang duduk di bangku di hadapan Bujang tanpa dipelawa.Wajah mereka yang berjambang dan bermisai nampak bengis serta menakutkan sesiapa sahaja.Tambahan pula mereka membawa pistol yang tersisip di pinggang masing-masing. “Kamu pendekar,ya?”tanya seorang pendekar berbadan besar-tinggi sambil memerhati pakaian serba hitam yang dipakai oleh Bujang. “Hamba tidak membawa keris,”Bujang mengamati wajah mereka.”Ertinya hamba bukan seorang pendekar.” “Jangan cuba berbohong,”jerkah seorang lagi pendekar yang berbadan tegap-sasa.”Kami tahu kamu Panglima Agung.Tadi kami dengar orang tua itu menyebut nama kau. Aku Si-Tora,itu sahabatku Si-Tameng.Kami diupah Holanda untuk membunuh kau,Panglima Agung.” Bujang mengerling kepada pemilik kedai,”Bawakan hamba minuman,”pintanya. Pekedai itu agak hairan dengan permintaan Bujang itu kerana Bujang baru sahaja habis makan dan minum.Tetapi,permintaan itu dipatuhinya.Walau bagaimanapun,bila cawan berisi minuman itu diletakkan di atas meja di hadapan Bujang,dia tidak menyentuhnya. “Sebentar lagi,peluru pistol ini akan menembusi kepala kamu,”Si-Tora menepuk buntut pistolnya penuh bangga.”Apakah kamu tidak takut dan gentar,wahai panglima yang agung?” “Hamba menggigil ketakutan,”kata Bujang sambil mencapai cawan minuman tetapi tidak diminumnya.”Jangan bunuh hamba,kasihanilah hamba.” Si-Tora memandang sahabatnya Si-Tameng dan mereka ketawa terbahak-bahak.Bujang hanya memandang telatah mereka,tangan kirinya memegang cawan minuman,tangan kanannya di bawah meja menggenggam erat kerambit Chendana. “Kepalamu bernilai sepuluh ribu florins,lebih mahal dari nilai tubuh isterimu Si-Chendana itu,”Si-Tameng berkata dengan penuh angkuh.”Selepas kau kami bunuh,isterimu akan kami jadikan gundik sebelum dijual kepada Holanda.” “Anjing yang menyalak tidak akan menggigit,”balas Bujang dengan geram. “Apa?Kau bilang kami anjing?”Si-Tora dan Si-Tameng bingkas bangun menghunus pistol masing-masing sambil menolak meja itu ke tepi.Macam kilat menyambar,Bujang bertindak. Air minuman dalam cawan di tangan kirinya dicurah ke muka Si-Tora.Serentak dengan itu tangan kanannya yang memegang kerambit melibas tepat ke leher S-Tameng.Si-Tora yang kesakitan akibat muka dan matanya terkena air panas juga menerima nasib yang sama. Sekelip mata kemudian,lehernya pula dilibas dengan mata kerambit yang tajam itu. Bujang berundur setapak membiarkan kedua-dua perajurit upahan itu menemui ajal. Pistol sudah terlepas dari tangan Si-Tameng manakala Si-Tora tidak sempat menghunus pistolnya.Masing-masing mencekak leher dan cuba menutup liang luka yang dalam,darah merah memancut keluar dari celah jari mereka.Suara mereka tersekat di kerongkong yang sudah putus.Badan mereka tumbang ke bumi seperti batang pisang,tangan dan kaki menggelepar lemah. Setelah mereka tidak bergerak lagi,timbul kekesalan di hati Bujang.Bukan dia menyesal membunuh mereka kerana darah mereka memang dihalalkan.Tetapi dia menyesal kerana terlalu terburu-buru bertindak.Jika mereka dapat ditangkap hidup-hidup,tentu mereka boleh membantunya mencari Chendana di Melaka.Sekarang,rahsia itu mereka bawa sampai ke mati. Bujang mara mengesat darah di kerambitnya pada baju salah seorang dari musuhnya yang telah kaku itu.Kerambit itu diselit kembali di celah ikat pinggangnya.Pistol Si-Tameng yang terjatuh itu diambilnya.Kemudian,dihunusnya pula pistol milik Si-Tora.Waktu itu,orang ramai mula berkerumun melihat