Sabtu 10 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 2 Disember 1652 Masehi, bahtera Indera Kayangan pun membongkar sauh lalu belayar meninggalkan Pelabuhan Makasar. Baginda Raja Gowa bersama pembesarnya serta sebilangan besar penduduk turut berada di pelabuhan untuk mengucapkan selamat jalan kepada Bujang serta semua anak buahnya yang sekian lama berkampung di situ. Dari atas anjung hadapan,Bujang dan isteri-isterinya melambai- lambai tangan ke arah mereka di darat.Ratna kelihatan mengesat airmata kerana terpaksa berpisah dengan ibu-bapanya buat sementara waktu,dipujuk oleh Chendana dan Balqis. Bujang pura-pura tidak melihat karenah isteri-isterinya yang sudah seperti adik-beradik itu.Dia juga pura-pura tidak nampak Mayang Sari yang turut berada di anjung tetapi tidak dilihat oleh sesiapa. Setelah Pelabuhan Makasar sudah jauh ditinggalkan,baru Chendana dan Balqis mengajak Ratna masuk ke kamar besar. Tinggal Bujang bersama anak gadisnya Fatimah masih di situ memerhati lautan luas.Tanpa disedari Fatimah,Mayang Sari juga berada di sebelah Bujang. “Ayah,boleh kah Fatimah ikut sama ke Mekah?”tiba-tiba Fatimah bertanya. “Apa kata ibumu?”Bujang bertanya balik. “Bonda suruh bertanya pada ayah,”jawapan Fatimah membuatkan Mayang Sari tersenyum. “Baiklah,”Bujang mengangguk tanda memberi kebenaran.”Belajar rukun haji betul-betul.” “Terima kasih,ayah,”Fatimah berlari masuk ke kamar besar untuk menyampaikan berita gembira itu kepada ibunya Balqis.Bujang dan Mayang berbalas-balas senyum. “Keletah betul anak gadis abang itu,”Mayang Sari memuji. Bujang hanya tersenyum. Tiba-tiba Puteri Rubiah pula menjelma di sisi Bujang.Puteri Rubiah bersalam dengan Mayang Sari,kemudian mencium tangan Bujang. “Rubiah baru datang dari istana,”beritahu Puteri Rubiah pada Bujang. “Baguslah,kedua-dua sudah berada di sini,”Bujang memerhati Mayang Sari dan Puteri Rubiah silih berganti.”Abang mahu kamu berdua membuat keputusan sekarang. Mahu menetap bersama abang di atas bahtera ini atau mahu berulang-alik antara alam ghaib?Kata pemutus di tanganmu.” “Seorang isteri wajib berada di samping suaminya,”Mayang Sari tidak bertangguh-tangguh lagi membuat keputusan yang dianggapnya terbaik. “Rubiah?” tanya Bujang pula pada isterinya dari Negeri Segara Masin itu. “Benar kata Mayang,”sokong Puteri Rubiah.”Hidup-mati Rubiah tetap bersama abang.” Bujang menarik nafas lega,gembira dengan keputusan kedua-dua isterinya itu. “Baiklah,”Bujang memaklumkan.”Abang berpegang pada janji kamu berdua.Namun,jika sekali-sekala kamu ingin kembali menemui kedua-dua orang tuamu,abang tidak melarang.Anggaplah Chendana,Balqis dan Ratna seperti saudaramu sendiri.Ajar mereka apa-apa yang perlu diajar.” “InsyaAllah,kami berjanji,abang,”ikrar Mayang Sari.Puteri Rubiah mengangguk tanda sependapat dengan madunya itu. Bujang masuk ke kamar besar.Melihat Ratna,Chendana,Balqis dan Fatimah sedang berbual-bual kosong di ruang dapur,dia pun keluar dari situ dan turun ke geladak memerhati anak buahnya menjalankan tugas masing-masing.Dia berpuas hati melihat Yaakub Lim dan Lela Wangsa berada di kamar kemudi mengendalikan pelayaran.Panglima Kahar dan Andika sedang berbual-bual di suatu sudut geladak sambil bermain dam manakala Aria Wulon duduk bersendirian membuat latihan Yoga. Bujang menghampiri Panglima Kahar dan Andika,memerhati mereka bermain seketika. “Bujang,Paman hendak kembali ke Jambi,”tiba-tiba Panglima Kahar meluahkan hasratnya Bujang dan Andika berpandangan,tidak menyangka sama sekali keputusan itu. “Paman tak ingin menyertai perjuangan kami?”tanya Bujang. “Paman sudah tua,”balas Panglima Kahar sambil