12 ✿ Rahsia

83 14 6
                                    

"Cantik?"

"Cantik."

"Apa yang cantik? Saya ke bunga ni?"

"Awak lagi cantik."

Vlair Kieran membalas sambil tersenyum apabila ditanya oleh gadis kesayangannya. Halena membalas senyuman lelaki itu dan dia mencium kuntuman bunga yang dibawa oleh Vlair Kieran sebelum diletakkan ke atas meja di sisi katil.

"Apa yang doktor cakap?" tanya Vlair Kieran.

"Doktor kata makin sembuh. Makin elok. Awak tak perlu risau." balas Halena. Dia tidak mahu Vlair Kieran risau jadi dia memilih untuk berbohong. Sebenarnya dia tidak mungkin sembuh. Doktor meminta dia untuk putus asa sahaja.

"Baguslah. Esok, saya datang melawat lagi." lelaki itu bangun dan dia mencium dahi Halena sebelum keluar dari bilik rawatan.

Vlair Kieran menutup pintu rawatan dan dia tersandar di dinding setelah melangkah jauh di koridor hospital. Perlahan-lahan, badannya melurut jatuh dan dia membenamkan kepalanya di lutut sambil menangis teresak-esak. Dia tahu, gadis kesayangannya menipu. Hakikat sebenar, Halena tak mungkin pulih. Sakitnya semakin tenat dan nyawa gadis itu bakal melayang bila-bila masa sahaja lagi. Doktor yang merawat Halena sudah memberitahu Vlair Kieran supaya bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku selepas ini.

"Tuhan, tuhan.. mengapa. Kenapa Halena? Aku sanggup buat apa saja. Apa saja, tolonglah. Tolong sembuhkan dia." rayu Vlair Kieran.

Macam mayat hidup, Vlair Kieran bangun dan berjalan keluar dari hospital. Dia berjalan tanpa arah tuju sehinggalah tiba di lorong sunyi. Mulutnya masih terkumat-kamit meminta dan merayu pada tuhan supaya satu-satunya keluarga yang dia masih ada sembuh dari penyakit.

"Ahaha!!" tatkala itu, dia dikejutkan dengan tawa seseorang.

Vlair Kieran yang tersentak segera menoleh ke belakang.

"Apa yang kau rayu pada tuhan? Ada dia balas?" soal lelaki yang muncul tiba-tiba di hadapan Vlair Kieran macam hantu.

Vlair Kieran menarik nafas dalam, jantungnya laju berdegup kencang.

"Siapa kau?" soal Vlair Kieran.

"Kau nak dia sembuh?" lelaki misteri itu tidak membalas soalan Vlair Kieran sebaliknya bertanya perkara lain. "Tuhan tak dengar rayuan kau. Tuhan tak tolong kau. Dia tak pedulikan kau pun. Sebab tu, semua yang kau sayang, dia ambil. Termasuklah perempuan tu, dia akan mati tak lama lagi."

Vlair Kieran memerhati lelaki yang baru muncul itu. Dia memakai baju serba hitam dengan topi tinggi yang menutup kepalanya. Wajahnya tidak jelas kelihatan di bawah samar lampu jalan yang sekejap menyala dan sekejap tidak menyala.

"Kalau kau mahu, aku boleh sembuhkan dia. Dia akan hidup lagi lama." lelaki itu mengumpan, bibirnya menguntum satu senyuman yang menggoda.

"Kau boleh sembuhkan Halena? Betul?!" Vlair Kieran segera memegang kedua belah bahu lelaki tersebut.

"Sabar anak muda." lelaki itu menolak Vlair Kieran supaya tidak berdiri terlalu dekat dengannya.

"Aku sanggup buat apa saja! Asalkan kau sembuhkan dia. Tolong aku.. aku tak nak dia mati." rayu Vlair Kieran dengan mata yang merah kerana terlalu banyak menangis.

Lelaki serba hitam itu semakin melebarkan senyum. "Apa saja?"

"Apa saja!" gesa Vlair Kieran.

Tanpa sedar, dia telah menjual roh dan jiwanya pada kegelapan. Satu langkah kesilapannya itu telah menyebabkan gadis kesayangannya juga terseksa bersama. Kerana dia tamak, kerana dia cuba melanggar dan mengubah takdir. Kerana nafsu yang tidak sabar, dia lupa kepercayaannya pada tuhan. Bukan tuhan yang abaikan dia, tetapi dia yang memilih untuk mengabaikan tuhannya.

"Shh.. ini rahsia kita. Rahsia kita berdua." lelaki misteri itu berbisik di telinganya sambil jari telunjuk diletakkan pada bibir.

Duk!

Vlair Kieran membuka matanya yang terpejam. Gangguan tersebut mengembalikan semula mindanya kepada realiti daripada memori masa silam. Dia menoleh ke arah pintu di mana seorang lelaki tersengih ke arah Vlair Kieran. "Tuan Vlair tidur?" soal si pengganggu. Dia merupakan salah seorang pekerja di rumah agam milik Vlair Kieran, hamba yang dibeli olehnya.

