Bab 58

218 11 0
                                    

Malam itu di atas geladak lancang,Lela Wangsa dan Andika mengadakan perbincangan dengan para pendekar dan hulubalang. “Sudah dua hari kita berlabuh di sini,”Lela Wangsa memandang ke arah pantai Jokjakarta yang bermandikan cahaya bulan.”Tadi,hamba mendapat tahu bahawa sultan di negeri ini belum lagi balik dari perburuan.Apa pendapat kamu semua?Mahu tunggu lagi di sini atau kita belayar balik ke Batu Sawar?” Para pendekar dan hulubalang berbisik sesama sendiri. “Pendapat hamba,eloklah kita tunggu barang beberapa hari lagi,”Andika meluahkan,disambut dengan anggukan oleh sebahagian besar mereka.”Kita tunggu Panglima Agung. Sudah jauh kita belayar,takkan kita pulang dengan tangan kosong.” “Kami sokong pendapat Andika,”seorang pendekar membalas mewakili kawan-kawannya. “Hamba juga mendapat tahu bahawa Panglima Agung mencari Tun Chendana di Madiun,” Lela Wangsa meneruskan lagi.”Mustahil dia akan menemuinya di sana.Hamba khuatir dia akan melencong ke tempat lain dan tidak terus kemari.” “Jadi,apa yang harus kita buat,Lela Wangsa?”tanya seorang pendekar lain pula. “Seorang utusan perlu dihantar ke Madiun dengan segera,”sambung Lela Wangsa.”Kita tak mahu ayam terlepas tangan berbau tahi.Berita baik tentang Tun Chendana perlu diketahui oleh Panglima Agung supaya Panglima tidak terus berkelana tanpa arah dan tujuan.” “Kalau begitu,hamba sanggup,”Andika menawarkan diri.”Mala mini juga hamba boleh bertolak ke Madiun.Tapi,di mana hendak mencari kudanya?” “Tentang kuda,Andika usah khuatir,”Lela Wangsa menegaskan.”Kita pinjam kuda penduduk. Kalau perlu kita beli,kita beli. Sekarang,pergilah berkemas-kemas,Andika. Kita naik ke darat mencari kuda tunggangan.” Tanpa disedari oleh mereka,perbincangan itu turut didengar oleh Daeng Ratna dari kawasan gelap yang tidak disuluh cahaya bulan.Dia segera kembali ke kurungnya lalu membuka sebuah peti kayu berisi barang-barangnya. Dari peti itu,dikeluarkan sepersalinan lengkap seorang pendekar. Dia mula menyalin pakaiannya dengan pakaian serba hitam itu. Dayang-dayang tertanya-tanya. “Mahu ke mana malam-malam begini,Tuan Puteri?”Murni memberanikan diri bertanya. “Kalian tunggu di sini,jangan ke mana-mana,”titah Daeng Ratna sambil mencapai sebilah keris Bugis.”Beta ada pekerjaan penting dengan Andika.” Subuh-subuh lagi keesokan harinya, Khamis 10 Muharam 1063 Hijrah bersamaan dengan 2 November 1652 Masehi , pedati yang dipandu oleh Kartolo dan Kasiman tiba di Madiun.Dalam keadaan keletihan dan mengantuk kerana memandu semalam-malaman,Kartolo memberhentikan pedati itu di hadapan deretan kedai dan rumah-rumah kediaman.Bujang dan Panglima Kahar yang memilih untuk menunggang kuda juga berhenti.Seperti Kartolo dan Kasiman,mereka berdua juga keletihan,mata masing-masing merah kerana tidak cukup tidur. “Kediaman Tuan Cordoba di sana,”Kartolo menuding dengan jarinya. “Hantar dulu anaknya yang berdua itu,kemudian cari rumah tumpangan,”Bujang memalingkan kudanya.”Hamba hendak ke masjid.” Bujang terus memecut kudanya ke masjid tidak jauh dari situ,diikuti oleh Panglima Kahar. Ketika matahari muncul dari balik gunung,mereka berdua sudah siap mandi,menukar pakaian dan menunaikan sembahyang subuh.Bujang menyarungkan persalinan lengkap seorang panglima, berbaju