bermain.”Biarlah orang-orang muda seperti kalian meneruskan perjuangan kami yang belum selesai. Balik dari Mekah,Paman akan terus menetap di Jambi.” “Kalau sudah demikian keputusan Paman,apakan daya Bujang,”ujar Bujang tenang. Dia meninggalkan Panglima Kahar dan Andika dengan permainan dam mereka. Beredar pada Aria Wulon yang sedang khusuk mengamalkan latihan Yoganya. Dia memerhati keadaan Aria Wulon yang sedang duduk bertafakur,badannya seakan-akan mengeluarkan asap nipis.Dia seperti bergelut dengan sesuatu secara kebatinan.Ada perlawanan batin yang dahsyat.Tiba-tiba Aria Wulon mengalah,seluruh badannya menggigil.Dia ternampak Bujang. “Kalau Panglima ada di sisi,ilmu hamba tidak menjadi,”katanya sambil tersenyum tawar.”Tadi hamba nampak badan Panglima penuh diseliputi cahaya kuning dan putih.Apa rahsianya?” “Rahsianya ada dalam amalanmu,Aria,”Bujang menjawab ringkas.Kerana tidak ingin berhujah dengan panjang-lebar,Bujang meninggalkan Aria Wulon menuju ke kamar kemudi.Kedatangannya tidak disedari oleh Yaakub Lim yang sedang asyik membelek peta besar di dinding dan Lela Wangsa yang mula belajar menggunakan kompas bahtera itu.Bila Bujang batuk-batuk kecil,baru mereka menyedari kehadirannya. “Panglima muncul senyap-senyap macam malaikat,”tegur Lela Wangsa,agak terkejut. Yaakub Lim hanya tersengih sambil terus memerhati peta.Bujang sama-sama meneliti peta itu. “Laluan mana yang kita ikut?”tanya Bujang ingin tahu. “Kita belayar menyeberangi Selat Makasar dan terus ke Pulau Belitong sebelum singgah di Batu Sawar,”Yaakub menunjukkan dengan jari telunjuknya di atas peta itu pelayaran yang bakal dilalui. “Musim tengkujuh sudah berakhir,”Bujang memberi pandangan.”Mengapa tidak diikut perairan jajahan Berunai?Kita boleh menyusur pantai hingga ke Pontianak,kemudian menyeberangi Laut Cina Selatan ke Johor.” “Cadangan hamba sebenarnya,Panglima,”Lela Wangsa mencelah.”Hamba pilih jalan yang paling dekat untuk cepat sampai ke tempat tujuan.Dulu kita bergantung pada angin untuk belayar tapi sekarang tidak lagi.Ribut-taufan dan laut yang bergelombang tidak menjadi halangan pada bahtera ini.” “Air minuman juga tidak perlu dicari kerana boleh ditapis dari air laut,”sokong Yaakub Lim. “Makanan segar sukar diperolehi di atas bahtera ini,”Bujang membantah.”Dengan menyusur pantai,kita boleh singgah di mana-mana pelabuhan untuk mendapatkan bekalan.Boleh juga kita melepas rindu pada tanah daratan.” “Kalau begitu hamba akan mengubah haluan,”akhirnya Lela Wangsa bersetuju.”Kita belayar melalui Banjarmasin,Telok Ketapang dan Pontianak.” “Benar kata Panglima,”Yaakub Lim angguk kepala.”Kita hanya bergantung kepada ikan sebagai makanan segar pada hal kita kekurangan sayur-sayuran dan buah-buahan.Terlalu lama kita di laut, memang membosankan,sekali-sekala mahu juga kita naik ke darat.” “Hamba sekadar memberi buah fikiran,”balas Bujang dengan tenang.”Sungguhpun bahtera ini dikatakan tidak akan tenggelam walau sekuat mana ribut dan taufan,tidak salah kita berikhtiar mengelak dari malapetaka.” Bujang meninggalkan kamar kemudi dan turun pula ke geladak tengah di mana terdapatnya kamar-kamar kepunyaan anak buahnya.Masih banyak lagi kamar yang kosong tanpa penghuni. Dia turun pula ke geladak bawah di mana ditempatkan berpuluh-puluh pucuk meriam besar, rentaka, lela,pemuras dan meriam penabur,semuanya sudah diisi dengan peluru dan siap-sedia untuk digunakan pada bila-bila masa.Bujuang turun ke bawah lagi memeriksa bilik kebal yang menempatkan barang-barang berharga,bilik bekalan senjata serta tempat-tempat simpanan yang masih kosong dan belum ditentukan kegunaannya. Akhir sekali,Bujang