7 ✿ Nesuferit

49 12 6
                                    

"Argh!" Raul tersedar dari mimpi ngeri dan dia terbangun dari baring sehingga selimut pada tubuhnya tercampak ke tepi disebabkan pergerakannya yang melulu. Matanya melilau sekitar bilik asing tempat dia berada kini. Baru Celeste Raul sedar bahawa dirinya saat itu berada di tempat yang langsung tidak ada dalam memorinya.

Katil tempat dia baring tadi bersaiz dua kali ganda dari katil biasa dan setiap penjurunya mempunyai tiang yang dialas dengan langsir dan kelambu kain satin berwarna hitam. Selimut yang menyelimuti tubuhnya juga daripada kain sutera lembut yang sangat selesa berwarna merah darah. Tilam tempat dia beradu itu pula terasa lembut bagai bulu pelepah anak burung mencium setiap inci kulitnya. Celeste Raul menelan liur. Segenap inci ruang bilik itu sangat mewah. Terlalu mewah! Satu bilik itu saja luasnya sudah sama macam sebuah rumah Celeste Raul. Dia rasa nak menangis dengan kekayaan orang berada yang suka membazir. Bilik tidur pun perlu sebesar itukah?!

Dia turun dari atas katil dan menyedari bajunya telah bertukar dari pakaian yang dia pakai semalam kepada baju tidur yang lembut juga diperbuat daripada satin berwarna hitam. Wajah Celeste Raul berubah suram. Bukan dia yang menyalin baju diri sendiri maka orang lain yang telah menukarkan untuknya. Dalam erti kata lain.. badannya disentuh orang yang tidak dikenali dan apa yang berlaku sepanjang dia tidak sedarkan diri itu, hanya tuhan yang tahu. Raul menekup mukanya dengan kedua belah tapak tangan sebelum meraung.

"Raul, jangan bising." ketika itu, suara Vlair Kieran mematikan jeritan Celeste Raul.

Raul menoleh ke arah sofa besar di tengah ruang bilik itu. Baru dia perasan yang ada seorang lagi individu di dalam bilik tersebut. Dari belakang sofa tersebut, dia dapat melihat kepala Vlair Kieran dengan rambutnya yang disikat rapi. Tangannya pula sedang menyusun helaian kertas di atas meja. Raul berlari ke arah Vlair Kieran dan berhenti di tepi sofa tempat lelaki itu duduk.

"Kieran, apa yang berlaku? Kita kat mana?" dia bertanya.

"Rumah." balas Kieran dengan tenang. Dia masih sibuk membuat kerjanya tanpa mempedulikan Raul.

"Rumah? Rumah siapa? Semalam.." kening Raul bertaut. Tahulah dia yang dia berada di dalam rumah namun rumah siapa? Dia cuba mengingati apa yang telah terjadi pada malam tadi namun memorinya berakhir sebelum dia pengsan. Waktu itu, dia sempat melihat mahkluk pelik yang kelihatan seperti.. seperti.. 

"Bukan mimpi." Vlair Kieran mencelah, seolah-olah dapat membaca fikiran Celeste Raul.

Raul hampir jatuh terduduk semula namun cepat saja lengannya disambut oleh Kieran dan dia menarik lelaki itu supaya duduk di sisinya di atas sofa. Fikiran Celeste Raul jauh melayang. Semua logik akalnya rasa tercabar. Mana mungkin semua mitos dan tahyul itu wujud? Tak mungkin. Tak logik! Ini dunia moden, zaman moden! Ya, dia pasti yang dia bermimpi. 

Melihat reaksi tidak percaya dari Celeste Raul, Vlair Kieran tersenyum lagi. Dari mulutnya, kedengaran bunyi tawa yang tidak habis. Entah apa yang dia fikir pun, Raul tak pasti. Tetapi dia juga teringat akan sesuatu yang dia dengar dengan jelas pada malam itu. Raul memandang ke arah Vlair Kieran yang kembali meneliti kertas di tangan. Dari sisi, segala segi rupa lelaki itu boleh dikatakan sempurna macam ukiran istimewa yang tiada tandingannya. Celeste Raul syak, lelaki ini sengaja mahu menggodanya. Hm. Kalau dia perempuan, mungkin dia telahpun jatuh cinta.

"Nesuferit, mahkluk tu.. Nesuferit. Apa maksudnya?" dia menyuarakan keraguan di dalam hatinya. Mahkluk pada malam itu dengan jelas menyebut perkataan tersebut namun Celeste Raul tidak dapat memahaminya.

"Bahasa Roman, bermaksud masalah atau menyusahkan." jawabnya tanpa menoleh ke arah Raul.

Melihat dirinya tidak diberikan perhatian penuh, Raul mencebik, bibirnya dijuihkan ke depan. Dia kemudian kembali melihat sekelilingnya sekali lagi. Kalau hari itu bukan cuti, mungkin dia akan gelabah kerana terlepas kelas. Tapi memandangkan hari sabtu, dia masih ada masa untuk bermain-main. "Suka dengan apa yang awak lihat?" seketika kemudian, Kieran bertanya. Kali ini dia melihat Raul dan kertas di tangan diletakkan ke atas meja bersama helaian yang lain.

ELYSIUMWhere stories live. Discover now