Bab 52

232 13 0
                                    

Bujang mengambil kesempatan itu untuk mengerjakan solat. Perbuatannya dicontohi oleh Panglima Kahar,Kartolo dan Kasiman. Kartini mengikut orang gaji itu bersembahyang di kawasan yang agak terlindung dari pandangan lelaki manakala dua orang gadis Sepanyol itu asyik mandi-manda di sungai seperti itik berjumpa air. “Anak sudah makan?”orang gaji itu mendekati Bujang ketika Bujang duduk di ataas tunggul memandang kawasan hijau yang berbukit-bukau.”Ini Ibu bawakan sedikit juadah.” “Terima kasih,”Bujang menerima hirisan mangga yang dihulurkan sambil memandang kea rah Kartini yang sudah masuk ke dalam pedati.”Ibu….siapa namanya?” “Muryanti,”ujar orang gaji itu penuh sopan.”Panggil saja Ibu Yanti.Kartolo sama Kasiman itu anak Ibu.” “Gadis orang putih itu?”Bujang menuding kepada dua-beradik yang sedang menukar pakaian.”Sheila dan Isabella?” “Iya,”Ibu Yanti mengangguk.”Anak Tuan Cordoba,majikan Ibu di Madiun. Sebetulnya anak ini mahu ke Madiun mencari siapa?” “Isteri hamba,”tutur Bujang agak keras kerana menahan perasaan. “Kok yang di sana tu siapa pula?”Ibu Yanti melirik dengan matanya kea rah pedati. “Isteri hamba juga,”ujar Bujang.”Hamba beristeri tiga,Ibu.” “Tiga?Tolu?”Ibu Yanti mwenunjuk dengan jarinya.”Waduh!Garang juga anak ini,ya?” Bujang tersenyum dengan usikan itu.”Apa boleh buat,sudah jodoh,Ibu.” “Kok kapannya jadi empat?”Ibu Yanti mengusik lagi. Sebagai jawapan,Bujang hanya ketawa. Perbualan ringkas mereka terhenti bila Kartolo memaklumkan dengan suara yang lantang bahawa mereka sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan. Seorang demi seorang naik ke atas pedati.Sheila dan Isabella yang paling akhir kerana pakaian mereka yang basah terpaksa diperah dan disidai pada bumbung pedati. Tidak lama kemudian,pedati yang ditarik oleh dua pasang kuda itu bergerak semula menyusuri jalan berdebu yang bengkang-bengkok membelah kawasan lembah berbukit-bukau serta bertanah landai itu. “Por Favor,”kata Sheila pada Bujang.Mulanya Bujang tidak faham apa maksud gadis kulit putih itu.Melihat gadis itu memusing badan menunjukkan baju dan butangnya baru Bujang mengerti.Gadis itu memintanya memasang butang bajunya kerana tangannya tidak sampai ke belakang.Bujang melirik pada Kartini tetapi isterinya pura-pura tidak melihat. Pamannya pula tersenyum sumbing.Mahu tidak mahu,dia terpaksa membantu gadis dari Barat itu. Baru sahaja selesai dia memesang butang,tiba-tiba pedati itu bergegar bagaikan rodanya termasuk ke dalam lubang. Gegaran itu menyebabkan badan Bujang tercampak ke hadapan lalu menindih badan Sheila.Pipinya terkena pipi Sheila,hidungnya tercium bau harum dari rambut perang Sheila. Cepat-cepat Bujang membetulkan badan,lantas menjengah ke atas.”Mengapa,Kartolo?” “Maaf,Panglima,”jerit Kartolo dari atas.”Ada lubang tadi. Nggak nampak.” “Hati-hati sikit,”Bujang berpesan sebelum bersandar semula di bangkunya. Dia memejam mata dan berpura-pura tidur selepas itu seolah-olah ingin melupakan apa yang berlaku.Akhirnya dia betul-betul tertidur.Mendengar Bujang berdengkur perlahan,yang lain-lain mula tidur seorang demi seorang.Keadaan bangku di dalam pedati itu memang tidak selesa,ditambah puyla dengan roda yang bergegar di atas permukaan tanah.Zaman itu belum tercipta tempat duduk yang selesa untuk perjalanan jauh seperti itu. Namun,alah bisa tegal biasa.Walau pun