BUNYI notifikasi mesej mengganggu tumpuan Mariam yang sedang menggoreng nasi. Api dapur dimatikan. Dua pinggan nasi goreng dihidangkan ke atas meja. Laju tangannya mencapai telefon pintarnya.
Berkerut-kerut dahi Mariam memandang private number yang masuk ke dalam telefonnya. Pesanan ringkas yang dihantar oleh nombor peribadi itu berjaya menggetarkan naluri kewanitaannya.
Hai sayang, miss me? - Unknown.
Pesanan itu dipadam segera. Nafas ditarik dalam-dalam kemudian dihembus perlahan-lahan. Tenang, Mariam. Tenang!
Syakilla melangkah ke dapur setelah selesai berdandan. Hari ini dia mengenakan blaus lacd trim berwarna merah jambu dengan kain skirt atas lutut.
"Eh, kau tak kerja ke hari ni?" soal Syakilla sebaik saja melangkah masuk ke dapur untuk meneguk segelas dua air kosong. Fikirnya, Mariam dah pergi ke sekolah awal pagi tadi.
"Uit!" Syakilla memetik jarinya di depan muka Mariam. Termenung pula dah.
"Apa dia?" soal Mariam. Jauh sangat mengelamun sampaikan soalan Syakilla pun dibiarkan tergantung sepi.
"Aku tanya, kau tak pergi kerja ke?" Sekali lagi, Syakilla mengulang kembali soalannya. Sudu dipegang kemas. Alang-alang dah ada sarapan, bedal ajelah.
"Oh, tak... tak... Aku ambil cuti hari ni. Demam," jawab Mariam tergagap-gagap.
Syakilla mencebik. Dua hari lepas elok aje keluar beli cincin. Dan-dan hari ni demam. Ah, drama betul.
"Kau tak nak pinjam kereta aku ke hari ni? Aku pun tak pergi mana-mana," tawar Mariam.
Syakilla menggelengkan kepalanya. "Tak payahlah. Reza ambil aku hari ni."
"Oh, yalah. Kau dengan Reza macam mana? Bila kau orang nak seriuskan hubungan?" soal Mariam.
Rasanya Reza memang betul-betul sukakan sahabatnya cuma Syakilla aje yang jual mahal sangat. Reza tu bukannya tak ada rupa pun. Ada!
"Aku dengan Reza cuma berkawan baik. Aku tak ada menaruh apa-apa harapan pun dengan dia," jelas Syakilla.
"Habis tu, macam mana dengan dia pulak?"
"Entah. Kalau dia suka aku tu lantak dia lah. Aku tak suka dia," jawab Syakilla. Hak Reza nak sukakan dia ataupun sesiapa pun. Hak dia juga nak menolak Reza.
Cinta tak boleh dipaksa!
"Masih tak boleh move on dengan dia ke?" soal Mariam, tiba-tiba.
"Dengan siapa?" Kening Syakilla saling bertaut. Dia tu, siapa? Takkanlah Mariam tahu yang dia ada hati dengan Hazril Irfan kut...
"Firdaus, anaknya Pak Cik Muhamad," jawab Mariam bersahaja.
Kunyahan Syakilla menjadi perlahan. Nama itu... Nama lelaki yang paling dia benci. Walaupun sekadar nama, aura kebenciannya cukup kuat!
"Aku dah lama move on daripada dia. Buat apa nak bersama dengan orang yang tak setia? Lagipun, aku anggap cinta aku dan dia sebagai cinta monyet saja. Biasalah, cinta zaman sekolah." Syakilla tersenyum kelat. Dia memang dah betul-betul melupakan kisah lamanya.
Mariam diam tidak berkutik. Wajah Syakilla dipandang dengan pandangan kosong. Birai cawan didekatkan ke bibir. Milo panas dihirup perlahan-lahan.
HAZRIL Irfan memandang tajam Reza yang sejak tadi mengelamun. Leka sangat melayan perasaan sampaikan ais krim di depan mata dah semakin cair pun tak sedar-sedar lagi.
"Kau fikirkan apa? Kau ada masalah ke? Kalau kau ada masalah, kongsilah dengan aku," tegur Hazril Irfan. Apa gunanya sahabat kalau tak membantu.
