TINGKAH Syakilla yang sedari tadi ralit menghadap telefon diperhatikan. Berkerut-kerut kening Mariam dibuatnya. Entah dengan siapalah Syakilla berchatting. Sup ayam dihidangkan ke atas meja.
"Macam mana dengan kerja yang kau minta tu? Dapat tak?" soal Mariam sekali gus memecahkan keheningan suasana.
Syakilla menoleh. "Dapat."
"Wah, tahniah. Kau minta kerja kat mana?" soal Mariam lagi. Ingin tahu.
"Bernama Cooperation," jawab Syakilla bersahaja.
Bukan niatnya nak menipu tapi, kalau dia jujur yang dia kerja sebumbung dengan Hazril Irfan nanti lain pula yang jadi. Habis hancur semua rancangan jahatnya ingin memiliki Hazril Irfan.
Memicing mata Mariam memandang Syakilla. Bernama Cooperation? Nama yang terlalu asing baginya. Bahkan, sepanjang dia membina kehidupan di Kuala Lumpur pun dia tak pernah dengar nama syarikat macam tu.
"Aku tak pernah dengar pun nama company Bernama Cooperation. Syarikat baharu ke?" soal Mariam lagi.
Lambat-lambat Syakilla mengangguk. Ah, Kella! Kau nak menipu pun tak teragak-agak. Lain kali buatlah research sikit pasal syarikat-syarikat yang dibangunkan di Kuala Lumpur ni.
"Oh, wujudlah syarikat tu? Dekat mana, wei?"
"Ampang." Sekali lagi, Syakilla menipu.
Mariam terkebil-kebil. Dicapai telefonnya. Nombor Hazril Irfan didail. Nak tahu sama ada syarikat yang baru sahaja disebutkan oleh Syakilla tu betul-betul wujud ataupun tidak. Manalah tahu syarikat palsu. Tak pasal-pasal nyawa sahabatnya terancam nanti.
Syakilla yang nampak Mariam seakan-akan sedang mendail nombor seseorang, terus merampas telefon Mariam.
"Kau nak call siapa?" soal Syakilla, cuak.
"Aku nak call Hazril. Aku nak tanya pasal tempat kerja kau. Manalah tahu company tipu ke apa, kan?"
Syakilla mendengus kasar. Mariam tu kalau boleh semua benda dia nak cerita dekat Hazril Irfan. Naik muak pulak dia dibuatnya.
"Kau ni semua benda nak cerita dekat bakal tunang kau tu, kenapa? Aku tak sukalah!" bentak Syakilla.
"Lah, aku bukannya nak kepoh. Aku cuma nak dapatkan kepastian sama ada company tu verified atau tak. Sekurang-kurangnya Hazril bolehlah semakkan," jawab Mariam bersahaja.
Telefon Mariam diserahkan kembali kepada empunyanya. Sebelah kakinya diangkat ke kerusi. Tajam mata Syakilla mencerlung Mariam.
"Aku tahulah aku ni baru lagi dekat KL ni tapi tak payahlah semua benda kau nak cerita dekat Hazril. Lagi-lagi melibatkan urusan peribadi aku. Jagalah sikit privasi aku, Yam."
Mariam melepaskan keluhan berat. Dia bukan apa, dia cuma risaukan Syakilla. Gadis naif macam Syakilla memang senang kena tipu. Sebab itulah dia nak pastikan sama ada tempat kerja Syakilla tu disahkan ataupun tidak.
"Yalah, yalah, aku minta maaf. Aku cuma risaukan kau aje," ujar Mariam. Perlahan.
"Kau tak payah pun risaukan aku, Mariam. Aku dah besar. Aku pandai bawa hidup aku," balas Syakilla. Ditekankan sedikit perkataan dah besar.
"Yalah, aku minta maaf sekali lagi. Tak apalah, kau makanlah. Nanti sejuk dah tak sedap sup ayam ni."
Mangkuk kaca dicapai. Sup ayam disendukkan ke dalam mangkuknya. Dengan penuh berselera Syakilla menyantap sup ayam yang dimasak oleh Mariam. Sambal kicap dituang ke dalam sup ayamnya.
YUSMAN duduk di luar rumah sambil mendongak memandang kaki langit. Dia melepaskan satu keluhan berat. Walaupun kenangan itu dah lama berlalu tapi, amat sukar untuk dia melupakan perempuan yang pernah hadir dalam hidupnya.