"Aku baru tahu spesis aku ni perlukan tidur?" soal Vlair Kieran dengan penuh sarkastik.

Lelaki tadi masih tersengih macam orang bodoh. "Tuan Vlair, ada pesanan dari Ascelin Burja."

Vlair Kieran mengerutkan dahi sesaat. "Apa?" dia bertanya selepas itu.

"Lebih 10 orang perempuan diculik. Barangkali operasi blood bank. Kalau benar, ada vampire yang dah langgar undang-undang. Dia mahu meminta kebenaran Tuan Vlair untuk hapuskan vampire ni semua." lapor lelaki tersebut. Selalunya, kalau ada operasi sebegini, sindiket akan lebih berhati-hati dan lebih susah untuk mengesan mereka. Namun perbuatan mereka kali ini sangat aneh seolah-olah mahu dijumpai oleh orang atasan. Vlair Kieran menguis sebelah keningnya dengan jari.

"Oh? Benarkan dia buat apa saja yang dia mahu. Aku akan bercakap dengan manusia di bahagian pengurusan jenayah dan orang atasan mereka supaya tidak masuk campur. Sumber?" Vlair Kieran berfikir sejenak sambil itu menguis bibirnya pula dengan jari. Perbuatannya dilakukan tanpa sedar, bagai sudah menjadi kebiasaan apabila dia berfikir. Pekerjanya itu hanya memerhati di tepi, terpukau dengan rupa Vlair Kieran yang kelihatan serius.

"Madam Lilian yang sampaikan perkara ini. Ascelin Burja juga mengatakan bahawa Madam Lilian ada maklumat tambahan kepada Tuan Vlair sebagai tanda terima kasih. Demogorgon barangkali telah kembali bangun dari beradu." ketika lelaki itu menyuarakan nama yang amat dikenali olehnya, Vlair Kieran terus bangun dari atas sofa.

"Siapa kau cakap?!" soalnya tegas, sehingga menakutkan lelaki yang melaporkan perkara tersebut.

"Ma..Madam Lilian?" balasnya, tergagap-gagap, tidak pasti dengan apa yang berlaku.

"Bukan!" lantang Vlair Kieran bersuara.

"De.. Demogorgon??" lelaki tadi kini telahpun jatuh terduduk di atas lantai kerana terlalu takut. Aura Vlair Kieran serta merta berubah.

Vlair Kieran kemudiannya hilang dari pandangan, meninggalkan hanya segaris imbas pada laluan yang dia lalu. Laju dia bergerak menuju ke satu arah. Langsung tidak dipedulikan untuk berjalan dan berpura-pura macam manusia, dia kini menggunakan kuasanya untuk sampai ke destinasi secepat yang mungkin.

"Celeste Raul Orlok. Tolonglah selamat!" bisik Vlair Kieran disebalik gigi yang diketap kuat kerana geram. Tangannya digenggam sehingga kukunya terbenam ke dalam tapak tangan sehingga berbekas kesan.

"Vlair Kieran, dasar hipokrit. Layakkah kau nak percayakan tuhan? Dosa yang kau lakukan, perjanjian kau dengan setan.. semuanya pilihan kau sendiri. Tapi kini kau cakap seolah-olah kau percayakan tuhan?"

Mendengar kritikan dari lelaki itu, hati Vlair Kieran terhiris dan terasa bagai dicucuk sembilu. Dia tertunduk dan tangan disisi, digenggam erat.

Seseorang seperti dia yang telahpun membuat perjanjian dengan kegelapan, mengapa masih perlu percayakan tuhan? Tapi entah kenapa.. entah kenapa dia masih memilih untuk percaya. Dia masih.. mahu percaya. Akhirnya, hanya Tuhan yang mampu selamatkan mereka semua.

"Aku fikir kita kawan baik." ujar Vlair Kieran.

"Kawan baik? Vlair Kieran Leonard, dimana seorang kawan saat aku perlukannya? Bagi kau, dari dulu sehingga sekarang, cuma Halena sahaja yang penting." lelaki itu ketawa.

Memori lama kembali menghantui. Vlair Kieran berhenti berlari. Dia berhenti di antara bangunan, lorong kecil di tengah bandar. Hatinya bercelaru. Saat dia mendengar nama itu, segala memori yang dia cuba untuk lupakan kembali semula melawatnya satu per satu, menghantui sehingga dia berasa tidak senang.

Bang!

Tangan yang sejak tadi digenggam, menumbuk dinding di tepi sehingga kesan retak merebak seperti sarang labah-labah.

"Kenapa kau kembali? Kenapa? Gon!" tanya Vlair Kieran walaupun dia tahu tak akan ada sesiapa yang menjawab soalannya itu.

Orang yang paling dia tak mahu bertemu sekali adalah sahabatnya yang seorang itu. Itupun, kalau dia masih boleh dikira sebagai seorang kawan.








ELYSIUMWhere stories live. Discover now