Hari yang ditunggu tunggu kini tiba juga. Hari pernikahan antara Widya dan Emir. Memandangkan kedua dua pasangan sudah lagi tidak mempunyai kedua orang tua, maka majlis perkahwinan itu di buat di rumah opah sahaja, di Pahang.
Widya memandang dirinya di hadapan cermin. Wajahnya kelihatan sangat cantik dan ayu bersama dengan solekan yang sederhana. Baju pengantin berwarna putih yang tersarung indah di tubuhnya menaikkan lagi serinya pada hari itu. Sedang dia ralit memerhati wajahnya di hadapan cermin, tiba tiba saja hatinya dihambat dengan rasa pilu. Saat itu, dia teringatkan arwah ibu, abah serta tok ma. Sayu sungguh hatinya, saat hari bahagia dia tiba, saat dia bergelar isteri orang, insan insan penting itu tiada di sisinya. Air matanya menitis juga. Lekas dia mengesat air mata yang mengalir itu. Matanya dipejam erat. Cuba menenangkan diri dan menghilangkan segala rasa sedih ketika itu.
Tiba tiba dia rasa seperti ada tangan yang sedang menyentuh lembut bahunya. Lekas dia membuka mata. Dia dapat lihat ada seseorang di belakangnya melalui pantulan cermin itu. Nadia sedang berdiri di belakangnya sambil memandang sayu ke arahnya.
"Dhiya, kau okay ke tak ni? Kenapa menangis?" Soal Nadia, mula risau. Dia baru saja masuk ke dalam bilik itu untuk ada bersama dengan Widya ketika itu. Masuk saja ke dalam bilik itu, dia lihat Widya sedang pejamkan matanya dan ada air jernih mengalir di pipinya. Dia mula risau dengan keadaan rakannya itu.
"Aku okay." Widya membalas. Dia tersenyum kecil ke arah Nadia.
"Betul ni?"
Widya mengangguk perlahan. Dia masih lagi bersama dengan senyuman kecil dibibirnya. Biar lah perasaan sedih yang menghambat hatinya ketika itu, hanya dia saja yang tahu. Tidak perlu dia kongsikan kepada sesiapa. Dia mahu semua orang sekelilingnya ketika itu bergembira.
Nadia lantas memeluk erat tubuh Widya. Dia mengusap perlahan bahu Widya. "Dhiya, aku doakan perkahwinan kau dengan abang Emir ni berkekalan sampai akhir hayat. Bahagiakan dia ye, aku yakin dia pun mampu bahagiakan kau. Aku yakin dia mampu jaga kau dengan baik. Aku kenal sangat abang Emir tu macam mana. Dia baik orangnya. Aku membesar dengan dia, dia tu dah macam abang aku. Dia selalu jaga aku, pastikan aku selalu dalam keadaan selamat. Aku yakin, dia mesti akan jaga kau dengan baik juga." Ujar Nadia panjang lebar. Kata kata itu ibarat satu semangat buat Widya yang kini berada dalam ketakutan dan kesedihan.
Widya memandang Nadia kemudian dia mengangguk perlahan.
"Dah jangan nangis nangis. Jangan sedih sedih tau. Harini kan hari bahagia kau, hari bersejarah dalam hidup kau." Pujuk Nadia. Dia mengesat sisa air mata yang mengalir di pipi temannya itu.
Sedang mereka ralit berbual, bergelak tawa, bunyi ketukan pintu bilik itu menyapa gegendang telinga mereka. Lantas pintu itu dikuak dari luar.
"Dhiya, dah siap ke?" Soal opah bersama dengan senyuman manis.
"Pengantin dah siap lama dah pun opah. Dah tak sabar nak jumpa dengan bakal suami." Nadia membalas bagi pihak Widya. Tergelak opah mendengar jawapan dari Nadia itu.
Widya pula sudah merah padam muka dek kerana malu dengan kata kata Nadia. Mahu saja dia cubit mulut Nadia. Cakap main lepas, selamba saja.
Opah mula melangkah masuk ke dalam bilik itu lalu melabuhkan punggungnya di atas katil yang sudah dihias cantik itu.
"Erm Nad keluar dulu ye." Nadia meminta izin untuk keluar. Memberi ruang kepada opah dan Widya untuk berbicara.
"Dhiya..." opah memulakan bicara saat Nadia keluar dari bilik itu. "Terima kasih sebab sudi terima permintaan opah. Terima kasih sebab sudi terima Emir sebagai suami Dhiya. Opah gembira sangat, Dhiya setuju juga untuk disatukan dengan Emir. Opah tahu mungkin permintaan opah tu keterlaluan sangat, tapi opah buat semua ni bersebab. Opah sayangkan Emir, opah sayangkan kamu juga. Opah dah anggap kamu macam cucu opah sendiri. Dhiya jaga Emir elok elok ye, jadi isteri yang terbaik untuk dia. Emir tu sakit Dhiya, bantu dia untuk sembuh ye sayang. Dhiya tahukan Emir tu ada masalah apa, opah yakin Dhiya boleh buat dia bahagia, dengan adanya Widya inshaAllah dia akan pulih. Opah perasan, sejak Widya ada dalam hidup dia, dia dah banyak berubah. Sebabtu opah nekad, nak satukan korang berdua."
YOU ARE READING
KAU MILIK AKU
RomancePertemuan yang tak dijangka antara dua insan yang berbeza sikap bagai langit dan bumi. Dhiya, seorang gadis peramah yang sering menceriakan hari. Emir, seorang lelaki dingin yang sering menyakitkan hati. Namun disebalik sikap yang ada pada diri ma...