layang serta membawa panah.Begitu juga dengan Panglima Kahar,pakaiannya mengikut gaya panglima Jambi. Tanpa membuang masa,mereka terus memecut menuju ke pedati di hadapan sebuah kedai makanan. Kartolo dan Kartini sudah menunggu di kedai itu. “Bujang,biar paman pergi berjumpa kepala desa bertanya khabar,”Panglima Kahar minta diri. “Baiklah,”Bujang melompat turun dari kudanya,tali kekang ditambat pada tiang kedai berhampiran. Dia melangkah masuk dengan penuh semangat.”Mana Chendana isteri hamba?” dia terus menyoal Kartolo yang sedang bersarapan bersama Kartini. “Kalau ya pun,duduklah dulu,”tegur Kartini lembut.”Kita sarapan.” “Mana isteri hamba?”Bujang terus mendesak Kartolo tanpa mempedulikan Kartini. “Nggak…nggak ada,”terketar-ketar Kartolo menjawab. “Apa maksudnya tidak ada?”suara Bujang mula meninggi,menarik perhatian lain-lain pelanggan di kedai itu. “Maksudnya memang tidak ada,abang,”Kartini menjawab bagi pihak Kartolo.”Chendana tidak dibawa ke Madiun.Tuan Cordoba tidak jadi membelinya.Dia dihantar ke Madura untuk bekerja di lading cengkih.” “Cis,”Bujang mengepal-ngepal tangannya menahan geram.”Sia-sia sahaja kedatanganku!” “Makan dulu,abang,”Kartini cuba memujuk sambil menghulurkan sepiring kueh. “Seleraku sudah tumpul,”bentak Bujang.”Nasi dimakan terasa pasir,air diminum terasa cuka.” Dengan kata-kata itu,Bujang berpaling lalu kembali ke kudanya dengan langkah yang panjang. Tali kekang dibuka dari ikatan.Sekali lompat,dia sudah berada di atas kudanya.Dia terus memecut pergi seperti ribut. Selang beberapa meja,Daeng Ratna memberi isyarat kepada Andika supaya mengikut Bujang, kemudian bangun menghampiri meja Kartini.”Boleh kami duduk di sini?” Kartini mendongak memerhati Daeng Ratna yang berpakaian seperti pendekar tetapi tidak mengenalinya.”Duduklah,tuan hamba.” “Kenal beta lagi?”Daeng Ratna terus bertanya.”Rumah pesanggerahan di Betawi?” Kartini mengamati wajah Daeng Ratna betul-betul,kemudian tersenyum.”Tuan Puteri dari Bugis rupanya.Kenapa Tuan Puteri berpakaian seperti ini?Nak pergi belajar silat?” “Raden Adjeng Kartini,”suara Daeng Ratna mengeras.”Kaulah musang berbulu ayam. Kau upah orang-orang Bugis melarikan Tun Chendana.Kau bohong pada Panglima Agung.Sekarang kau gunakan dia demi rancanganmu yang kotor itu.Kau merancang hendak membolot semua harta kepunyaan Angkatan Fisabillah.” “Berani kau…!”Kartini cuba bangun tetapi ditahan dengan kasar oleh Daeng Ratna. Kartolo yang tidak tahu-menahu apa-apa segera bangun dan berundur ke tepi. “Beta tahu kau berbadan dua,”tegas Daeng Ratna.”Sebab itu beta berlembut.Kalau tidak….!” “Kalau tidak,apa?”Kartini menjegil matanya.”Aku tak takutlah.Aku pun belajar pencak silat.” Daeng Ratna bangun,tidak mahu melayan Kartini lagi.”Ingat baik-baik,wahai Raden Adjeng Kartini. Jangan dekati Panglima Agung lagi.Untuk makluman kau,Tun Chendana sudah kami selamatkan,Seri Bija sudah kami usir dari Johor. Kau juga diharamkan memijak bumi Johor atau Tanah Bugis buat selama-lamanya.” Tanpa menunggu balasan dari Kartini,Daeng Ratna terus keluar dari kedai itu menuju ke kudanya. Dia menunggang dengan tenang mengikut arah yang diambil oleh Bujang and Andika. Pelanggan-pelanggan di kedai itu mula bercakap-cakap sesama sendiri. Mana-mana yang faham bahasa Melayu mula menerangkan kepada