Lamunan Reza termati. Dia masih tercari-cari sebab yang kukuh kenapa Syakilla menolak lamarannya tapi, semakin digali sebabnya, jalan buntu yang dia temui.
"Tak ada apa-apalah, Haz. Hal kecil ajelah. Aku boleh settle sendiri," balas Reza.
"Semua benda nak berahsia. Pasal kau suruh Syakilla kerja sebagai tea lady dekat pejabat pun kau sembunyikan dari pengetahuan aku. Sekarang, pasal masalah yang tengah stuck otak kau pun kau nak berahsia lagi?" soal Hazril Irfan tak puas hati.
Reza menghelakan nafas berat. Bukannya dia tak nak kongsi cuma dia rasakan perkara yang sedang melandanya ni urusan peribadinya. Tak ada keuntungan pun kalau dia kongsi dengan Hazril Irfan.
"Kongsilah dengan aku. Apa yang kau tengah lalui sekarang," gesa Hazril Irfan.
"Tak ada apalah, Haz. Aku cuma tengah fikir pasal hubungan aku dan Kella yang tak ada penghujungnya," balas Reza lagi.
Hazril Irfan meletakkan sudu dan garpunya ke atas pinggan. Minumannya disedut. Fikirnya, Reza tengah dilanda masalah berat rupa-rupanya masalah cinta!
"Kenapa dengan Kella?" soalnya.
"Kella tak terima lamaran aku."
"Baguslah. Maksudnya dia bukan jodoh kau. Tuhan nak jauhkan kau daripada dia. Bukalah mata kau tu, Reza. Kella tu bukannya perempuan yang baik untuk diangkat jadi isteri," ujar Hazril Irfan.
Kemarahan Reza meledak naik. Sebab itulah dia lebih suka pendam sendiri masalahnya. Tengoklah, ada sahabat pun tak membantu. Lagi buat dia jatuh adalah!
"Dahlah, Haz. Kau tak payahlah nak cakap Kella tu tak baik ke apa. Kau bukannya kenal pun dalaman dia macam mana."
"Tengok pakaian dia pun aku dah boleh detect. Dia memang tak sesuailah untuk kau. Ayam kampung macam tu memang tak layak dijadikan isteri." Semakin lancang mulut Hazril Irfan menuturkan kata-kata. Langsung tak jaga hati orang di sekelilingnya.
Gelaran 'ayam kampung' yang diberikan oleh Hazril Irfan untum Syakilla betul-betul memanaskan hati Reza. Dia sendiri tak pernah gelarkan Syakilla bukan-bukan. Datang Hazril Irfan, terus dibaginya gelaran yang bukan-bukan kepada Syakilla.
"Dia bukan ayam kampung. Dia ada nama. Syakilla Izzati binti Hassan nama dia, bukannya ayam kampung!" Tegas Reza.
Hazril Irfan tergelak. "Tak kisahlah siapa pun nama dia. Apa yang penting, dia memang ayam kampung."
"Cukup, Hazril!" jerkah Reza seraya bangkit dari duduknya.
"Kenapa? Aku cakap benda yang betullah, Reza. Aku tak nak kau kecewa. Aku tak nak ayam kampung tu mempergunakan kau," ujar Hazril Irfan.
"Stop it! Aku tak nak dengar apa-apa lagi dari mulut kau. Sepatutnya, sebagai sahabat, kau kena sokong aku bukannya semakin downkan aku!" herdik Reza dan terus berlalu pergi meninggalkan Hazril Irfan seorang diri di dalam kafe.
Permukaan meja ditampar. Bergerak-gerak rahhang Hazril Irfan. Semenjak Syakilla hadir, macam-macam benda buruk berlaku. Salah satunya dia kehilangan kawan baiknya sendiri disebabkan oleh hasutan Syakilla. Tak guna!
YOU ARE READING
KERANAKU CINTA KAU [C]
RomanceSYAKILLA IZZATI - Hidupnya penuh dengan dendam dan cemburu. Kebahagiaan yang dihidangkan oleh sahabat baiknya, iaitu Mariam membuatkan dendam dalam hatinya semakin membuak-buak. Pada masa yang sama, dia turut menyimpan perasaan kepada teman lelaki s...