Bab 79

344 13 0
                                    

“Selamat datang ke Pulau Pinang,Tengku Laksamana Agung Raja Laut,”sembah lelaki itu penuh takzim,menyebabkan mereka yang berada di atas geladak itu kehairanan. “Kundang,kenal lagi isteri hamba?”Bujang tersenyum bertanya sambil menuding kepada Balqis. “Tunku Rahimah timang-timangan Tunku Balqis,”Kundang menyusun sembah lagi. “Semua ini isteri hamba,”Bujang memperkenalkan kepada Kundang.”Tun Chendana,Daeng Ratna Sari,Puteri Mayang Sari dan Puteri Rubiah.” “Tun Chendana patik kenal juga,Tengku,dulu namanya Kuntum.Tapi,patik tengok isteri Tengku bertiga sahaja,”Kundang terpinga-pinga kerana tidak nampak Mayang dan Rubiah. Mayang dan Rubiah hanya tersenyum. “Siapa yang bersamamu,Kundang?”tanya Bujang mengalih perhatian sahabat lamanya itu. “Tengku pasti kenal,”Kundang menjengok ke bawah.” Bachok,Semaun dan Damak. Kita sama-sama berjuang menentang Belanda dan Siam sepuluh tahun yang lalu.” “Hamba kenal mereka,”Bujang tersenyum.”Jangan bahasakan hamba sebagai Tengku lagi. Panglima sudah memadai,Kundang.” “Tapi,Tengku..err..Panglima menguasai kawasan perairan ini dari Pulau Pinang hingga ke Langkawi,”Kundang mengingatkan.”Tengku bergelar Laksamana Agung Raja Laut.” “Panglima sudah memadai,”ulangi Bujang,agak tegas,matanya merenung tajam. “Patik..err..hamba faham,Panglima,”Kundang mula terasa gementar.”Jemputlah ke darat berjumpa semua rakan-rakan,Panglima.Bukan selalu kami dikunjungi Imam Khalifah.” “Kamu pergilah dulu,nanti hamba menyusul kemudian,”pinta Bujang.”Kirim salam pada Bachok,Semaun,Damak dan kawan-kawan kita yang lain.” “Baiklah,Panglima,”Kundang menyusun sembah lalu bergegas turun dari anjung kembali ke sampan.Becok mulutnya bercerita pada rakan-rakannya. Bujang tersenyum lebar. “Andika,kita berihat di sini barang seketika,”Bujang memberi perintah.”Kamu semua bebas ke darat.Tapi,jangan pergi jauh,nanti tersesat ke dalam hutan.Kita belayar menjelang senja.” “Baik,Panglima,”Andika segera beredar untuk memberitahu rakan-rakan yang lain. “Betulkah mereka tidak melihat Mayang dan Rubiah?”bisik Balqis pada Bujang. Bujang angguk,”Hanya kita sahaja yang dapat melihat mereka berdua,”bisiknya kembali. Pagi itu,Bujang mengambil keputusan untuk menemui kawan-kawan lamanya di darat. Ditemani oleh Andika dan Lela Wangsa,mereka bertiga ditunjukkan jalan ke rumah Kundang yang terletak di pinggir perkampungan tersebut.Kundang menyambut kedatangan mereka dengan tangan terbuka.Mereka dijamu dengan makanan ringan di serambi rumah. “Sejak Raja Muda Mahmud menjadi Sultan,kebanyakan kawan-kawan kita membuat perkampungan di sekitar Pulau Pinang dan Seberang Perai,”Kundang membuka cerita ketika mereka menjamu selera.”Ramai juga yang berkampung di Pulau Langkawi.” “Baginda Sultan memang bijak mengatur siasah perang,”Bujang memuji abang iparnya. “Siasah perang?”Bachok menyampuk.”Oh ya,baru hamba faham,Panglima.” “Apa yang kau faham,Bachok?”tempelak Semaun,mengenyit mata pada Damak. “Eh,kau ingat kau saja yang pandai bercakap tentang peperangan?”Bachok menempelak balik, disambut dengan gelak-ketawa oleh Semaun,Kundang dan Damak. Bujang tersenyum,terkenang kembali semasa mereka sama-sama berjuang dulu. Andika dan Lela Wangsa turut tersenyum, terasa keakraban di antara mereka. “Dengan menguasai perairan ini,bererti kita menguasai laluan perdagangan kompeni Belanda,” Bujang menjelaskan dengan lebih lanjut.”Perjuangan kita bukan setakat mengangkat senjata sahaja.Kita