DATIN BAHIYYAH menghidangkan asam pedas kepala ikan merah di atas meja makan. Sesudah itu, dia menghempas punggung di sebelah Dato' Imran. Disendukkan nasi ke dalam pinggan suaminya.
"Cukup, bang?" soalnya sambil menunjukkan kuantiti nasi separuh pinggan.
"Cukup-cukup," jawab Dato' Imran. Dicapai pinggannya.
Tersenyum-senyum Datin Bahiyyah memandang Dato' Imran yang berselera menjamah masakannya. Walaupun mereka tu orang kaya tapi, Datin Bahiyyah lebih suka menguruskan rumah tangganya sendiri.
"Macam mana kehidupan selepas berkahwin? Seronok tak dah duduk kat rumah sendiri?" soal Dato' Imran kepada anak dan menantunya.
Hazril Irfan menghentikan suapannya. Dikerling sekilas Syakilla yang sedang meneguk minumannya.
"Bolehlah daripada tak seronok tapi, lebih seronok kalau duduk serumah dengan perempuan yang kita betul-betul cinta," balasnya bersahaja.
Gelas yang dah kosong diletakkan ke atas meja. Syakilla terasa hati dengan apa yang dijawab oleh suaminya. Terus dibuang pandangannya jatuh ke lantai.
"Mungkin jodoh kamu memang dengan Kella. Kamu kena belajar untuk terima ketentuan Tuhan." Nasihat Dato' Imran. Pandangannya terjunam di wajah sayu Syakilla pula.
"Kamu pulak jadi isteri, macam mana? Anak papa ada buli tak?"
Err, tak ada. Dia layan biasa je," jawab Syakilla. Perlahan.
"Apa gelar suami dia, dia-dia, macam tu? Macam biadab pula mama dengar. Cuba elok-elok sikit," tegur Datin Bahiyyah yang kurang berkenan dengan sikap menantunya.
Syakilla menggetap bibir. Macam mahu menangis pun ada. Sudahlah fikirannya terganggu apabila suaminya melepaskan kata-kata yang menjerut tangkai hatinya.
"Pengantin baru, biasalah. Dah lama-lama nanti dia pandailah, Yah." Dato' Imran menegur isterinya pula.
"Baru-barulah kita kena ajar, bang. Dia ingat suami tu kawan agaknya nak digelar macam tu," bebel Datin Bahiyyah.
"Sudahlah, Yah." Dato' Imran memegang tangan isterinya.
Syakilla menggigit isi pipinya. Selera nak makan terus mati. Tambah-tambah lagi, Hazril Irfan hanya membisu. Bukan nak mempertahankannya pun.
"Kenapa tak makan, Kella?" soal Dato' Imran. Prihatin. Dipandang menantunya yang sedari tadi duduk merenung pinggan kosong.
"Tadi dah sarapan. Tak lapar," balas Syakilla sekadar nak menyedapkan hati bapa mentuanya.
"Makanlah lagi. Kata nak gemuk, kan?" Hazril Irfan mencelah.
Syakilla berdecit. Disenduk nasi ke dalam pinggannya. Kuah asam pedas disudu ke dalam pinggan. Kangkung goreng belacan diambil sikit sahaja.
"Ikan? Tak nak ke?" soal Hazril Irfan.
"Tak nak," jawab Syakilla. Lembut.
Sesudah makan, Hazril Irfan dan Syakilla mengekori langkah Datin Bahiyyah ke ruang tamu. Punggung dihempas ke atas sofa.
"Ini tiket honeymoon kamu berdua. Mama beli baru, senang. Penat nak tukar-tukar lagi. Tiket pergi Thailand ni biar mama dan papa yang ambil," ujar Datin Bahiyyah kemudian dua sampul surat diberikan kepada anaknya.
"Eh, mama dengan papa pun nak honeymoon juga ke? Wah, nampak gayanya tak lama lagi Hazril dapat adik barulah." Hazril Irfan mengusik. Terkekeh-kekeh dia menghamburkan gelak.
