Bab 48

266 12 1
                                    

Istana lama itu dikelilingi tembok batu yang tinggi dan kukuh.Terdapat dua pintu gerbang yang dipanggil gapura.Bangunan istana batu itu juga berbentuk seakan-akan candi Hindu,terdapat lorong-lorong yang menghubungkan dari satu tempat ke satu tempat.Kawasannya luas bagaikan sebuah perkampungan yang terasing.Di situ,para pegawai istana,pendekar dan hulubalang mundar-mandir tidak henti-henti seperti dalam keadaan berjaga-jaga.Meriam,lela dan rentaka ditempatkan di segenap penjuru,siap untuk memuntahkan peluru. Bujang ditunjukan sebuah kamar yang dilengkapkan dengan bilik air,tandas,kolah dan sebuah pangkin batu yang lengkap dengan tilamnya.Terdapat juga sebuah tingkap dan beberapa buah lubang udara.Sebuah meja batu dengan empat kerusi bulat terdapat di tepi tingkap. Bujang meletak kampitnya di atas meja dan membasuh muka dari air kolah.Air kolah itu bersih dan sejuk,disalirkan dari air terjun melalui sebatang saluran tembaga.Cukup besar untuk memenuhi syarat sebagai air mustakmal buat mengambil wuduk.Beberapa ekor ikan juga dipelihara di dalam kolah itu.Suasana terasa nyaman walaupun di luar matahari memancar terik.Bujang mengambil peluang untuk mandi mnenyegarkan dirinya.Selesai mandi,dilihatnya sepersalinan pakaian sudah ada di atas pangkin.Pakaian itu berwarna hijau tua sedondon, bersamping dan berdastar songket serta baju layang berwarna hijau tua juga tetapi dihiasi renda kuning.Dia melipat semula persalinan itu,menyimpannya di dalam kampit dan mengeluarkan pakaian pendekarnya yang serba hitam.Pakaian kegemarannya itu lebih selesa disarungkan ke badan kerana ia melambangkan perjuangannya.Dari madrasah berhampiran kedengaran azan dilaungkan.Dia menyisipkan dua bilah kerisnya di celah bengkung,ditutup pula dengan baju layang.Kerana dia bersembahyang jamak dan qasar,dia memilih untuk melakukannya seorang diri di dalam kamar itu dan tidak ke madrasah mengerjakan sembahyang Jumaat. Selepas para makmum balik dari madrasah,Bujang dijemput oleh Panglima Kahar dan dijamu di balai santapan di hadapan pembesar-pembesar Jambi yang lain.Pangeran Ratu juga hadir ditemani dayang-dayangnya yang masih muda-muda.Baru Bujang hendak menyuapkan nasi ke mulutnya,seorang dayang-dayang tersipu-sipu menghampirinya.Dayang-dayang itu membisikkan sesuatu ke telinga Panglima Kahar. "Yang Mulia Pangeran Ratu menjemput santap bersamanya,"beritahu Panglima Kahar pada Bujang yang sudah menduga permintaan itu. "Hamba seganlah,Datuk,"Bujang cuba menolak pelawaan itu. "Apa yang nak disegankan,"Panglima Kahar menggiat."Ini satu penghormatan besar." "Baiklah,"Bujang terpaksa menerimanya.Dia pun bangun mengikut dayang-dayang itu. Banyak mata yang memandangnya dengan senang hati,tidak kurang juga yang cemburu dengan layanan istimewa itu.Pangeran Ratu mempersilakannya duduk di hadapannya.Dayang-dayang menghulurkan pinggan dan air basuh tangan serta membantu mencedok nasi ke dalam pinggan. "Silakan,"Pangeran Ratu menjemput mesra. Mahu tidak mahu,Bujang terpaksa makan sehidang dengan Pangeran Ratu dan berkongsi lauk-pauk manakala dayang-dayang makan berasingan.Bujang naik rimas kerana mendapat layanan begitu.Dia takut kalau-kalau ada udang di sebalik batu. "Laksamana Johor dengan rombongan peminangannya akan bertandang ke istana beta petang nanti,"Pangeran Ratu memulakan perbualan.Bujang kurang selesa berbual-bual ketika makan tetapi terpaksa melayan setiap perbualan."Tujuannya untuk meminang beta menjadi permaisuri Raja Muda Johor.Apa pandanganmu,pendekar muda?" Bujang diam sejenak sebelum menjawab,"Perbuatan yang baik,ikutkanlah,Tuan Puteri." "Tapi,beta tidak cinta dan kasih pada Raja Muda Johor,"bantah Pangeran Ratu."Tambahan pula,beta dengar Raja Muda Johor sudahpun beristeri." "Tuan Puteri lebih suka melihat pertumpahan darah antara Johor dengan Jambi?" "Beta sudah jatuh cinta pada seorang pemuda dari seberang,"luah Pangeran Ratu. "Itu perkara yang mustahil,"Bujang dapat menangkap maksud Pangeran Ratu. "Kenapa pula mustahil?"sanggah Pangeran Ratu. "Pemuda itu tidak cinta dan kasih pada Tuan Puteri,"ujar Bujang dengan berani. "Kenapa pula?"Pangeran Ratu memandang tepat ke wajah Bujang."Apa kurangnya beta? Beta raja di negeri ini,ada rupa,ada harta.Bahagialah pemuda itu jika berkahwin dengan