perlu menguasai pasaran dan pemasaran.” Kundang,Bachok,Semaun dan Damak menggaru kepala yang tidak gatal. “Dalam berjuang kita berniaga,dalam berniaga kita berjuang,”Bujang menambah lagi. Kundang,Bachok,Semaun dan Damak bertambah bingung. “Kita beli barang-barang dengan harga yang mahal,kita jual murah,”tambah Bujang. “Panglima,”Kundang menggaru lagi kepalanya.”Apakah hamba yang salah dengar,atau Panglima yang salah cakap?Kalau kita beli mahal jual murah,di mana untungnya?” “Kita berniaga bukan mencari laba atau keuntungan,”Bujang menjelaskan.”Kita berniaga untuk memenangi hati orang kampung dan rakyat.Pada waktu yang sama,kita memecah penguasaan perdagangan Belanda di rantau ini.Inilah caranya kita bersaing dengan mereka selain melalui peperangan.” “Hamba mula faham sikit,Panglima,tapi masih pening lagi,”Kundang mencelah. Kenyataan itu disambut dengan gelak-ketawa oleh raskan-rakannya,termasuk Lela Wangsa dan Andika. Bujang tersenyum,”Kita beli hasil keluaran penduduk dengan harga yang mahal,kita jual di Melaka atau Betawi dengan harga yang murah,”jelasnya.”Kita beli semua barang-barang keluaran dari Barat dengan harga yang mahal,kita jual pada penduduk dengan harga murah.Dengan cara ini, pedagang-pedagang Belanda pasti muflis.” “Tapi,semua itu memerlukan wang yang banyak,Panglima,”keluh Bachok. “Wang dan kekayaan tidak menjadi masalah,”tegas Bujang tanpa bercerita lebih lanjut. “Kalau begitu,apa yang harus kami buat,Panglima?”tanya Kundang. “Kami akan belayar ke Tanah Suci,”Bujang menerangkan lagi.”Sepeninggalan kami,hebahkan rancangan hamba ini kepada semua orang-orang kita.Kami akan kembali dengan barang-barang keperluan mereka untuk ditukar-ganti dengan padi,buah-buahan,hasil-hasil hutan,galian dan apa sahaja milik orang kampung untuk kami pasarkan di Melaka,Betawi serta lain-lain pelabuhan yang dikuasai Belanda.” “Perniagaan bertukar-tukar barang,”Kundang mengangguk.”Baru hamba faham,Panglima.” “Ingat,ini adalah tipu-muslihat perjuangan kita,”Bujang mengingatkan.”Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.” Selepas jamuan ringan itu,Bujang tiga sahabat dibawa bersiar-siar meninjau kawasan perkampungan itu.Mereka diperkenalkan juga kepada rakan-rakan seperjuangan lain yang telah dipertanggung-jawabkan menjaga keselamatan dan kebajikan di sekitar perairan Pulau Pinang termasuk Pulau Rimau,Pulau Kendi,Pulau Aman,Pulau Jerejak serta pulau-pulau lain. Sementara itu,anak buahnya yang lain bebas bermain-main,bermandi-manda,berkelah,menangkap ikan dan mendapatkan bekalan buah-buahan serta sayur-sayuran segar dari penduduk kampung. Setelah sehari suntuk berlabuh,akhirnya ketika waktu senjakala bahtera itu pun membongkar sauh dan belayar meninggalkan perairan Pulau Pinang.Sambil melambai-lambai ke arah mereka di darat, Bujang yang berada di anjung hadapan di sebelah kamarnya merasa puas hati dengan kunjungan yang membawa berbagai keuntungan itu. Ibubapa mertuanya dan isteri-isterinya turut sama melambaikan tangan sebagai ucapan selamat tinggal kepada mereka yang menghuni perkampungan itu.Kemudian,Bujang masuk ke kamarnya untuk menunaikan sembahyang wajib. “Sekarang baru hamba faham rancangan Panglima,”kata Yaakub Lim pada malam itu ketika mengendalikan celaga kemudi.”Tadi sudah diceritakan oleh Lela Wangsa dan Andika. Hamba sebagai orang cina pun kalah pada Panglima dalam soal perniagaan.” “Bezanya,perniagaan kita menguntungkan rakyat tetapi merugikan pedagang Belanda,” Bujang