Pap!
Datin Bahiyyah menampar kuat bahu Hazril Irfan. Bertuah punya anak!
"Kilang mama ni dah lama tutup. Mama dengan papa duk mengharapkan kilang isteri kamu. Cepat-cepat bagi kami cucu. Tak payah nak merancang sangat."
Syakilla tersipu malu. Kuku dikuis-uis. Tidak mungkin dia mengandung kerana Hazril Irfan tidak mengizinkan dia untuk mengandung.
"Awal lagi nak harapkan Kella pregnant. Bagi Hazril puas-puas dulu berdua dengan dia. Bila dah bosan nanti baru fikir anak," ujar Hazril Irfan bersahaja.
Anak? Tak pernah langsung dia terfikir nak ada anak dengan Syakilla. Wanita seperti Syakilla tidak layak melahirkan anak-anaknya.
"Benda baik tak elok lambat-lambatkan." Dato' Imran mencelah. Dia dah tak sabar nak bermain dengan cucunya.
"Bukan nak lambat-lambatkan. Kalau ada anak nanti dah susahlah Kella ni nak melayan manja Hazril. Kan, sayang?" Paha Syakilla dicuit.
Syakilla mengangguk sahaja. Malas nak cakap lebih-lebih. Jika tanya dia, dari awal lagi dia mahukan anak tetapi suaminya pula yang tidak mahu.
"Haih! Apa-apa ajelah. Lusa pergi honeymoon tu hati-hati. Buat cucu banyak-banyak untuk kami berdua," gerutu Datin Bahiyyah. Banyak betul alasan anak lelakinya. Dia pula yang sakit hati mendengarnya.
Syakilla hanya mampu mengukirkan senyuman palsu. Senyuman yang menutup segala kesakitan dan kekecewaan di dalam hatinya.
Mungkin, balasanya kerana menjerat Hazril Irfan ke dalam perkahwinan ini sedangkan suaminya itu tak rela pun berkahwin dengannya. Tak apalah, Kella. Pasrah!
MARIAM melilitkan tuala ke tubuh kecilnya yang tidak dilitupi dengan sebarang fabrik sekalipun. Diatur langkahnya ke bilik mandi.
"Hazril..." Nama Hazril Irfan meniti di dua ulas bibir seksinya.
Tanda merah keunguan di sekitar batang lehermya dipandang sayu. Dia telah diperlakukan seperti pelacur setibanya dia di Singapura.
Fikirnya, dia mampu membina kehidupan baharu sekali gus melupakan bekas tunangnya tapi, Eusoff telah memaksanya melayan lelaki-lelaki yang tidak dikenali atas urusan perniagaan.
Sungguh tidak dia sangka, Eusoff membuka perniagaan bar secara haram di sini. Dia pula dijadikan kambing hitam. Dijadikan sebagai perempuan simpanan sekali gus dijadikan sebagai pelacur kelas atasan.
Ingin dia meronta. Ingin dia menolak tapi, dia tak mampu. Sekiranya dia berbuat sedemikian, Eusoff akan memberitahu kepada Hazril Irfan tentang kisah silamnya. Biarlah dia dilayan seperti anjing kurap sekalipun, yang penting kisah silamnya tidak diketahui oleh Hazril Irfan.
"Saya tak nak duduk sini, Hazril. Pak su awak layan saya macam pelacur. Saya nak balik. Saya nak kahwin dengan awak," rintihnya. Terjelepok jatuh badannya ke lantai.
YOU ARE READING
KERANAKU CINTA KAU [C]
RomanceSYAKILLA IZZATI - Hidupnya penuh dengan dendam dan cemburu. Kebahagiaan yang dihidangkan oleh sahabat baiknya, iaitu Mariam membuatkan dendam dalam hatinya semakin membuak-buak. Pada masa yang sama, dia turut menyimpan perasaan kepada teman lelaki s...