beta." "Paras-rupa,harta dan pangkat belum terjamin kebahagiaan,Tuan Puteri,"balas Bujang. Pangeran Ratu diam mendengar kata-kata Bujang itu.Kulit mukanya terasa tebal.Secara tidak langsung,cintanya sudah ditolak.Bukan semua lelaki mudah tergoda dengan paras yang cantik, harta yang melimpah-ruah dan pangkat yang tinggi.Pangeran Ratu tidak marah pada Bujang, malah rasa hormatnya pada Bujang semakin bertambah.Cinta dan kasih-sayang dari seorang lelaki bernama Bujang terlalu mahal nilainya. "Kalau Laksamana Johor datang nanti,apa harus beta jawab?"tanya Pangeran Ratu setelah diam membisu beberapa ketika. "Terima sahaja peminangan itu,"Bujang mengesyurkan."Patik doakan Tuan Puteri bertemu jodoh dan kekal hingga ke anak-cucu." Mereka tidak bercakap-cakap lagi selepas itu.Setelah selesai menjamu selera,Bujang mem-basuh tangan dan menyusun sembah minta diri.Dilihatnya Panglima Kahar belum lagi habis makan. Dia pun turun dari balai itu dan menunggu di bawah.Dia berjalan-jalan melihat keadaan pekarangan istana itu,bercampur-gaul dengan para pendekar dan hulubalang tetapi tidak turut serta dalam perbualan.Walaupun dalam keadaan perang,mereka masih berkesempatan bermain sepak raga,bermain congkak atau dam dan menari bersukaria.Ada juga yang berlatih silat. Kehadiran Bujang tidak dipedulikan kerana tiada siapa yang mengenalinya.Pakaiannya yang serba hitam itu menjadikan dirinya sebahagian dari mereka.Golongan pahlawan.Ketika sedang berpeleseran itulah,suasana tiba-tiba bertukar menjadi riuh-rendah.Dari percakapan yang didengarnya,tahulah dia bahawa rombongan peminangan dari Johor yang diketuai oleh Paduka Raja Laksamana sudah pun mendarat di Muara Jambi dan sedang menuju kemari.Dia pun menunggu ketibaan mereka di tepi balai. Ketibaan rombongan Laksamana Johor dengan diiringi oleh kira-kira seratus orang ahli-ahli pertikaman yang handal-handal disambut di pintu gerbang oleh ratusan para pendekar dan hulubalang Jambi.Panglima Kahar dengan tegas hanya membenarkan Laksamana serta dua orang pembesar lain ke balai tetamu manakala manakala yang lain-lain menunggu di luar pekarangan istana.Pada mulanya Laksamana berkeras juga.Tetapi setelah dinasihati oleh Paduka Seri Maharaja dan Raja Negara,Laksamana pun mengikut Panglima Kahar naik ke balai tetamu.Pangeran Ratu bersama beberapa orang pembesar Jambi sudah menunggu di balai itu.Laksamana,Paduka Seri Maharaja dan Raja Negara dipersilakan masuk mengadap. "Ampun Tuanku Pangeran Ratu,"sembah Laksamana Abdul Jamil."Kami datang hendak mendengar kata-pemutus perihal peminangan Yang Mulia Yamtuan Muda Ibrahim." "Beta dengar Panglima Agung yang gagah-perkasa itu turut sama dalam rombongan dari Johor,"Pangeran Ratu tidak menjawab pertanyaan Laksamana."Mana dia orangnya?" "Panglima Agung menunggu di kapal,"Laksamana berbohong."Kalau dia naik ke darat,habis orang-orang Jambi ini diamuknya,tiada siapa yang mampu menentangnya." "Kami tidak gentar pada Panglima Agung,"sampuk Panglima Kahar bagi pihak Pangeran Ratu."Namun,peminangan Datuk kami terima dengan sebulat suara.Yang Mulia Pangeran Ratu berkenan bersemenda dengan Raja Muda Johor." "Jangan cakap begitu tentang Panglima Agung,"Raja Negara menasihati Panglima Kahar yang agak celupar."Kalau Datuk melihat Panglima Agung,terkencing-terberak Datuk nanti." Melihat Pangeran Ratu mengangguk,Panglima Kahar berkata,"Jemputlah Panglima Agung kemari.Kami ingin melihat samaada dia bertanduk,bertaring dan sebagainya." Laksamana,Paduka Maharaja dan Raja Negara saling berpandangan.Memang mereka rasa tercabar dengan kata-kata panglima kanan Jambi itu tetapi tembelang mereka pecah jika mereka tidak dapat membawa Panglima Agung kemari.Mendengar cabaran itu,Bujang pun naik ke balai tetamu.Semua mata memandang ke arahnya. "Itulah Panglima Agung,"jawab Raja Negara dengan gembira demi terpandang Bujang. Panglima Kahar dan Pangeran Ratu terperanjat. Begitu juga dengan Laksamana dan Paduka Seri Maharaja.Panglima Kahar dan Ratu Jambi itu terperanjat kerana tidak menyangka Bujang yang masih muda-belia itulah Panglima Agung yang sangat-sangat digeruni. Laksamana pula terperanjat kerana sebab-sebab yang hanya diketahui dirinya sendiri. "Patiklah Panglima Agung yang disebut-sebut itu,"sembah Bujang pada Pangeran Ratu. Pangeran Ratu tersenyum tersipu-sipu.Panglima Kahar juga