mencelah.”Habuan untuk kita sedikit sahaja,dan mungkin tidak ada langsung. Inilah pengorbanan kita dalam berjihad mengembalikan kegemilangan Melayu di rantau ini.” “Kita akan singgah di Kuala Kedah,Panglima?”tanya Yaakub Lim. “Kuala Kedah dan Langkawi,”balas Bujang.”Selepas itu baru kita meninjau pasaran di sepanjang pesisir pantai hinga ke Laut Merah.Dalam pelayaran pulang,hamba bercadang hendak membeli secara pukal.” “Hamba dah faham sekarang,”sampuk Yaakub Lim. “Kalau sudah faham,hamba tidak akan mengulanginya lagi,”balas Bujang. “ Kita bermalam di sini,”kata Bujang membetulkan kainnya sambil menjenguk ke jendela. Mayang Sari diam sahaja,kain kembannya diketatkan supaya tidak terlucut. “Mayang tidak gembira singgah di Kuala Kedah?”tanya Bujang demi terpandang perubahan air muka isterinya itu. “Masakan tidak gembira,”Mayang mengenakan selindang menutupi bahunya. “Tapi,ada sesuatu yang terbuku di hati Mayang,”Bujang membuat tekaan. “Siang tadi abang bersama Mayang,malam pun masih di sini,apa pula kata isteri abang yang lain,barangkali cemburu berbunga di hati,”Mayang meluahkan perasaannya. “Oh, itu yang Mayang risaukan,”balas Bujang sambil lewa seolah-olah perkara itu terlalu remeh dan tidak perlu diperbesarkan. “Bukan Mayang hendak meremehkan atau memperbesarkan perkara ini,”lantas Mayang menyelar suaminya.”Namun,sebagai suami,abang perlulah adil dan saksama sesama isteri. Buat giliran supaya tidak dipandang serong.Beri layanan sama rata dan sama dirasa.” Bujang terdiam sejenak memikirkan kata-kata isterinya itu.”Abang akui ada kebenarannya,” katanya perlahan.”Abang terlalu mementingkan diri sendiri sampai terlupa hendak bersikap adil dan saksama.Baiklah,mulai besok,akan abang gilir-gilirkan,bermula dari Chendana. Abang tidak mahu dituduh pilih kasih dan berat sebelah.” “Mayang juga tidak mahu dianggap terlalu mengawal suami,”Mayang meningkah.”Baik bagi abang,baiklah bagi Mayang.Kalau takdirnya ada di antara kami yang keuzuran atau tidak mampu melayani abang,pandai-pandailah abang menggunakan budi-bicara agar tidak mengeruhkan suasana.” “Isteri tunggak di sebalik kejayaan seorang suami,”Bujang berfalsafah.”Tanpa isteri,siapalah suami.” “Dan,tanpa abang,siapalah kami,”Mayang memulangkan pujian itu sambil mengukir senyum penuh bermakna.Melihat gaya Mayang yang menggoda,Bujang terus merapatinya….! Besok paginya Rabu 21 Safar 1063 Hijrah bersamaan dengan 13 Disember 1652 Masehi, Bujang naik ke pengkalan bersiar-siar di sekitar pasar. Dia hanya ditemani Balqis dan Fatimah kerana isteri- isterinya yang lain memberi peluang mereka bertiga untuk menemui rakan-rakan lama yang berada di Kuala Kedah. Anak buahnya bebas berjalan-jalan dan membeli-belah keperluan masing-masing sebagai persediaan ke Tanah Suci. Sebelum ke pasar,terlebih dahulu mereka tiga beranak berkunjung ke rumah Penghulu Perkasa yang tersergam indah di atas tapak rumah arwah ayahnya dulu.Kebetulan pula,Perkasa sedang bersarapan pagi bersama isteri dan anak-anaknya. Bujang sekeluarga pun dijemput sama. “Dah besar rupanya Tengku Wan Fatimah,”Perkasa memuji anak saudara.”Berapa usianya,Bujang?” “Hampir dua-belas tahun,”Balqis yang menjawab bagi pihak Bujang.”Seperti ayahnya,dia juga tidak suka dibahasakan dengan gelaran bangsawan. Fatimah sahaja sudah cukup.” “Bapa borek anak pun rintik,”Perkasa memuji lagi sambil menjeling pada anak-isterinya. yang masih malu-malu dengan kehadiran puteri dari kerabat di raja Kedah itu.”Bila kanda berdua