dalam suasana yang kurang menyenangkan,mereka dapat tidur juga. Tinggal Kasiman seorang yang terpaksa berjaga kerana Kartolo juga tertidur di tempat duduknya. Kartolo tidur dengan berpaut pada palang besi bumbung. Untuk menjaga keselamatannya supaya tidak terjatuh,pinggangnya diikat dengan tali. Walaupun matahari terik menikam mata, Kartolo tetap berdengkur seperti badak sumbu. Ketika matahari hampir terbenam,Kasiman menyeberangi sebuah jambatan kayu lalu memberhentikan pedati itu di sebuah lembah tidak jauh dari sebatang sungai. Bujang yang mula-mula terjaga terus keluar dari pedati dan bergegas ke tepi sungai. Selepas membasuh muka,dia tercegat memerhati keadaan persekitaran.Dilihatnya kawasan lembah sungai yang dipenuhi hutan tebal itu bagaikan tidak berpenghuni,sunyi dan gelap menunggu tabir malam melabuhkan tirainya.Para penumpang muncul satu demi satu seperti ketam keluar dari lubang.Sementara Kasiman memberi makan kuda,Panglima Kahar membantu Kartolo mendirikan khemah kain tarpan.Kaum perempuan pula mencari kayu api dan menyediakan makanan. Melihat isterinya terkial-kial hendak mengangkat sebuah periuk besar dari atas bumbung pedati,Bujang segera membantu.Periuk tembaga berkaki tiga buatan Belanda itu diturunkan ke tanah lalu diletakkan berhampiran kawasan khemah.Diperhatinya periuk itu seketika kerana kelihatan agak aneh. “Orang Belanda memanggilnya periuk potjie,”beritahu Kartini sambil tersenyum.”Yang lucunya,kalau tersalah sebut bunyinya agak melucahkan.” “Tini tak terasa nak muntah-muntah?”Bujang merenung perut isterinya. “Ada juga,”Kartini mengaku.”Biasalah,orang mengandung.Tapi Tini membawa bekalan jeruk asam untuk dimakan supaya tahan mabuk.” Bujang mencapai dua-tiga pontong ranting kayu berdekatan lalu disusun di bawah periuk tembaga itu.Diletak pula cebisan daun-daun kering yang mudah terbakar.Dengan gobek api yang dihulurkan oleh Kartini,dia pun menyalakan api.Percikan bunga api menyambar dedaun kering dan mula menjilat pontong-pontong kayu.Sementara Kartini menjaga supaya api tidak padam, Bujang mundar-mandir di sekitar kawasan perkhemahan mencari lebih banyak kayu api. “Panglima nggak perlu susah-susah,”tegur Kartolo ketika berselisih dengannya.”Ini tanggung- jawab kami karena kami sudah dibayar upahnya.” “Sekali-sekala hamba membantu apa salahnya,”jawab Bujang sambil terus juga mengutip kayu api.”Berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.” Kartolo tidak menjawab lagi,sebaliknya terus mencari kayu untuk dibuat pancang khemah. Bujang kembali membawa seberkas kayu api yang diletakkan berhampiran periuk tembaga. Sementara menunggu nasi ditanak dan lauk-pauk dimasak,Bujang mandi-manda di sungai.Malam itu,Bujang bersembahyang di atas batu hampar di tepi sungai kerana khemah belum siap.Kain pelikat dijadikan sejadah.Kemudian,dia berdoa serta berwirid panjang tanpa menghiraukan nyamuk dan agas yang berterbangan di sekitar. Selepas itu,dia berzikir pula di dalam kegelapan malam yang hanya diterangi cahaya unggun api. Agak lama juga dia duduk bersila bermunajad kepada Allah,baru dia perasan khemah belum juga siap-siap.Begitu juga dengan makan-minum. Dia pun bangun menyelimpang kain pelikatnya, lantas turun dari batu hampar itu. Ketika Bujang mendekati tapak perkhemahan,dilihatnya Panglima Kahar,Kartolo dan Kasiman masih terkial cuba mendirikan khemah sambil tidak henti-henti menampar