tersenyum sambil mengangguk. "Pekerjaan kita sudah selesai,"Bujang menjeling tajam pada Paduka Raja."Datuk bertiga baliklah ke kapal sebelum orang-orang di sini terberak-terkencing di atas balai." Gelak-ketawa pecah berderai di atas balai tetamu itu.Wajah Laksamana dan Paduka Seri Maharaja merah padam kerana menahan malu manakala Raja Negara tenang sahaja.Mereka bertiga bangun,menyusun sembah lalu mengundurkan diri dari balai itu. "Patik pun bermohon diri,Tuan Puteri,"Bujang pula menyusun sembah setelah tiga orang pembesar Johor itu tidak kelihatan lagi. "Panglima Agung pun hendak balik ke Johor?"tanya Pangeran Ratu. "Tidak,"sembah Bujang dengan sayu."Patik hendak ke Betawi,mencari isteri yang hilang. Selagi isteri patik tidak dijumpai,patik akan terus mengembara biarpun sampai ke hujung dunia." "Mulia sungguh hati Panglima,"Pangeran Ratu turut merasa sayu."Kami semua tersalah sangka.Kami telah digembar-gemburkan dengan berbagai cerita buruk tentang Panglima Agung.Kalaulah beta dapat bertahta di hati Panglima.....!Datuk Panglima Kahar,bukankah utusan kita hendak ke Palembang dan Lampung?" "Benar,Yang Mulia Pangeran Ratu,"Panglima Kahar mengakui."Dari sana,kami akan menyeberangi Selat Sunda menuju ke Betawi." "Datuk Panglima boleh bawa Panglima Agung bersama,"Pangeran Ratu mencadangkan. "Molek sekali cadangan itu,"sokong Panglima Kahar sambil tersenyum."Oleh kerana kita tidak lagi berperang dengan Johor,hari ini juga kami hendak bertolak ikut jalan darat." "Datuk Melengkar Alam,"perintah Pangeran Ratu kepada seorang pembesarnya."Siapkan kuda dan pedati serta lain-lain bekalan untuk Datuk Panglima Kahar." "Menjunjung titah,Yang Mulia Ratu,"sembah pembesar tersebut lalu bangun dan segera turun dari balai tetamu itu.Bujang juga menyusun sembah,diikuti oleh Panglima Kahar. Petang itu ketika matahari masih panas terik,mereka pun bertolak dengan sebuah pedati yang ditarik oleh empat ekor kuda,digembala oleh dua orang hamba suruhan serta dikawal oleh empat pendekar berkuda.Bujang dan Panglima Kahar duduk di dalam pedati yang berbumbung, terlindung dari panas atau hujan,masing-masing di sisi tingkap menghadap ke hadapan.Kampit kulit Bujang dan buntil Panglima Kahar terletak di atas para manakala di atas bumbung ialah barang-barang keperluan lain yang ditutup dengan kain tarpan kalis air.Bujang bersyukur kerana dapat mengembara mencari Chendana dalam keadaan selesa tanpa perlu berpanas atau berhujan. Tidak berapa lama kemudian setelah pedati itu meninggalkan istana Ratu Jambi,muncul satu lagi rombongan yang diketuai oleh Lela Wangsa.Rombongan itu memohon dan diberi perkenan mengadap ke bawah duli Pangeran Ratu. "Datuk Lela Wangsa mencari Panglima Agung?"tanya Pangeran Ratu kembali apabila Lela Wangsa menyatakan hajat mereka ke Muara Jambi. "Benar,Yang Mulia Ratu,"sembah Lela Wangsa."Kami bukan angkatan perang Johor.Kami dari angkatan Fisabilillah. Panglima Agung adalah Imam Khalifah kami." "Sayang sekali,"keluh Pangeran Ratu."Kiranya kedatangan kalian sudah terlambat. Panglima Agung sudah bertolak ke Betawi mencari isterinya yang hilang." "Isteri Panglima Agung sudah ditemui dengan selamat,"sembah Lela Wangsa."Kami mencari Panglima Agung untuk memaklumkan padanya perihal berita baik ini." "Dia bersama Datuk Panglima Kahar mengikut jalan darat hingga ke Lampung,"beritahu Pangeran Ratu."Jika kalian cepat,kalian boleh memintas mereka di Selat Sunda sebelum mereka naik kapal ke Betawi." "Baiklah,Yang Mulia Ratu,"sembah terakhir dari Lela Wangsa."Kami akan belayar ke Selat Sunda sekarang juga.Terima kasih banyak-banyak.Kami bermohon dari." Bujang yang tidak mengetahui tentang berita baik itu berhenti rihat pada waktu senja di pinggir sebatang anak sungai.Sementara Bujang dan Panglima Kahar mengambil wuduk untuk bersembahyang maghrib,dua orang gembala pedati dan empat orang pendekar itu sibuk dengan tugas masing-masing.Kuda dirihatkan dan dibiarkan meragut rumput.Air dijerang dan nasi ditanak.Tikar mengkuang dihampar buat pengalas tempat duduk dan tempat sembahyang. Dua orang pendekar sentiasa berkawal di sekitar kawasan itu.Mereka membiarkan Bujang dan Panglima Kahar bersembahyang jamak dan qasar secara berjemaah.Mereka bergilir-gilir mendirikan sembahyang ketika Bujang dan Panglima Kahar duduk menghadapi jamuan yang disediakan. "Hari