hendak kembali bersemayam di istana Kota Si-Putih?” “Tengoklah keadaan,”Bujang masih merahsiakan rancangannya. “Hamba dengar Tun Chendana isteri Panglima sudah selamat dari dicolek orang,”tiba-tiba Perkasa mengungkit cerita lama yang ingin dilupakan oleh Bujang. “Perkasa,”suara Bujang tiba-tiba berubah.”Aku tahu siapa yang bertanggung-jawab dalam membuat onar.Kita lupakan sahaja perkara itu.Jika tidak,luka lama kembali berdarah.” Wajah Perkasa pucat seketika. Cepat-cepat dia mengawal perasaannya. “Bukan niatku hendak pergi sejauh itu,”jawab Perkasa membela dirinya. “Kartina sudah kuceraikan,Tun Bija Sura sudah kuusir,perkara itu sudah kuanggap selesai dan tidak perlu diungkit lagi,”sekali lagi Bujang mengingatkan.”Sementelah pula,kau ini abang iparku. Perkara yang tekah berlaku,tidak harus dikenang kembali.” “Aku menyesal,Bujang,”Perkasa terus memeluk kaki Bujang sambil mengalirkan air mata. “Tak apalah,”Bujang menggosok kepala iparnya.”Air dicincang takkan putus.Sebusuk-busuk daging,dibasuh dikincah dimakan juga.” “Perkasa yang merancang pencolekan Chendana?”tanya Balqis ketika mereka berjalan-jalan di pasar pagi itu.”Sukar untuk dipercaya. Apa tujuannya berbuat begitu?” “Gila kuasa,”ulas Bujang.”Ada orang bimbang kalau-kalau abang ditabal sebagai Sultan Johor. Perkasa dan Kartina digunakan mereka secara halus untuk menjatuhkan abang.Mujurlah,orang- orang abang berjaya memintas rancangan jahat mereka itu.” “Dan,abang lepaskan Perkasa pergi begitu sahaja?”Balqis menyindir. “Umpan,”jawab Bujang penuh rahsia.”Kita perlu ikan kecil untuk menangkap ikan besar.” “Ayah,Fatimah lapar,”tiba-tiba Fatimah menarik lengan baju Bujang. “Tadi ‘kan dah sarapan.” Balqis mencelah. “Makan apa,Bonda?Tak sempat kenyang pun,”bantah Fatimah. “Kita ke sana,”Bujang mengajak mereka ke sebuah gerai makanan di tepi sungai. Tiba di gerai yang dimaksudkan,mereka duduk semeja dan Bujang terus memesan sarapan. Mereka terus menikmati pulut panggang dan air kopi yang dipesan. Pulut panggang yang dicicah denganh seunding daging memang amat menyelerakan,tambahan lagi bagi perut yang masih lapar. Bujang berpuas hati melihat anaknya makan.Melihat Fatimah,Bujang merasa seperti Teratai hidup kembali.Dia sanggup mengorbankan nyawanya demi keselamatan Fatimah. “Tun Mat?”bisik Balqis sambil mencuit bahu Bujang. “Siapa?”Bujang belum menangkap maksud isterinya. “Tun Mat Akib,pemangku Bendahara Kedah,”bisik Balqis lagi,suaranya berbaur kebencian. “Tiba-tiba abang hilang selera,”keluh Bujang demi terpandang pembesar separuh umur yang ditunjukkan oleh isterinya.Dia memandang ke arah lain dan pura-pura tidak nampak Tun Mat. “Fatimah pun tak lalu,”Fatimah meniru perbuatan ayahnya. Balqis tersenyum.Bapa borek anak rintik,bisik hatinya.Bujang juga tersenyum,seolah-olah dapat membaca isi hati isterinya. Tun Muhamad Akib,pembesar paling berkuasa di Kedah,memasuki kawasan pasar dengan diiringi oleh dua orang pengawal peribadi lengkap bersenjata. Setiap orang yang berselisih dengannya mesti tunduk menyusun sembah sebagai tanda penghormatan kepada darah keturunannya dan pangkatnya. Sesiapa yang lambat atau terlupa pasti kena tempeleng pengawalnya yang berwajah bengis.Tidak menghairankan apabila Tun Mat bersama pengawalnya tiba berhampiran meja Bujang,mereka menuntut penghormatan dan layanan yang sama. Alangkah marahnya mereka bila Bujang bersikap bena tak bena serta berpura-pura tidak nampak. “Bangun!”seorang pengawal berbadan tegap mencekak baju