Sama

6 0 0
                                    

"Hello?"
"Hello"
"Tengah buat apa"
"Tak buat apa-apa pun. Kenapa?"
"Jom keluar?"

Tak ada apa yang ganjil. Kita tak pernah merancang untuk berjumpa pada 3 hari sebelum atau seminggu sebelum. Seperti selalu, hanya satu panggilan telefon yang memisahkan kita. Sesudah berlalu 30 minit yang kau beri pada aku untuk bersiap, kau telefon semula, beritahu aku yang kau sudah tiba di depan rumah.

"Nak makan apa?"
"Tak tahu"
"Okay kita nak pergi mana?"
"Mcdonald!"
"Okay jom"

Kita tak pernah merumitkan keadaan. Kita tak pernah bergaduh mahu ke mana atau makan di mana. Dalam perjalanan ke Mcdonalds yang berada tak jauh dari tempat tinggal kita berdua, kau akan mainkan lagi dari playlist kegemaran kau. Aku masih ingat, terdapat beberapa lagu Payung Teduh dan No Vacation di dalamnya. Mungkin itu antara band kegemaran kau.

Apabila hampir tiba giliran di kaunter pesanan, kita akan saling bertukar idea hidangan makanan yang rasanya sesuai untuk di alas perut malam ini. Walaupun akhirnya kita akan memesan hidangan yang sama seperti selalu. Aku dengan Ayam Goreng Spicy dan kau dengan Spicy Chicken Mcdeluxe.

Sambil makan, kita berkongsi cerita. Cerita tentang babak-babak yang menarik sepanjang masa yang kita tidak bertemu. Lalu aku akan menerawang dalam dunia aku sendiri, dan kau hanya ketawa kecil. Adegan ini, masih sama seperti kita 3 tahun lalu.

Yang berbeda itu kita. Kau bukan lagi untuk aku. Aku juga bukan lagi untuk kau. Kerap kali aku terfikir, kenapa kita tak pernah terbitkan peluang untuk cuba bersama lagi. Tapi jauh dalam hati aku tahu, menyesali kita itu lebih baik dari mengulangi kesilapan yang sama buat kesekian kali. Kau pun fikir begitu, bukan?

felicityWhere stories live. Discover now