ini hari Jumaat malam Sabtu,"Panglima Kahar menghitung waktu ketika mereka makan malam itu."Tiga atau empat hari lagi sampailah kita di pinggir Selat Sunda.Kalau kita berpedati sepanjang malam,lebih awal lagi kita sampai." "Hamba mahu segera sampai di Betawi,"ujar Bujang. "Kalau begitu kita akan mengembara siang dan malam,"tegas Panglima Kahar. "Bagaimana dengan mereka?"Bujang menuding ke arah pendekar dan hamba suruhan. "Mereka boleh bekerja mengikut giliran,"tegas Panglima Kahar lagi."Tugas mereka ialah berkhidmat kepada kita tak kira siang atau malam." "Mereka juga perlukan rihat dan tidur sama seperti kita,"Bujang menegur perlahan. "Ini akan melambatkan perjalanan kita ke Betawi,"bantah Panglima Kahar. "Biar lambat asalkan selamat,"Bujang berfalsafah."Kalau kita bergopoh-gapah,hamba takut yang dikendong berciciran,yang dikejar tak dapat pula." Panglima Kahar terdiam sejenak,kata-kata Bujang berbekas di hatinya. "Kalian semua,kita berihat di sini malam ini,"perintah Panglima Kahar kepada semua pendekar dan hamba suruhan."Besok pagi kita sambung lagi kembara kita." Mereka patuh pada perintah Panglima Kahar.Dua buah khemah dari kain tarpan didirikan, sebuah untuk Bujang dan Panglima Kahar manakala sebuah lagi untuk kegunaan mereka. Unggun api juga dinyalakan untuk menghalau nyamuk serta binatang-binatang buas. Panglima Kahar menabur serbuk belerang di sekitar kawasan perkhemahan. "Untuk menghalau sang senduk dan lain-lain makhluk melata,"Panglima Kahar menjelaskan tanpa diminta bila Bujang melihat perbuatannya dengan penuh tanda-tanya. Bujang mengangguk.Dia juga sudah maklum dengan cara begitu.Dia membaringkan badan di atas tikar mengkuang di dalam khemahnya lalu membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an dalam hatinya.Lazimnya dia membaca Ayat Qursi sebagai penghulu segala amalan,diikuti oleh ayat-ayat pendek lain.Kemudian diakhiri dengan zikrullah.Belum sampai seratus kali,dia sudah terlelap keletihan. Esoknya Sabtu 28 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan dengan 21 Oktober 1652 Masehi, mereka meneruskan perjalanan dan tiba di sebuah jambatan kayu pada waktu tengah hari. Jambatan itu merentangi sebatang sungai yang lebar,dikawal rapi oleh beberapa orang pendekar bersenjata lengkap. "Inilah Sungai Musi,sungai yang memisahkan Jambi dengan Palembang,"Panglima Kahar menerangkan apabila pedati mereka dibenarkan melalui jambatan itu."Selepas jambatan ini, kita akan berada di Palembang yang pernah menjadi pusat kerajaan Seri Wijaya." "Khabarnya di sinilah asal-usul raja-raja Melaka dan Johor,"Bujang menokok. "Raja Singapura yang terakhir dan raja Melaka yang pertama memang berasal dari Palembang,"Panglima Kahar turut mengakui."Raden Patah,Sultan Demak yang pertama juga keturunan raja-raja Seri Wijaya.Kalau mengikut kitab lama,semua raja di Alam Melayu ini bertunggak dari Bukit Siguntang Mahameru." Kerana terlalu leka berceloteh,mereka tidak sedar kedatangan mereka sedang diperhati oleh satu lagi kumpulan pengawal yang lengkap bersenjata.Namun pun begitu,Bujang terasa juga bulu romanya meremang. "Hamba teringat satu hadis Nabi Muhammad tentang orang Melayu,"Panglima Kahar terus juga berceloteh."Menurut hadis itu,akan muncul satu bangsa di Timur yang menjadi pembela agama Islam yang suci di kemudian hari.Bangsa itu bertamadun tinggi,sangat berlemah-lembut pada sahabat tetapi sangat keras pada musuh-musuh Islam.Itulah bangsa Melayu,bangsa kita." Tiba-tiba pedati mereka berhenti.Rupanya mereka ditahan lagi.Panglima Kahar dan Bujang sama-sama menjenguk keluar,kemudian sama-sama turun dari pedati itu bila mereka ternampak kumpulan pengawal bersenjata yang menahan mereka dengan wajah bengis. "Ada apa,Bogak?"tanya Panglima Kahar pada seorang pendekarnya. "Kita mesti patah balik,Datuk Panglima,"jawab Bogak selaku ketua pendekar. "Kenapa?"Panglima Kahar menuntut penjalasan,dahinya berkerut. "Peraturan baru,"tegas ketua pengawal."Palembang mengistiharkan perang ke atas Jambi kerana bersekongkol dengan Johor." "Mengapa di jambatan tadi kami tidak ditahan?"tanya Bujang pula. "Pengawal di sana tidak tahu,"jelas ketua pengawal Palembang."Kami baru terima khabar pertunangan Ratu Jambi dengan Raja Muda Johor.Peraturan baru segera dibuat,semua orang Jambi dilarang keras menceroboh Palembang." "Ada-ada