nyamuk. Kaum perempuan pula duduk mengelilingi periuk tembaga menunggu air mendidih. “Mengapa gerangan nian berlaku,Paman?’Bujang bertanya selamba. “Biasalah,Bujang,”balas Panglima Kahar sambil menampar nyamuk.”Malam pertama kita berkhemah di Tanah Jawa. Barangkali ada orang ingin bergurau dengan kita atau ingin mencuba ilmu di dada.” “Panglima tidak digigit nyamuk?”tanya Kartolo pula sambil menampar lengannya. “Tidak,”dengan pantas Bujang membalas.”Pantang-larang dalam hutan kalau diikut takkan ada yang mengganggu kita.” “Boleh jadi juga karena cincin sakti itu,”Kasiman pula mencelah menuding pada cincin berbatu zamrud di jari Bujang.Batu itu menyala terang mengeluarkan sinar berwarna hijau di dalam kegelapan itu,sekali pandang seakan-akan sebutir mata ular. “Cincin tetap cincin dan tidak berkuasa apa-apa,”tegas Bujuang lantas mendekati isterinya pula.Dia memanjangkan leher meninjau ke dalam periuk itu. Air yang dijerang sekian lama belum juga panas walaupun apinya marak menyala. “Begitulah keadaannya,abang,”hanya Kartini yang bersuara.”Dari senja tadi sampailah sekarang,airnya tak mahu mendidih juga.Bagaimana kita nak masak?” Seperti kaum lelaki,pihak perempuan juga tidak henti-henti menampar nyamuk yang hinggap di muka,lengan atau badan.Bujang termenung sejenak memikirkan perkara yang luar biasa itu. “Nampaknya kita berlapar malam ini,”tutur Bujang perlahan. Kata-kata Bujang itu disambut dengan gelak-ketawa perempuan. Bujang terkejut,lantas membuka matanya. Mereka masih lagi berada di atas pedati tetapi hari sudah beransur senja. Baru dia sedar dia hanya bermimpi sekejap setelah tertidur. “Di mana kita sekarang?”Bujang bertanya pada Kartini. Kartini menggelengkan kepala tanda tidak tahu. “Kalau tak silap Ibu,kita sudah dekat dengan Lembah Tarum,”Ibu Yanti yang menjawab. “Kita akan menyeberangi sebatang anak sungai?tanya Bujang lagi. “Iya,”akui Ibu Yanti.”Sungai Tarum. Ada jambatan kayu di sana.” Bujang diam selepas itu,fikirannya teringat kembali mimpinya tadi serta alamatnya. Mimpi-mimpi seperti semakin kerap dialami,seolah-olah menunjukkan padanya sesuatu pertanda sebelum kejadian itu benar-benar berlaku. Benar seperti kata Ibu Yanti.Ketika sang suria hampir terbenam di ufuk Barat dan remang- remang senja mula menampakkan cahanya merah-kuningnya,pedati itu pun tiba di sebatang anak sungai yang airnya mengalir deras. Setelah menyeberangi sebuah jambatan kayu,Kasiman memberhentikan pedati itu di pinggir sungai. “Ingat baik-baik segala pantang-larang,”pesan Bujang kepada mereka semua.”Jaga hati supaya tidak lalai,jaga mulut jangan sampai celupar. Lembah ini keras tempatnya.” Tanpa berlengah,Bujang mendahului mereka turun dari pedati itu. Langkah pertama yang dilakukan ialah mengelilingi kawasan perkhemahan itu hingga ke tebing sungai sambil meninjau persekitaran yang agak menyeramkan itu.Ranting anak-anak kayu dipatahkan sebagai menanda sempadan. Selesai memagar kawasan itu,Bujang duduk bersila di atas seketul batu hampar sambil memejam mata menghening cipta. Sambil memantapkan zikirnya,dia berjaya menyatukan alam zahir dengan alam kebatinan. Melalui mata hatinya,dia melihat seluruh kawasan lembah itu penuh dengan makluk aneh. Makhluk itu berbadan manusia tetapi berkepala babi,harimau,monyet serta lain-lain haiwan lagi.Semua makhluk itu bagaikan terbang di awing-awangan,tidak berpijak di muka