Bujang dan memaksanya berdiri. “Sembah!”pengawal yang kedua,besar-tinggi orangnya,menengking Bujang. Bujang menurut sahaja apabila diheret ke hadapan Tun Mat. “Ini Tunku Bendahara Kedah!Sembah!”tengking pengawal besar-tinggi itu lagi. “Hanya Allah yangberhak disembah,bukan makhluk,”ujar Bujang dengan Tenang. “Biadap!”Pengawal berbadan tegap menghayun tangan hendak menempar Bujang. Satu tamparan kencang hinggap di muka pengawal itu,menyebabkan dia terhumban ke belakang.Pengawal kedua menerpa hendak menangkap Bujang dari belakang. Satu tendangan padu singgah di mukanya,menyebabkan dia juga terhumban ke belakang. “Kamu tersilap membuat perhitungan,”kata Bujang pada kedua-dua pengawal yang masih terbaring sambil mengesat mulut,bibir dan hidung yang berdarah. Balqis dan Fatimah menjadi cemas. Suasana di pasar bertukar kecoh. “Tengku Laksamana Agung?”Tun Mat bagaikan tercekik demi terpandang wajah Bujang. “Apa gerangan ertinya ini,Tun Mat?”Balqis menghampiri Tun Mat bersama Fatimah. “Tunku Balqis?”Tun Muhamad Akib semakin terperanjat. “Lain kali kalau hendak memukul harimau,lihat dahulu siapa tuannya,”sindir Balqis. “Mari,Balqis,Fatimah,”Bujang mengajak isteri dan anaknya pergi dari situ. Balqis segera membayar harga sarapan dan terus beredar pergi bersama Bujang serta Fatimah. Di belakang mereka,kedua-dua pengawal itu terkial-kial bangun mendapatkan Tun Muhamad Akib. “Bertambahlah dendamnya pada abang,”kata Balqis pada Bujang. “Biarlah,”Bujang memujuk hatinya sambil berjalan menuju ke pengkalan.”Takkan mati abang kerana dendamnya,dengan izin Allah Taala.” “Pasti akan heboh seluruh istana dengan berita kedatangan abang,”Balqis meramalkan. “Biarlah,”Bujang bercekak pinggang memandang ke arah bahteranya.”Kita tidak akan berlama di Kuala Kedah ini.Fatimah,mari kita menziarahi pusara ibumu di Bukit Puteri.” Kembali ke bahtera,Bujang duduk menulis buku catatannya manakala Balqis dan Fatimah keluar ke dapur membantu Chendana,Ratna,Rubiah dan Mayang memasak.Baru hampir siap,tiba-tiba pintu kamarnya diketuk beberapa kali. “Msuklah,”pelawa Bujang,masih memegang kalamnya. Datuk Temenggung membuka pintu kamar itu lalu melangkah masuk. “Ayah,”tegur Bujang,menyimpan kalamnya.”Duduklah.” “Bujang,ayah harap kau tidak salah faham,”Datuk Temenggung duduk di kerusi dan memerhati Kuala Kedah menerusi jendela kaca.”Cakap salah,tak cakap pun salah.” “Salah faham apa pula,ayah,”Bujang menutup buku catatannya. “Begini,”Datuk Temenggung diam sejenak,tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan.”Ayah ingat ayah nak pindah ke bilik bawah dengan ibumu. Bilik sekarang tu biarlah Fatimah yang duduk.Dia pun dah jadi anak dara sunti,segan pula dia pada kami.” Bujang tersenyum. Dia tahu bapa dan ibu mertuanya juga perlu tempat berasingan supaya tidak terganggu perhubungan suami-isteri mereka.”Baiklah,ayah,”dia tidak membantah. “Satu perkara lagi,”Datuk Temenggung menambah.”Di dalam bilik itu,akan ayah tinggalkan beberapa lembaran penting tentang angkatan kita.Jika terjadi sesuatu ke atas diri ayah,ambillah lembaran itu buat panduan dan pedoman di kemudian hari.” “Apa pula yang akan terjadi ke atas diri ayah?”tanya Bujang kehairanan. “Manalah tahu,ajal maut di tangan Tuhan,”balas datuk Temenggung. Bujang terdiam. Kalau bukan bapa mertuanya yang sudah dianggapnya seperti ayahnya sendiri, mahu rasanya dia membalas balik dengan kata-kata yang pedas. Namun,rasa hormatnya dan kasih-sayangnya mengatasi perasaan dan gelora darah