kedua-dua mayat itu.Bujang membuka kampit kulitnya.Pistol dua pucuk itu disimpannya,dikeluarkan pula kedua-dua bilah kerisnya.Dia tidak perlu menyamar lagi kerana orang ramai sudah mengenalinya.Keris pendek disisip ke rusuk kanan,keris panjang di raja disisip pula di rusuk kiri.Dia sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Namun,tiada siapa di situ yang berani menyoalnya,apa lagi menahannya.Malah,mereka tidak berani memandangnya walaupun dari jauh.Dia menggalas kampitnya dan segera menuju ke sebuah perahu penambang. “Kapal Helang Laut,”katanya pada pemilik perahu yang mengambil upah membawa penumpang.Pemilik itu tidak berani bersuara,hanya mengangguk.Bujang naik ke atas perahu dan tidak menoleh ke darat lagi.Jika dia menoleh,pasti dia ternampak Daeng Ratna serta keluarga bersama orang ramai yang mengerumuni mayat-mayat itu. “Hamba hendak ke Melaka,”beritahu Bujang pada anak-anak kapal yang menyambutnya di atas geladak Helang Laut.”Nama hamba Panglima Agung.” “Panglima Agung?”balas salah seorang anak kapal.”Oh ya,malam tadi Tuan Nakhoda sudah ceritakan pada hamba.Mari hamba tunjukkan tempat Panglima.” Bujang ditempatkan di sebuah kurung yang paling hadapan di bawah geladak iaitu di sebelah kurung Nakhoda Mamat.Segela keperluan sudah disediakan,termasuk sebuah tempayan penuh berisi air bersih untuk berwuduk dan mandi-manda.Di situ dia mengurungkan diri dari pagi hingga ke petang dengan menghabiskan masa membuat amal ibadat sambil merenung jauh ke tengah laut menerusi jendela yang terbuka. Menjelang malam setelah selesai bersembahyang,Bujang membuka pintu kurungnya untuk mengambil makanan yang diletak di hadapan pintu dan ditutup dengan tudung saji.Dia terperanjat melihat Daeng Ratna bersama beberapa pengawalnya berada di situ. “Tolong bawa makanan Panglima masuk ke dalam,”perintah Daeng Ratna pada para pengawalnya.Tanpa dipelawa,dia mengikut Bujang masuk ke dalam kurung.Mulut Bujang pula bagaikan terkunci,matanya bagaikan dipukau.Seperti biasa Daeng Ratna berpakain indah tetapi sederhana,tanpa seutas gelang pun di lengannya.Dia hanya bersubang dan memakai rantai beraguk emas.Malam itu,pakaiannya serba biru,kecuali selendangnya yang berwarna kuning keemasan. “Kamu semua tunggu beta di atas geladak,”perintahnya lagi pada pengawalnya setelah semua makanan sudah dibawa masuk ke dalam kurung dan dihidangkan di atas tikar.Pintu kurung itu ditutup rapat.Melihat lilin tinggal pendek,dinyalakan pula lilin lain yang lebih panjang.Dia pun duduk bersimpuh menuangkan air ke dalam bekas basuh tangan. “Mengapa Panglima masih tercegat di situ?”pelawa Daeng Ratna.”Idi mandre nandre. Mari kita santap bersama.” Seperti kerbau dicucuk hidung,Bujang pun duduk bersila bersama Daeng Ratna.Mereka sama-sama membasuh tangan dan sama-sama menjamah makanan yang dihidangkan.Masing-masing membisu seribu bahasa.Hanya kedengaran nasi dikunyah atau bunyi sudu berlaga dengan pinggan.Daeng Ratna hanya tunduk melihat ke pinggan,sekali pun matanya yang bercelak itu tidak diangkat.Bujang juga tunduk tetapi sekali-sekala dia mencuri-curi melihat wajah puteri Bugis itu.Hatinya tertanya-tanya,fikirannya penuh dengan seribu soalan tanpa jawapan. Sekali imbas,mereka tidak ubah seperti sepasang suami-isteri yang sedang menikmati makan malam bersama.Bujang teringat semula kenangannya ketika makan bersama Chendana dan Tunku Balqis.Tiba-tiba seleranya hilang.Nasinya baru