HAZRIL IRFAN berdiri tegak di depan pintu bilik Syakilla. Berkali-kali tangannya memulas tombol pintu tapi tak berjaya. Diketuk-ketuk pula permukaan pintu tapi, Syakilla tidak memberikan respons.
Dia tahu Syakilla masih merajuk disebabkan kekasarannya siang tadi. Hendak dipujuk isterinya itu bukannya dia pandai pun. Kalau pujuk Mariam, dia tahulah.
"Kella, buka pintu ni. Dari tadi kau tak keluar bilik. Aku ada bungkuskan makanan untuk kau." Hazril Irfan masih tak mengalah. Kekura tangannya masih mengetuk permukaan pintu.
"Kella..." Tiada sahutan dari dalam. Terus diatur langkahnya ke bilik tidurnya. Kunci pendua diambil dari dalam laci meja sisinya. Dibawa kunci itu ke bilik Syakilla.
Kunci dicucuk ke perumahnya. Pintu ditolak luas. Kelihatan Syakilla sedang baring mengiring membelakangi pintu bilik.
"Kella," serunya.
Hazril Irfan melabuhkan punggungnya di birai katil. Bahu Syakilla dipegang. Ditarik sedikit Syakilla menghadapnya. Nafas dihela perlahan.
"Tidur rupanya," gumamnya
Bahu Syakilla ditepuk-tepuk manja. "Kella, bangunlah. Aku ada bungkuskan makanan untuk kau. Ketam yang kita beli siang tadi tu kau masak esok ajelah."
Terpisat-pisat Syakilla mencelikkan mata setelah terasa goncangan pada bahunya. Dipandang wajah tenang Hazril Irfan sekali imbas sebelum dilarikan pandangannya ke tempat lain.
Hatinya masih sakit dengan apa yang berlaku di dalam Mydin siang tadi. "Masuk bilik kau. Tak payah sibuk pasal aku."
"Kau marah lagi ke pasal siang tadi?" soal Hazril Irfan. Silapnya bukan besar pun.
"Kau rasa?"
"Aku minta maaf. Aku tahu aku dah terlanjur cakap." Direndahkan egonya untuk memohon maaf.
Ucapan maaf yang meniti dari bibir Hazril Irfan tidak melembutkan hatinya langsung. Ditolak-tolak tubuh Hazril Irfan. Memaksa suaminya keluar.
"Keluarlah!"
"Ya, aku keluar. Tak payah nak tolak-tolak. Nasi goreng ayam tu makan." Hazril Irfan bingkas bangun. Lurus jari telunjuknya menuding ke arah satu bungkusan makanan yang diletakkan di hujung kaki Syakilla.
Sebaik saja jasad Hazril Irfan tidak kelihatan, Syakilla terus duduk. Bungkusan makanan itu dicapai lalu dibelek-belek. Bibirnya mencebik. Kali ni dia takkan termakan dengan pujuk rayu suaminya lagi.
"Kau dah sakitkan hati aku lepas tu nak rasuah aku dengan makanan. Boleh blah!" Dicampak bungkusan makanan itu ke dalam tong sampah mini yang terletak di tepi katilnya.
DATIN Bahiyyah melabuhkan punggung di birai katil, bersebelahan dengan suaminya. Dua sampul surat diberikan kepada Dato' Imran.
"Apa ni, Yah?" soal Dato' Imran. Pelik.
"Saya beli tiket percutian untuk anak menantu kita tu. Abang tengoklah. Okey tak tempat yang saya pilih tu?" Sebelah kening Datin Bahiyyah terangkat tinggi.
Dato' Imran mengoyak sampul surat itu kemudian dua tiket percutian dibelek-belek.
"Maldives?" soalnya.
Datin Bahiyyah mengangguk. Kata orang, berbulan madu di sana seronok.
"Masalahnya anak lelaki kita tu nak ke? Awak macamlah tak tahu anak kita tu macam mana. Tambah-tambah lagi, perempuan yang jadi isteri dia sekarang ni bukan Mariam. Awak faham, kan?" Dato' Imran memandang isterinya.
"Saya faham, bang. Saya pun tak boleh terima Syakilla tu sepenuh hati tapi saya cuba untuk terima takdir yang dia menantu kita sekarang. Mustahil Hazril tak boleh cuba," balas Datin Bahiyyah.
YOU ARE READING
KERANAKU CINTA KAU [C]
RomanceSYAKILLA IZZATI - Hidupnya penuh dengan dendam dan cemburu. Kebahagiaan yang dihidangkan oleh sahabat baiknya, iaitu Mariam membuatkan dendam dalam hatinya semakin membuak-buak. Pada masa yang sama, dia turut menyimpan perasaan kepada teman lelaki s...