mudanya. “Baiklah,ayah,”jawab Bujang perlahan. “Manalah tahu,”ulangi Datuk Temenggung.” Kalau-kalau ayah mati di Mekah.Lagi pun, ramai yang cemburu pada ayah,pada jawatan ayah.Terutama sekali anak buah Paduka Raja.Kalau berlaku sesuatu geruh,simpanlah semua lembaran ayah itu,mungkin boleh membantu Bujang.” “InsyaAllah,ayah,”sekali lagi Bujang berjanji,tidak mahu memanjangkan perkara tersebut. Setelah Datuk Temenggung keluar dari situ,Bujang termenung panjang,buku catatan dan kalamnya tidak disentuh.Dan,ketika bahtera Indera Kayangan bertolak meninggalkan Pelabuhan Kuala Kedah menuju ke utara,dia termenung pula di anjung hadapan,merenung kosong ke arah laut dan daratan negeri Kedah yang beransur-ansur ditinggalkan.Kata-kata bapa mertuanya pagi tadi masih terngiang-ngiang di cuping telinganya. “Benar kata Datuk Temenggung,”tiba-tiba Rubiah menegur dari sebelah.”Ajal maut di tangan Allah,kita sebagai makhluk tidak mampu menahannya,mengelaknya atau menangguhkannya.” “Rubiah tahu apa yang disebut ayah pagi tadi?”tanya Bujang. “Mengapa tidak,”jawab Rubiah.”Bila abang mengawini golongan Rubiah dan Mayang, apa sahaja yang abang lakukan,apa sahaja yang dilihat dan didengar,malah apa sahaja yang terlintas di hati,tidak terlepas dari pengetahuan kami. Kami ada rangkaian sendiri yang menyampaikan segala berita. Inilah kelebihan yang Allah berikan kepada kami.” “Segala-galanya tidak terlepas?”Bujang mencabar kenyataan itu.’Bilakah ajal abang?” “Kecuali dalam hal-hal tertentu yang Allah telah tetapkan hijabNya,”Rubiah membetulkan keterlanjurannya.”Tiada yang Maha Mengetahui melainkan Allah.” “Ayah bercerita tentang lembarannya,”Bujang mengubah tajuk.”Apa maksudnya?” “Bila tiba masa dan ketikanya,kita akan tahu maksudnya,”Rubiah membuat kesimpulan bijak yang tidak menyinggung perasaan suaminya.”Di hadapan sana Pulau Langkawi.” “Ya,Pulau Langkawi,”tingkah Bujang. “Digelar Pulau Seratus kerana terdapat seratus buah pulau,”jelas Rubiah tanpa diminta. “Entahlah berapa buah,tapi bilangannya memang banyak,”Bujang menyokong.”Hanya dua-tiga buah pulau sahaja yang didiami manusia.Yang lain-lain masih hutan rimba,belum diteroka. Sesuai untuk abang jadikan markas perjuangan kami.” “Di sana ada sebuah tasik yang luas dikelilingi pulau-pulau kecil,”Rubiah terus bercerita. “Tasik Dayang Bunting?”tanya Bujang. “Bukan,”Rubiah menafikan.”Kami memanggilnya Tasik Biru kerana airnya berwarna biru. Hanya boleh dimasuki oleh bahtera ketika air pasang. Itu pun melalui lubang naga.” “Lubang naga?”Bujang semakin tertarik. “Dulu,sepasang naga pernah mendiami Tasik Biru,”cerita Rubiah lagi.”Sekarang entahlah. Tetapi laluan masuk yang digunakan mereka masih ada hingga sekarang. Ketika air surut,ianya kelihatan seperti terowong besar yang tinggi dan curam.” “Bolehkah bahtera kita tenggelam melalui terowong tersebut?”tanya Bujang,ingin tahu. “Boleh,ketika air pasang,”ujar Rubiah penuh yakin.”Tiang layar boleh dilipat ke bawah atau dipendekkan jika diperlukan.Berada di situ seperti berada di sebuah tasik yang dikelilingi bukit-bukau yang curam,sukar dimasuki manusia.” “Maksud Rubiah,bahtera ini boleh ditenggelamkan?”tanya Bujang lagi. “Abang bacalah lagi kitab panduan itu,supaya lebih terang dan jelas,”Rubiah mencadangkan. Tanpa membuang masa,Bujang terus ke kamar kemudi mengambil kitab yang dimaksudkan, kemudian berkurung di dalam kamar Rubiah membaca kitab itu dengan teliti.

Tengku Alang Iskandar StoryWhere stories live. Discover now