saja peraturan yang menyusahkan,"rungut Panglima Kahar pada Bujang,kemudian memberi perintah kepada orang suruhannya,"Kita berpatah balik ke jambatan dan berihat di tepi Sungai Musi." Mulanya Bujang hendak membantah keputusan Panglima Kahar itu.Berpatah balik bererti melengahkan lagi perjalanan mereka ke Betawi sedangkan nasib isterinya ibarat telur di hujung tanduk.Namun,sebagai perantau yang bermusafir di tempat orang,dia terpaksa mengalah kepada keadaan.Dia tidak mahu hati tua Panglima Kahar tersinggung.Diam-diam dia mengikut sahaja Panglima Kahar naik semula ke atas pedati.Rombongan mereka berpatah balik ke jambatan.Untuk mempastikan mereka benar-benar meninggalkan bumi Palembang,para pengawal berkuda itu mengekori mereka hingga ke sempadan.Selepas menyeberangi jambatan itu,rombongan dari Jambi berhenti di bawah sepohon pokok yang rendang di pinggir sungai.Tanpa dikerah,empat pendekar dan dua hamba suruhan itu terus mendirikan khemah dan menyediakan makan-minum.Panglima Kahar menghilangkan diri meninjau kawasan sekitar. Tinggal Bujang bermenung di atas seketul batu sambil melemparkan pandangan sayu ke Tanah Palembang di seberang sungai.Dia membayangkan Selat Sunda yang memisahkan Palembang.Dia membayangkan pula Betawi di Tanah Jawa di mana Chendana dipercayai berada.Wajah Chendana muncul bermain di ruang mata.Dekat tapi jauh.Jauh tapi dekat. Di saat-saat genting seperti itu,dia amat memerlukan pertolongan dari Allah agar segera dapat berjumpa dengan Chendana.Dia tidak mampu terbang seperti burung di angkasa. Dia tidak berupaya merenangi lautan yang luas.Semua kejadian luar-biasa yang dilaluinya selama ini berlaku dengan izin dan kehendak Allah jua yang di luar bidang kemampuannya.Allah jua yang Maha Mengetahui hikmah di sebalik setiap kejadian itu. Tiba-tiba dia teringatkan cincin berbatu zamrud yang tersimpan dalam saku tali pinggang kulitnya.Cincin perak pemberian Puteri Mayang Sari melalui ayahnya Raja Abal Yusuf itu dikeluarkan.Dibeleknya cincin itu seolah-olah baru pertama kali melihatnya.Kemudian disarungkan ke jari manis di tangan kirinya.Sesuai dan padan benar dengan jarinya.Terdorong oleh rasa ingin tahu,batu zamrud itu digosoknya beberapa kali.Dengan serta-merta kawasan itu berbau harum.Badannya terasa seram-sejuk bagaikan diresapi sesuatu.Cuping telinganya berdesing.Ditolehnya ke kiri dan ke kanan tetapi tiada sesiapa di situ.Dia cuba menanggalkan cincinnya,namun cincin itu bagaikan terlekat pada jarinya.Hatinya tertanya-tanya,fikirannya dihujani berbagai soalan.Lantas ditutupnya semua lubang pancainderanya dengan kalimah- kalimah Allah agar terpelihara dari gangguan unsure-unsur yang tidak diingini. Lamunannya terganggu oleh bunyi buluh ditebang tidak jauh dari kawasan perkhemahan. Dia segera terjun dari atas batu,matanya mencari dari arah mana bunyi itu datang. Dia bergegas mengikut arah tersebut. Panglima Kahar kelihatan bercekak pinggang memerhati anak buahnya menebang buluh.Ranting-ranting buluh dicantas.Buluh-buluh itu dipotong dua atau tiga, panjangnya beberapa ruas. "Nak buat apa buluh itu,Datuk?"Bujang memberanikan diri bertanya. "Rakit,"balas Panglima Kahar sambil tersenyum."Dengan menaiki rakit,bolehlah kita hilir-mudik hingga ke kuala sungai. Di Kuala Musi, banyak kapal yang berlabuh,boleh kita tumpang sebuah ke Betawi." "Bijak betul Datuk,tak terfikir dek hamba,"Bujang memuji penuh ikhlas. "Pengalaman,"Panglima Kahar member alasan."Hamba tua dengan pengalaman,Panglima. Kata orang,jauh berjalan luas pandangan,lama hidup banyak dirasa." "Ya,"angguk Bujang tanda setuju."Hamba sendiri bercita-cita ingin mengembara ke seluruh pelusuk dunia melihat kekayaan alam ciptaan Allah.Hamba tidak betah tinggal lama di sesuatu tempat." "Kita orang Acheh memang bersifat berani dan berjiwa pengembara,"sokong Panglima Kahar memuji bangsa keturunannya."Bugis dan Minangkabau juga begitu.Mengembara dan membuka kawasan baru.Alam Melayu ini terlalu luas,masih banyak yang belum diteroka." Bujang terdiam,kata-kata Panglima Kahar itu menyemarakkan lagi keinginannya.Tetapi sebelum cita-citanya menjadi kenyataan,Chendana harus dicari dan diselamatkan.Tanpa berlengah lagi,dia terus menghunus goloknya. "Nak ke mana pula,Panglima?"tegur Panglima Kahar melihat gelagat Bujang. "Lebih ramai yang membantu,lebih cepat