Paling menyakitkan, si gadis sanggup menaburkan janji akan sehidup semati dengannya tapi, semua tu hanyalah janji-janji palsu. Habis madu sepah dibuang, begitulah nasibnya sekarang.
Kenangan silam menggamit fikirannya. Kenangan yang begitu menyakitkan. Kalau boleh dilupakan, memang dah lama dia lupakan tapi itulah... Kenangan memang sukar untuk dilenyapkan.
"Orang bukan pandang lelaki lain pun. Orang cuma nak cari kerja dekat KL sana tu. Di kampung ni tak ada kerja yang sesuai," ujar si gadis manis berbaju kurung kapas itu.
Yusman bingkas bangun. Sebelah tangannya menyapu kepala. Nampak kusut sangat dia pada ketika itu.
"Abang bukan apa, abang cuma takut kehilangan sayang. KL dengan Muar ni jauh, sayang. Macam-macam boleh jadi bila kita berjauhan nanti," ujar Yusman memberikan penjelasan.
Bukan dihalang teman wanitanya mencari kehidupan dan membina kekayaan cuma, tak bolehkah kalau duduk saja di dalam kampung? Kenapa perlu ke luar kota?
"Abang kena berkorban sikitlah untuk cinta kita. Walaupun kita dah jauh lepas ni, cinta kita masih utuh selagi salah seorang daripada kita tak mengkhianati cinta ni," ujar si gadis lagi.
Yusman diam sejenak. Dihalang pun tak guna juga. Teman wanitanya memang dah nekad nak merantau ke Kuala Lumpur dengan alasan nak bina kehidupan di sana. Terpaksalah dia akur dalam terpaksa.
"Okeylah, abang izinkan sayang pergi KL tapi ada syaratnya. Sayang kena sentiasa ingat abang dan jangan sesekali pandang lelaki lain. Selalulah call abang supaya hubungan kita tak terputus di tengah jalan," ujar Yusman.
"Abang takut kalau hati sayang berbelah bagi. Yalah, abang ni bukannya orang kaya. Abang kerja kampung aje. Lainlah standard di KL nun sana. Ramai lelaki-lelaki berduit," sambungnya.
"Orang janjilah orang takkan cari lelaki lain dan setia di sisi abang seorang."
Malangnya, janji itu semuanya dusta. Hati yang kononnya mampu untuk setia hanya seketika cuma sebelum orang ketiga muncul merosakkan segala-galanya. Habuan apa yang dia terima? Kecacatan pada kedua-dua belah kaki!
"Man..."
Panggilan lembut itu menyedarkan Yusman ke alam realiti. Dia menoleh memandang pemilik suara itu.
"Ya, mak?" sahut Yusman.
"Kenapa duduk kat luar seorang diri ni? Dah malam, kan? Masuklah tidur." Lembut suara Mak Timah memujuk anak lelakinya.
"Man tak mengantuk lagi, mak." Yusman berbohong. Dia hanya inginkan ruang untuk membuang tekanan fikiran yang sedang memberat.
Mak Timah mengeluh perlahan. Punggung dilabuhkan di atas pangkin, bersebelahan dengan anak lelakinya itu.
"Man masih ingat kat dia ke? Man tak boleh lupakan dia?" soal Mak Timah. Prihatin.
"Bukan senang untuk Man lupakan dia walaupun dah beberapa tahun berlalu, mak. Man cinta dia seadanya tapi dia buat Man macam ini. Mentang-mentanglah Man tak sekaya skandal dia," luah Yusman.
"Kalau muda tak apa juga. Ini sudah tua kerepot," sambung Yusman lagi.
Mak Timah menarik tubuh anaknya ke dalam pelukan. Ditenangkan Yusman dari terus melayan perasaan sedih.
"Tak apa. Man anggap sajalah dia bukan jodoh Man. Insya-Allah, suatu hari nanti akan ada seorang perempuan yang betul-betul ikhlas nak jaga Man."
Yusman membisu. Pelukan dari ibu tercinta dibalas mesra. Kepalanya dilentokkan ke bahu Mak Timah.
YOU ARE READING
KERANAKU CINTA KAU [C]
RomanceSYAKILLA IZZATI - Hidupnya penuh dengan dendam dan cemburu. Kebahagiaan yang dihidangkan oleh sahabat baiknya, iaitu Mariam membuatkan dendam dalam hatinya semakin membuak-buak. Pada masa yang sama, dia turut menyimpan perasaan kepada teman lelaki s...