turun ke ruang paling bawah di mana ditempatkan segela jenis jentera yang menggerakkan bahtera itu.Semuan jentera itu tidak memerlukan sebarang penyelenggaraan,dihubungkan terus dari sumber tenaga matahari di atas.Terdapat juga jentera gomba yang membekalkan air ke seluruh bahtera.Bagaimana air itu ditapis dari laut,hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Perut bahtera itu diperbuat daripada kaca jernih sehingga jelas kelihatan batu karang dan ikan-ikan yang berenang di bawahnya. Banyak lagi rahsia tentang bahtera ajaib itu yang masih belum diketahuinya. “Sikit benar abang makan?”tegur Chendana tengahari itu bila melihat Bujang membasuh tangan. “Abang masih kenyang,”Bujang memberi alasan sambil mengesat misainya. “Mungkin masakan kami kurang sedap,”usik Mayang Sari mengukir senyum. “Bukan begitu,”Bujang melirik pada Rubiah yang mengetahui cerita sebenarnya. “Tak apalah,besok akan kami masakkan ikan pekasam goreng kegemaran abang,”Balqis pula mencelah.”Atau pun ikan bakar cicah air asam.” “Yalah,”Bujang mengalah,tidak mahu menjangkan cerita.Dia meneguk minumannya dan berharap perkara yang remeh-temeh itu tidak diperbesarkan lagi.Mayang Sari dan Puteri Rubiah yang dapat membaca isi hatinya mengangguk perlahan tanda faham.Bila tiba masanya yang sesuai, akan mereka ceritakan kisah yang sebenarnya kepada Chendana,Balqis dan Ratna. Bujang bangun membawa cangkir minumannya ke anjung.Pintu gelongsor yang menyambung- kan kamar besar dengan anjung sengaja dibiarkan terbuka,membiarkan udara segar dari luar masuk ke dalam. Dia duduk di bangku menikmati kehijauan pesisir pantai dan tanah daratan sambil menghirup minumannya. “Kehilangan abang tempoh hari adalah bersebab,”Bujang berkata dengan tenang.Walaupun suaranya tidak lantang,dia tahu semua isterinya sedang memasang telinga”Abang dijemput Raja Nasyaful Alam,pemerintah Segara Masin,ayahanda kepada Rubiah.” Bujang memerhati pula gunung-ganang yang jelas kelihatan sayup-sayup di kejauhan pedalaman di bawah terik matahari.Asap yang berkepul-kepul ke udara dari beberapa tempat menunjukkan terdapat perkampungan di sana. “Abang dititahkan berjumpa dengan Rijalul Ghaib,pemuda berilmu tinggi dari zaman Nabi Ibrahim alaihissalam,”Bujang meneruskan ceritanya.”Cerita selanjutnya,tanyalah Rubiah.” Bujang menghabiskan minumannya,meletakkan cangkir di atas meja lalu turun ke kamar kemudi. Tengahari itu,bahtera mereka berlabuh di perairan Banjarmasin untuk membeli bekalan makanan segar seperti yang dicadangkan.Kerana air sedang surut,sampan terpaksa digunakan untuk berulang-alik ke pengkalan kayu.Semua anak kapal dibenarkan ke daratan untuk membeli-belah atau bersiar-siar di perkampungan orang Banjar itu.Bujang turut membawa semua isterinya membeli barang-barang keperluan,termasuk Mayang Sari dan Rubiah yang menjelma seperti manusia biasa.Menjelang petang,mereka belayar semula setelah air pasang.Sementara menunggu ketibaan malam,Bujang bermain sepak raga dengan beberapa orang anak buahnya. Ada yang membuat latihan silat,ada juga yang menangkap ikan menggunakan jarring. Pelayaran mereka diteruskan tanpa halangan.Mereka singgah di Telok Ketapang,Pontianak dan Pulau Lingga.Di Riau dan Bentan,mereka bergabung pula dengan lancang-lancang dari angkatan fisabilillah yang berpengkalan di perairan tersebut.
YOU ARE READING
Tengku Alang Iskandar Story
Historical FictionMenyoroti kisah pengembaraan seorang pahlawan dari Kuala Kedah bernama Bujang. Beliau adalah anak kepada Sultan Abdullah dan Puteri Chut Narasari seorang Puteri dari Acheh. Pelbagai kejadian misteri berlaku sepanjang kehidupan Bujang. Suka duka dan...