pekerjaan kita,"Bujang menuding dengan goloknya ke arah anak buah Panglima Kahar yang sedang terkial-kial menebang buluh. "Betul juga kata Panglima,"balas Panglima Kahar lalu menghunus goloknya dan mengikut Bujang. Petang itu,siaplah sebuah rakit buluh yang berdinding dan berbumbung.Dindingnya dari buluh yang dibelah dua,bumbungnya pula beratapkan daun rumbia. Lantainya disusun tiga lapis supaya tidak mudah tenggelam. Galah pula dijadikan kemudi.Semuanya diikat kukuh dengan menggunakan rotan seni yang diambil dari kawasan sekitar.Sambil menjamu selera di bawah naungan pohon rendang,di wajah masing-masing tergambar kepuasan. "Bogak,"perintah Panglima Kahar pada pendekarnya."Kamu berempat bawa balik pedati ini ke istana.Sampaikan salam kami kepada Yang Mulia Pangeran Ratu." "Kami,Datuk?"Tanya salah seorang hamba sahaya sambil melirik pada rakanya. "Kau berdua ikut kami untuk mengendalikan rakit,"perintah Panglima Kahar pula pada kedua-dua hamba suruhan itu. "Baik,Datuk,"mereka patuh pada perintah itu. Petang itu juga rombongan dari Jambi berpecah dua. Setelah membuat persiapan terakhir,Bujang menaiki rakit bersama Panglima Kahar menghilir Sungai Musi. Kerana air sungai mengalir deras,hamba suruhan berdua itu terpaksa berhati-hati menjaga galah dan kemudi supaya tidak terlanggar jeram-jeram batu.Menjelang senja,jeram-jeram batu tidak kelihatan lagi.Rakit itu hanyut dengan tenang menuju ke kuala.Panglima Kahar tertidur keletihan sementara Bujang pula tersandar pada tiang bumbung sambil memerhati burung-burung terbang berkawan pulang ke sarang.Hatinya sentiasa hidup dengan zikrullah,namun fikirannya jauh menerawang mengenangkan peristiwa-peristiwa lama.Dia tersenyum sendirian. Tatkala senja berlabuh di Kampung Panchor,Chendana masih belum berganjak dari tempatnya.Dia tersenyum sendirian,terhibur dengan gelagat burung-burung yang berterbangan di sepanjang tebing sungai itu.Matanya tidak lepas-lepas memandang ke arah muara,seolah-olah tidak sabar lagi menunggu kepulangan Bujang pada bila-bila masa.Dia menjeling pada cincin emas berbatu delima merah yang tersarung di jari manisnya.Cincin itu pemberian Bujang menjelang majlis perkahwinan mereka. Dan,di bawah pohon ara itulah mereka memadu kasih sambil berpantun. - "Tuai padi antara masak,besuk jangan layu-layuan, intai kami antara nampak,besuk jangan rindu-rinduan." - Beberapa titis air mata jatuh berguguran dari kelopak matanya. Dibiarkan sahaja air mata itu membasahi pipinya yang gebu. "Wahai angin bawalah pesan,rindu dendamku tidak tertahan," bisiknya pada angin senja yang bertiup sepoi-sepoi bahasa."Pulanglah kanda bawa bahagia,agar hilang haus dan dahaga." Chendana tersentak apabila terdengar suara orang batuk-batuk kecil dari belakang.Suara itu halus seperti suara perempuan.Namun,dia yakin itu bukan suara emaknya.Segera dia berpaling ke arah suara tersebut. Dalam remang-remang senja,tampak padanya susuk seorang perempuan muda berpakaian indah tersenyum-senyum padanya.Perempuan yang tidak dikenali itu sebaya dengan usianya.Seorang gadis sunti yang juga berpakaian indah kelihatan memaut lengan perempuan itu. Paras gadis sunti itu seolah-olah pernah dilihatnya tetapi entah di mana. "Ya?"tegurnya dengan hati berdebar-debar."Cik puan cari siapa?" "Ini Chendana?"perempuan muda itu bertanya balik."Dulu bernama Kuntum?" "Err..benar,"hati Chendana tambah berdebar."Tapi...cik puan ni..." "Itulah Tunku Rahimah,madumu dari Kedah,"Mak Siti menerangkan sambil muncul entah dari mana."Si-gadis itu pula anaknya Tunku Wan Fatimah. Mereka datang mencari Bujang." "Oh,begitu,"Chendana terus menyusun sembah."Ampun patik kerana tidak kenal akan Tuan Puteri." "Panggil saja Balqis,"Tunku Balqis mara menghampiri Chendana,senyuman tidak lekang dari bibirnya."Kita berkongsi suami,Chendana." Perasaan Chendana di saat itu bercampur-aduk antara geram,marah dan cemburu. Namun, demi terpandang wajah Tunku Balqis yang tidak putus-putus mengukir senyum,fikirannya jadi tenteram dan hatinya jadi sejuk. "Kakak...,"Chendana terus menerpa memeluk Tunku Balqis sambil menitiskan air mata gembira.Dipeluknya juga Tunku Wan Fatimah." Wajahmu saling tak tumpah dengan wajah arwah Wan Teratai." "Tentulah,"balas Wan Fatimah."Dia bonda beta." Sebagai balasan,Chendana menggosok-gosok rambut Wan Fatimah sambil