separuh disentuh.Dia membasuh tangan.Telatahnya diam-diam diperhati oleh Daeng Ratna tetapi tiada pertanyaan terbit dari bibir bak limau seulas itu. Bujang bangun menuju ke jendela,matanya memandang ke arah Singapura yang disungkup kegelapan. Tanpa sepatah kata,Daeng Ratna juga membasuh tanganya,kemudian makanan dan lauk-pauk yang belum habis itu ditutup dengan tudung saji.Air minuman yang masih panas dalam teko dituang ke dalam dua cawan tembikar.Dia bangun membawa dua cawan minuman itu,satu diberikan kepada Bujang,satu lagi untuknya.Bujang pula menerima sahaja minuman yang dihulurkan itu tanpa membantah. Daeng Ratna melabuhkan punggungnya di atas pangkin yang disediakan manakala Bujang masih berdiri memandang ke luar jendela.Daeng Ratna minum seteguk,kemudian memerhati Bujang dengan pandangan yang mengandungi rasa kasihan. “Kisah yang sudah bagai sempadan,jangan kenangkan,”suara Daeng Ratna perlahan,tersusun, seperti sudah diatur.”Marilah kita sama membina hidup yang baru.” Bujang tersentak.Itulah kali pertama Daeng Ratna bersuara sejak datang ke sini tadi. Suaranya serak-serak basah persis suara Chendana,alunan kata-kata mengandungi seribu makna yang tersirat. “Mengapa patik dilayan begini?”Bujang masih memandang ke luar jendela.”Kita baru sahaja berjumpa.Tuan Puteri tidak mengenal hati-budi patik.” “Sudah beta tenung dalam makrifat,Panglimalah suami beta dunia-akhirat,”tutur Daeng Ratna dengan lembut,bahasanya keluar sepatah sepatah. “Jangan cuba bermain dengan api,kelak terbakar tangan,”Bujang memberi ingatan. “Ramai orang berkata jangan,beta menurut hati dan perasaan,”Daeng Ratna bangun berdiri di sisi Bujang.”Sebelum kita bertemu,beta sudah tahu siapa Panglima.Daeng Andika sepupu beta,ayahnya Daeng Samarinda yang dipanggil Tok Kilat itu bapa saudara beta.Nakhoda Mamat kenalan lama ayahanda.” Kata-kata Daeng Ratna itu dengan sendirinya menjawab pertanyaan Bujang. “Jadi,Tuan Puteri sudah tahu patik beristeri dua?”tanya Bujang.Minumannya tidak disentuh. “Apa salahnya beristeri dua,”tingkah Daeng Ratna.”Kalau sudah jodoh,tidak ke mana.” “Isteri patik dilarikan oleh orang-orang Bugis yang tidak berhati perut itu,”tegas Bujang. “Panglima tersalah sangka,”Daeng Ratna membela bangsanya.”Kami orang Bugis dididik dan diasuh dengan ajaran agama yang kuat sejak dari kecil,tidak kira raja atau rakyat biasa. Kami rela mati bergalang tanah daripada hidup memalukan bangsa.” “Orang Bugis juga manusia biasa,tidak lepas dari membuat dosa,”sindir Bujang. “Tetapi bukan dosa melarikan isteri orang,”Daeng Ratna tetap mempertahankan kebenaran-nya.”Karena kami tahu hukumannya ialah mati.” “Tuan Puteri masih terlalu muda untuk memahami semua ini,”balas Bujang. “Jangan dinilai buah dari kulitnya,”Daeng Ratna berhujah.”Kendatipun usia beta baru sembilan belas tahun,beta sudah masak dalam persoalan hidup.Seperti kanda beta Daeng Andika,beta juga kerap merantau mencari ilmu dan pengalaman.Sifat orang Bugis memang suka merantau.” “Patik tidak percaya kedatangan Tuan Puteri hanya sekadar hendak makan-makan dengan patik dan bercerita tentang keistimewaan orang Bugis,”Bujang menyindir lagi. Daeng Ratna meletak cawan minumannya di atas pangkin.Dengan tenang dia menanggalkan kain selindang berwarna kuning keemasan itu.”Beta datang hendak meminang,”katanya perlahan sambil melipat kain selendang itu dengan rapi.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...