Bab 7
TOK Ma cukup tak suka apabila Azhar memberitahu yang dia dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Qaisya. Sudah setahun Azhar dan Naira tidak jadi kahwin kerana gadis itu melarikan diri, Azhar masih lagi sibuk hendak menjaga adik si Naira yang seorang itu. Jampi apalah yang Naira dah letak pada Azhar sehingga Azhar masih tidak boleh melupakan keluarga bekas tunangnya itu.
"Berapa kali dah tok pesan dekat kamu? Jangan pergi KL dah! Jangan ada kaitan dengan keluarga tu dah! Kenapa kamu degil sangat ni?" Dia mula membebel di telefon.
Azhar hanya mampu menadah telinga. Dia tahu Tok Ma tidak suka tetapi apa lagi yang boleh dia buat? Takkanlah dia hendak biarkan saja Qaisya terkontang-kanting seorang diri? Dia perlu tahu apa yang sedang dihadapi Qaisya. Barulah hatinya tenang. Kalau tidak, resah memanjang! "Azhar pergi tanya khabar aje, tok. Tak lama pun. Esok Azhar baliklah Ipoh," katanya lagi sambil mengurut dahi.
"Kalau setakat nak tanya khabar, mesej ajelah! Yang sampai sanggup ke KL tu buat apa? Kamu ada sembunyikan sesuatu daripada tok, ya? Baik kamu bagi tahu tok sekarang."
"Sembunyi apa, tok? Tak ada sembunyi apa-apalah!"
"Habis tu? Kenapa beriya sangat nak jumpa si Qaisya tu?"
"Kawan dia telefon Azhar kelmarin. Katanya, Qaisya tengah ada masalah."
"Masalah apa?"
"Itu yang Azhar nak pergi tanya Qaisya sendiri. Tok pun satu. Tak soal periksa, tiba-tiba aje nak marah Azhar. Cubalah tanya dulu."
Tok Ma sudah berpeluk tubuh. Masih lagi tidak puas hati dengan tindakan Azhar yang terlalu risaukan Qaisya yang sudah tiada kaitan lagi dengan mereka. Kalau ikutkan hati, dia tidak mahu Azhar ada kaitan lagi dengan keluarga itu. "Tok tak suka kamu masih ada kaitan dengan keluarga tu. Tak ingat apa yang mereka dah buat dekat kita? Si Naira tu. Tinggalkan kamu seminggu sebelum majlis kahwin. Tak ingat?" Tok Ma cuba mengingatkan Azhar tentang kejadian lalu. Azhar mengeluh perlahan. Mana mungkin dia lupa? Hampir sebulan dia tidak boleh menumpukan perhatian terhadap kerja kerana asyik terfikirkan Naira.
"Ingat, tok. Tapi, Qaisya tak ada dosa dengan kita." Azhar cuba menjelaskan.
"Ikut suka kamulah, Azhar. Dah berbuih mulut tok ni bagi nasihat dekat kamu. Tapi, nak juga ambil berat tentang si Qaisya tu. Sudahlah! Tok dah malas nak nasihat. Kamu pun dah besar panjang. Ikut suka kamulah nak buat apa pun." Tok Ma terus mematikan panggilan.
Azhar mengeluh berat. Tidak sangka yang Tok Ma boleh semarah itu. Dia tahu neneknya kuat membebel tetapi tak sangka pula yang Tok Ma boleh berdendam dengan Naira sehingga ke tahap itu. Azhar kembali menumpukan perhatian ke atas jalan raya. Walaupun Tok Ma begitu bencikan Naira, tidak ada sebab untuknya membenci Qaisya kerana gadis itu benar-benar tidak ada dosa dengan mereka semua. Qaisyalah yang paling banyak diduga.
***
QAISYA terjaga daripada tidur saat terdengar tangisan Hannan yang kuat. Dia menggosok-gosok matanya. Dengan malas, dia bangun daripada baring dan menghadap Hannan yang sedang menangis tanpa henti di sebelahnya. Qaisya menguap besar.
"Hannan.. Hannan sayang.." Qaisya mengangkat bayi itu daripada katil dan mula menepuk belakang Hannan dengan lembut. "Kenapa menangis tak henti-henti ni? Sshhh.. sshhh.. berhentilah menangis, sayang. Mama Sya mengantuk ni.. sshhh.." Qaisya masih cuba memujuk, namun tidak berhasil. Hannan tetap juga menangis.
Walaupun Qaisya masih lagi mengantuk dan ingin kembali melelapkan mata, mustahil untuk dia biarkan saja Hannan menangis begitu. Akhirnya, dia bangun daripada katil dan mula berjalan di sekitar bilik tidur untuk menenangkan Hannan. Qaisya sudah menggaru-garu kepalanya apabila Hannan tidak juga berhenti menangis. Menyanyi sudah, dukung pun sudah. Apa lagi yang tak kena ni? Selalunya, Hannan tidak begini.
YOU ARE READING
Setelah Kita Bertemu [ TERBIT ]
RomanceIndah dan bahagia, dua kata itu cukup menggambarkan betapa sempurnanya hidup Airis Qaisya. Namun, satu kejadian yang menimpa telah meragut segala-galanya. Dalam sekelip mata, indah itu lenyap.... bahagia itu ranap. Kakak kembarnya, Alayna Naira, mel...