tertawa. "Chendana,Kakak kemari mencari suami kita,"Tunku Balqis terus menerangkan maksudnya tanpa berlengah lagi."Ke mana gerangannya menghilang diri?" "Abang Bujang?"Chendana serba-salah."Abang Bujang sudah.....!" "Malam sudah tiba,"cepat-cepat Mak Siti mencelah."Kurang manis kita berbual-bual di sini.Molek kalau kita naik ke atas rumah.Di sana boleh kita berbual panjang." "Ya tak ya juga,"balas Chendana."Jemputlah naik ke teratak buruk kami,Kakak. Wan Fatimah pun dijemput sama. Silakan." Bujang terjaga apabila sinaran cahaya matahari pagi yang baru muncul mencucuk matanya. Di lihatnya hari sudah cerah dan siang sudah merangkak tiba.Lantas dia bingkas bangun memerhati di sekelilingnya.Rakit yang mereka naiki itu sudah berada tidak jauh dari sebuah kuala sungai yang luas. Di kedua-dua tebing sungai itu kelihatan kawasan perkampungan. Hari itu hari Ahad 29 Zulhijah 1062 Hijrah bersamaan dengan 22 Oktober 1652 Masehi. Dilihatnya Panglima Kahar masih lagi tidur mengerekot melawan kedinginan pagi. "Mengapa tidak dikejutkan kami subuh tadi?"tanya Bujang pada seorang hamba suruhan yang sedang mengemudi rakit dengan galah. Rakannya sedang menyiapkan sarapan.Suara Bujang yang agak kuat itu mengejutkan Panglima Kahar dari tidurnya lalu dia bangun sambil menggeliat. "Hamba..hamba tak sampai hati menengok Datuk berdua tidur keletihan,"hamba suruhan itu member alasan,tidak berani bertentang mata dengan Bujang. "Tak apalah,"Bujang agak kesal kerana meninggikan suara pada hamba suruhan itu.Diam-diam dia membasuh muka dan berkumur mulur dengan air sungai. "Nampaknya kita sudah sampai di Kuala Musi,"Panglima Kahar bersuara sambil turut sama membasuh mukanya."Kalau nasib kita beruntung,tentu ada kapal yang mahu ke Batavia." "Begitulah harapan hamba,"balas Bujang perlahan."Rasanya tak sabar-sabar lagi ingin hamba bertemu dengan isteri hamba di sana." "Mudah-mudahan kita tiba di sana tepat pada waktunya,"Panglima Kahar memujuk, kemudian menambah."Tapi,Panglima harus ingat kita hanya mampu merancang sedangkan ketentuan sebenar di tangan Allah." Bujang hanya mengangguk tanda bersetuju.Rakit itu akhirnya dirapatkan ke tebing lalu ditambat pada sebatang payu pancang yang dipacak di situ. "Di sana ada pasar,boleh kita bertanya khabar,"Bujang mencapai kampit kulitnya. "Sabar dulu,Panglima,"Panglima Kahar menahan."Elok kita alas perut dulu." Tanpa disuruh,kedua-dua hamba suruhan itu menghulurkan sarapan ubi rebus kepada Bujang dan Panglima Kahar.Diam-diam mereka menjamu selera sambil memerhati ke darat.Mereka makan ala kadar sahaja.Selepas mengalas perut,Bujang pun mengikut Panglima Kahar naik ke darat sementara dua orang hamba suruhan itu tinggal menjaga rakit dan barang-barang. Sesuai dengan kawasan perkampungan awal orang Melayu sejak ribuan tahun yang lampau,banyak kedapatan rumah-rumah kediaman bentuk lama yang dibina mengikut pengaruh Hindu dan Budha.Tokong dan kuil peninggalan zaman lampau masih teguh berdiri meskipun tidak digunakan lagi.Sebuah masjid tersergam indah,bentuknya seakan-akan chandi agama Hindu. Di samping kerbau,lembu,ayam dan itik,kuda padi juga turut dipelihara sebagai haiwan tunggangan dan untuk menarik pedati. Keadaan pasar mula dipenuhi orang ramai biarpun matahari baru tinggi segalah. Suasana hingar-bingar dengan suara tawar-menawar antara pembeli dan penjual.Bujang rasa bangga mendengar bahasa Melayu digunakan dengan meluas di sini dan dia dapat memahaminya meskipun dituturkan mengikut lenggok bahasa daerah masing-masing.Bila Panglima Kahar mengajaknya membeli-belah,dia tidak menolak. Kesempatan itu digunakan untuk mencari barang-barang kecil keperluannya yang boleh dibawa dalam kampitnya.Termasuklah ubat bedil dan peluru kegunaan dua pucuk pistolnya yang dirampas di Singapura. Pada saat itu juga,sebuah lancang yang berbentuk seperti kapal Bugis belayar menuju ke Pulau Jawa.Lela Wangsa tercegat di atas geladak memerhati Kuala Musi yang semakin jauh ditinggalkan,tanpa menyedari bahawa orang yang sedang dicarinya itu berada di situ.Kerana terlalu asyik,dia tidak sedar lancang itu berselisih dengan kapal Nakhoda Mamat yang baru hendak berlabuh di muara.Jauh di hadapan,kapal yang dinaiki Nakhoda Ali turut sama belayar menghala ke Betawi. Turut sama berada di atas kapal itu ialah Daeng Ratna Sari yang ditemani Daeng Andika