rakan-rakannya dalam bahasa Jawa. “Kartolo,”Kartini memanggil supir itu menghampirinya.”Kulo sebagai Raden Adjeng Kartini ada tugas yang maha penting untuk sampian….!” Daeng Ratna yang mengekori cuba mengekori Bujang akhirnya bertembung dengan Andika di pinggir pekan Madiun.”Mana Panglima Agung?” “Entahlah,”jawab Andika lemah.”Laju betul dia menunggang kudanya,tak terkejar dek kita.” “Habis,apa kita nak buat sekarang?”Daeng Ratna kelihatan seperti putus asa. “Ratna balik ke lancang,maklumkan kepada panglima perang apa yang berlaku,”Andika menyuruh sepupunya.”Kanda akan cuba cari Panglima Kahar di Madiun minta bantuannya.” Setelah perasaan marahnya yang membuak-buak reda,Bujang pun memperlahankan kudanya. Kuda itu kelihatan termengah-mengah akibat berlari kencang sejak meninggalkan Madiun. Hatinya berbuku lagi.Chendana sudah dibawa ke Madura?Di mana letaknya pekan itu? Dia mencari-cari nama itu dari lembaran kenangannya. Mungkin juga Pulau Madura.Ah,biar ke mulut naga sekali pun,Chendana tetap akan dicarinya. Sedar-sedar,Bujang sudah sampai berhampiran air terjun.Tempat itu dikelilingi oleh pohon-pohon liar yang rendang dan agak terlindung. Dia turun dari kudanya lalu menarik kuda itu ke gigi air.Kuda itu dibiarkan minum sepuas-puasnya.Perutnya berkeroncong kerana belum sempat bersarapan.Demi terpandang busar panah yang tergantung pada pelana kuda,dia mendapat satu akal. Kuda itu ditambat pada sebatang anak kayu dan dibiar meragut rumput. Dia mengambil busar panah itu bersama beberapa bilah anak panah. Dia pun masuk ke dalam hutan mencari binatang buruan.Dia tidak memilih binatang apa asalkan halal dimakan. Puas Bujang merayau di kawasan itu,akhirnya pendengarannya yang tajam dapat menangkap bunyi desiran daun bagaikan dirempuh sesuatu.Kemudian terdengar kokokan ayam. Dia segera membongkok dan merangkak senyap-senyap menuju ke arah bunyi itu. Dari celah semak-samun, dia mengintai ke sana. Dugaannya tidak meleset. Di atas sebuah busut tertenggek seekor ayam hutan,bulunya yang berwarna-warni menunjukkan ayam itu ayam jantan.Ayam itu mengekas-ngekas memanggil ayam betina. Berhati-hati Bujang memasang anak panah pada tali busar,tali itu ditarik perlahan-lahan sehingga benar-benar tegang.Anak panah itu ditenang kea rah ayam jantan tersebut. Dia menahan nafas.Kalau kena,berlauk ayamlah hari ini,bisik hatinya.Anak panah itu dilepaskan. Bisikan hatinya menjadi kenyataan. Ayam hutan yang tadinya bertenggek megah di atas busut sudah mengelupur di atas tanah,badannya ditembusi anak panah. Bujang tidak membuang masa lagi.Sambil menggalas busar panahnya,dia lantas menghunus goloknya lalu menerpa untuk menyembelih ayam itu. Alangkah terkejutnya apabila dia terpandang bukan sebilah tetapi dua bilah anak panah telah menembusi badan ayam hutan itu. “Sembelih cepat manok itu sebelum jadi bangkai,”pinta satu suara lelaki bertutur Melayu dengan loghat Jawa yang pekat.Sepantas kilat Bujang menoleh ke arah suara itu.Tampak padanya seorang lelaki tercegat di tepi sebatang pokok sambil tersenyum padanya.Lelaki itu tegap-sasa orangnya,berusia dalam lingkungan empat-puluhan,berpakaian sorjan dan bangkon warna kuning keemasan.Misainya keras berdenting. Di tangannya tergenggam sebusar panah.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now