bumi.Syaitan,bisik hatinya.Dengan serta-merta makhluk itu lenyap dari pandangan. Bila Bujang membuka mata,maghrib sudah pun melabuhkan tirainya. Dia bergegas kembali ke tapak perkhemahan. “Paman,”Bujang menegur bapa saudaranya yang sedang sibuk membantu Kasiman mendirikan khemah.”Khemah ini biar mereka yang uruskan.Paman ada tugas penting.” Bujang menarik tangan Panglima Kahar mengajaknya pergi jauh dari pendengaran orang lain “Tugas apa,Bujang?”tanya Panglima Kahar, “Bujang rasa Paman lebih arif dalam perkara ini,”ujar Bujang ringkas.”Gerak-langkah harus dijaga,terbang biar menyongsong angin.” “Kalau begitu,biar Paman sediakan barang-barangnya,”sahut Panglima Kahar.” Setitik akan Paman lautkan,segumpal akan Paman gunungkan.” Bujang membiarkan Panglima Kahar dengan urusannya.Kampit yang disimpan di atas pedati diambilnya,dibawa ke pinggir sungai.Sementara menunggu khemah didirikan dan makan-minum siap disediakan,dia mandi-manda membersihkan badan di air sungai yang jernih tetapi deras itu. Setelah menyarungkan pakaian sembahyang,dia membentangkan kain cindai kuning sebagai sejadah lalu berdiri mengerjakan solat maghrib dan isyak yang dijamakkan di atas batu hampar di tebing sungai itu. Semasa dia melakukan amal ibadat itu,angin ribut seperti puting beliung datang berpusing-pusing di sekitarnya.Namun,tidak dipedulikan.Dia bersembahyang dengan khusyuk hingga ke akhir salam. Selepas berwirid dan membaca doa ringkas,dia pun duduk bersila menghadapi tentangan kuasa jahat yang tidak diketahui. Dengan izin Allah Taala,kasyafnya terbuka dan mata basirahnya dapat melihat sekali lagi makhluk-makhluk aneh berkepala haiwan itu.Bilangan mereka semakin banyak,jauh lebih banyak dari tadi.Mereka memenuhi seluruh langit dan bumi,namun tidak berupaya menembusi garisan sempadan yang memagari kawasan perkhemahan itu.Terlintas dalam hatinya sepotong ayat suci Al-Qur’an yang diambil dari Surah Yasin. Ayat itu dibacanya. – “Lanarjumannakum-walayamassannakum-minna-azabul-alim” – Sekonyong-konyong muncul panahan api entah dari mana lalu membakar hangus beberapa makhluk aneh yang berterbangan di angkasa,Yang lain-lain terbang bercempera. Bujang membaca lagi ayat suci tersebut menyebabkan beberapa ekor lagi terbakar. Bujang terus-menerus menyerang makhluk-makluk jahat itu dengan panahan api sehingga tidak ada saki-bakinya lagi. Langit kembali seperri biasa. Bujang membuka matanya lalu mendongak ke langit. Jutaan bintang berkerlipan memagari bulan sabit yang baru hendak terbit. Bujang pun melompat turun dari batu hampar itu.Pakaian sembahyangnya ditukar dengan pakaian pendekar,kain cindai kuning dilipat baik-baik lantas disimpan kembali. Dia menggalas kampitnya ke tapak perkhemahan. Dua khemah sudah pun didirikan untuk kaum lelaki dan kaum perempuan bermalam berasingan.Bujang masuk meletak kampitnya di dalam khemah lelaki. Dia duduk menghadapi makan malam bersama mereka.Kejadian makanan tidak dapat dimasak dan khemah tidak dapat didirikan berjaya dielaknya dengan izin dan kuasa Allah Taala. Lebih dari itu,makhluk-makhluk yang cuba mengganggu mereka juga telah hancur binasa.Tiada sesiapa pun di situ menyedari apa yang sebenarnya berlaku melainkan dirinya.Malam itu,mereka dapat tidur dengan aman tanpa sebarang gangguan.Jangan kata jin dan syaitan,seekor nyamuk pun tidak menghampiri mereka.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now