serta beberapa orang pengawal. Matahari semakin tinggi.Kedinginan pagi beransur hilang diganti bahang siang.Angin tidak putus-putus bertiup dari laut menyegarkan badan. Puas berjalan-jalan dan membeli-belah, Bujang pun mengikut Panglima Kahar pulang ke rakit.Mereka terperanjat melihat seorang perempuan muda yang membimbit buntil pakaian sedia menunggu di situ.Panglima Kahar terpinga-pinga kerana tidak mengenali perempuan itu.Teapi.Bujang lebih dari kenal. "Tini buat apa di sini?"terpancut soalan itu dari mulut Bujang,nada suaranya tawar. "Mencari abanglah,"balas Kartina sambil memeluk suaminya tanpa segan-silu di hadapan Panglima Kahar."Diam-diam sahaja abang lari meninggalkan Tini." Menyedari perbuatan mereka menjadi perhatian,lekas-lekas Bujang menolak badan Kartini dari dakapannya."Datuk Panglima,ini isteri hamba Kartini dari Melaka." "Oh,kalau begitu,tak apalah,"Panglima Kahar tersengih lalu naik ke atas rakit. Bujang menarik tangan Kartini pergi jauh sikit dari situ. "Buat apa Tini datang kemari?"Bujang mengulangi pertanyaannya. "Bukankah Tini isteri abang yang sah?"Kartini bertanya kembali. "Kalau tak silap,Tini tak mahu mengikut abang dan ingin menetap di Melaka,"Bujang mengungkit kisah lama mereka."Kalau itu kehendaki Tini,abang sedia melepaskan Tini." "Abang tak boleh lepaskan Tini,"tegas Kartini. "Mengapa tidak?"ujar Bujang."Hajat Tini sudah terlaksana. Kenikmatan berumah-tangga telah dirasa." "Kenikmatan bersama telah membuahkan hasil,"Kartini menyampaikan berita yang tidak disangka-sangka itu.Belum sempat Bujang mencelah,Kartini meneruskan lagi."Selepas abang pergi,Tini merasa loya dan muntah-muntah.Kata Kak Milah,Tini jadi begitu kerana pembawaan anak di dalam perut." "Anak di dalam perut?"Bujang terkebil-kebil kehairanan. "Tini mengandung,abang,"Kartini berterus-terang."Anak ini anak kita berdua." 'Bagaimana Tini tahu abang berada di sini?"Bujang menyembunyikan rasa gembiranya. "Tini menumpang sebuah lancang,"jawab Kartini tanpa ingin mengulas lanjut."Kami berlabuh di sini.Ketika berjalan-jalan tadi,Tini ternampak kampit abang di atas rakit itu." "Lancang siapa yang Tini tumpangi?"Bujang bertanya lagi. "Entah,tak kenal pun,"Kartini cepat-cepat mengubah tajuk."Yang penting,Tini sudah berjaya berjumpa dengan abang di sini." Bujang memandang arus sungai yang mengalir ke laut."Tetapi,abang masih gagal mencari Chendana.Abang tidak akan berhenti berkelana sehingga berjaya menemuinya.Andai jasadnya tidak ditemui,melihat kuburnya pun sudah memadai." "Marilah kita sama-sama mencarinya,abang,"pujuk Kartini sambil memaut lengan Bujang. "Tini sanggup berhujan-berpanas bersama abang?"Bujang menduga. "Tini sanggup mengikut abang ke mana sahaja,"Kartini melafazkan janjinya. "Baiklah,"balas Bujang sambil tersenyum lalu membisikkan sesuatu ke telinga isterinya. "Sabarlah,di sini bukan tempatnya,"Kartini menolak dengan lembut walaupun matanya tiba-tiba galak penuh bernafsu."Mari kita cari rumah tumpangan di sana." Bujang mengangguk riang. Lantas dia beredar ke rakit mengambil kampitnya. "Datuk Panglima,"pinta Bujang penuh hormat."Nampaknya,hanya setakat ini sahaja kita dapat bersama. Datuk pulanglah ke Jambi.Sampaikan salam hamba kepada Pangeran Ratu." "Apa ini?"desak Panglima Kahar bila Bujang menghulurkan beberapa keping wang emas. "Sedikit sumbangsih,sebagai menghargai jasa Datuk pada hamba,"jelas Bujang. "Hamba tidak mengharapkan balasan,"Panglima Kahar menolak pemberian Bujang dengan lembut."Apa yang hamba lakukan adalah semata-mata menjalankan titah-perintah Yang Mulia Pangeran Ratu." "Hamba menjunjung kasih ke bawah Yang Mulia,"Bujang menghulurkan wang emas yang digenggamnya itu kepada salah seorang hamba suruhan."Wang emas bukan gantinya. Jasa kebaktian baginda akan hamba kenang hingga ke mati." Bujang menghulurkan tangan kepada Panglima Kahar. Mereka bersalaman dan berpelukan. Kemudian,Bujang lekas-lekas menggalas kampitnya mendapatkan Kartini.Mereka terus meninggalkan tempat itu tanpa menoleh ke belakang lagi. Sementara kedua-dua hamba suruhan itu berebut-rebut melihat wang pemberian yang diterima,Panglima Kahar hanya memandang pemergian Bujang dengan wajah yang muram sambil menggelengkan kepala seolah-olah ada sesuatu yang kurang berkenan di hatinya.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now