SYAKILLA mengenakan gaun maxi berwarna putih kemudian rambut disisir rapi. Gincu berwarna merah dicalit sedikit ke bibir merahnya. Puas hati dengan penampilannya, dia terus keluar dari bilik tidur. Melilau matanya mencari Hazril Irfan.
"Aku yang perempuan ni pun siap lagi awal daripada dia," gumam Syakilla. Pintu bilik Hazril Irfan diketuk bertalu-talu.
"Nak apa?" soal Hazril Irfan sebaik saja membuka pintu.
"Dah siap belum? Dah lambat ni. Aku nak masak lagi," ujar Syakilla sambil berpeluk tubuh.
"Sabarlah. Aku tengah pakai pomade." Hazril Irfan membalas sebelum menutup pintu biliknya semula.
Syakilla terkebil-kebil di luar bilik. Malam tadi bukan main lembut lagi masa sentuh aku. Bila dah siang terus layan aku macam orang luar, gerutunya dalam hati.
"Dah siap. Jomlah." Selamba Hazril Irfan memaut tangan Syakilla.
"Bersiap macam perempuan," gumam Syakilla. Dilajukan langkahnya menyaingi langkah Hazril Irfan.
MARIAM duduk termenung di birai katil sambil membelek-belek cincin yang dihadiahkan oleh Hazril Irfan. Air matanya mengalir membasahi pipi.
Tidak lama lagi dia akan ikut Eusoff menetap di Singapura. Entah bila lagilah dia boleh pulang ke Malaysia setelah masuk ke dalam mulut buaya tembaga tu. Satu keluhan berat dilepaskan.
"Boleh ke aku move on daripada dia? Ya Allah, aku betul-betul cintakan dia. Aku tak boleh hidup tanpa dia." Mariam merintih.
Dipandang-pandang skrin telefonnya yang dah gelap. Ditekan punat telefonnya. Lockscreennya masih lagi dihiasi dengan gambar Hazril Irfan.
"Kenapa dia tak telefon aku langsung? Kenapa dia tak pujuk aku lagi? Dia dah bahagia dengan Kella? Kenapa dia tak cuba cari aku?" Bertubi-tubi soalan itu ditanya kepada diri sendiri.
"Kella, kenapa kau rampas kebahagiaan aku?" Dibaringkan tubuhnya ke atas tilam. Dipusingkan tubuhnya menghadap ke dinding. Lenanya ditemani dengan air mata.
HAZRIL IRFAN membantu Syakilla menolak troli. Harapkan wanita itu? Sakit hati yang dia dapat. Yalah, geram betul dia tengok Syakilla terkedek-kedek menolak troli padahal bukan susah mana pun.
Sengaja nak perhatian, mungkin? Dia mengekori langkah isterinya yang sibuk mencari bahan-bahan mentah.
"Kau nak makan apa hari ni?" soal Syakilla kepada suaminya. Ikan siakap dibelek-belek.
"Udang galah masak lemak cili api," jawab Hazril Irfan.
"Mana ada udang galah. Janganlah minta benda yang tak ada." Syakilla mendengus geram.
"Ketam masak lemak cili api," beritahu Hazril Irfan. Saja aje nak kenakan Syakilla.
Syakilla terus menarik plastik lutsinar yang berada berdekatan dengan tempat letak bahan mentah kemudian lima ekor ketam diambil. Dia terus memberikan ketam itu kepada seorang lelaki yang sedang berdiri di bahagian timbang bahan mentah.
"Hai, awak ni comellah. Ada nombor telefon? Yang belakang tu abang awak ke?" soal lelaki itu tanpa segan silu.
Tersenyum-senyum dia memandang Syakilla. Ketam diserahkan semula kepada empunyanya setelah siap ditimbang. Sempat ditampal pelekat harga di plastik berisi ketam.
"Saya single. Awak single tak? Kalau single, jom kita couple?" ujar lelaki itu lagi.
Syakilla terus menoleh ke belakang memandang Hazril Irfan. Wajah suaminya tegang semacam. Mood mengusiknya mula muncul.
YOU ARE READING
KERANAKU CINTA KAU [C]
RomanceSYAKILLA IZZATI - Hidupnya penuh dengan dendam dan cemburu. Kebahagiaan yang dihidangkan oleh sahabat baiknya, iaitu Mariam membuatkan dendam dalam hatinya semakin membuak-buak. Pada masa yang sama, dia turut menyimpan perasaan kepada teman lelaki s...