Namun Amir tidak pernah sesekali memberitahu hobinya ini kepada sesiapa pun. Malulah dia jika orang tahu siapa penyanyi yang diminatinya. Hanya Aisyah sahaja tahu. Amir tidak berasa bimbang jika kawan baiknya tahu. Banyak rahsia antara mereka tersimpan antara satu sama lain.
Amir meletak kepalanya di atas meja. Matanya pula memandang ke arah bumbung bangunan blok A melalui tingkap bilik darjah. Tekanan selepas menjawab beberapa soalan gurunya semasa kelas matematik sebentar tadi membuatkan kepalanya berdenyut-denyut. Amir sangat tidak menyukai mata pelajaran matematik atau mata pelajaran yang melibatkan nombor dan mengira. Baginya subjek ini sangat sukar untuk dia fahami.
Dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah dahulu, subjek Matematiknya adalah E. Macam-macam dia buat untuk mendapatkan markah lulus, hadir kelas tuisyen dan membeli kalkulator saintifik termasuklah makan tujuh biji kismis setiap pagi dan minum air solat hajat dari tujuh kolah tujuh buah surau. Tetapi subjek itu seakan-akan musuhnya. Di dalam kelas, guru matematik selalu memarahinya. Apa nak buat, kalau dia memang lemah dalam subjek ini.
"Amir! Jom pergi kantin!"
Aisyah muncul di hadapannya. Amir mengangkat kepalanya sambil menggosok matanya.
"Takde duitlah Cah. Badrul pau saya lagi!"
Suara Amir yang sememang perlahan dan seakan-akan kartun Elmo itu menolak pelawaan Aisyah.
"Eeee... kau ni! Takpelah, aku belanja kau nak? Tapi beli kuih sebijik je lah. Abah aku pun bagi seringgit je hari ni"
"Kenapa singgit je?..."
"Sekarang kan asyik hujan aje. Tak boleh gi menoreh.... Jomlah!"
Amir bangun lalu mengikuti Aisyah.
"Amir, minggu depan aku ngan kumpulan sajak aku ada pertandingan mendeklamasi sajak. Kau ikut aku!"
"Kat mana?"
"Kat dewan kecil, hari Rabu tau."
Amir hanya bersetuju. Sebenarnya minat Amir lebih kepada ke bidang penulisan jurnalis. Sebab itulah Amir amat cemerlang dalam subjek bahasa Melayu dan Sejarah. Jika sajak atau puisi tradisional ini, dia agak kurang sedikit. Tapi untuk rakan karibnya, apa-apa sahaja pun boleh!
Di kantin, Amir dan Aisyah akan duduk di meja di hujung sekali mengikut kumpulan pelajar. Walaupun hanya sebiji karipap berinti sardin dan segelas air masak, Amir sudah cukup bersyukur dengan rezekinya ini.
Badrul yang berada di meja atlet dari tadi memerhatinya. Walaupun sudah nyaris hendak mati dua tiga hari lepas, Amir masih ke sekolah. Boleh ketawa pula lagi. Badrul geram sahaja melihat wajah Amir yang macam anak orang Pakistan berkulit putih itu.
Dia bangun lalu melulu ke arah Amir. Tanpa belas kasihan, dia melibas tangannya ke kepala Amir. Tersungkur Amir dibuatnya. Tergamam seketika Aisyah melihat Amir yang sudah tertiarap di lantai kantin itu.
"Weehhhhhhh!!!! Kau apahal ni?!"
Aisyah menjerit kepada Badrul. Badrul mengjenggel matanya. Hendak ditampar perempuan pula.
"Kau jangan masuk campur Aisyah!!!"
Semua pelajar melihat ke arah mereka. Tapi berasakan itu adalah drama biasa, masing-masing membuat hal sendiri.
"Bangang!!!"
Aisyah menyumpah. Lalu dia membantu Amir bangun selepas rakannya itu masih terpinga-pinga kesakitan. Tanpa mempedulikan Badrul, Aisyah memapah Amir ke kelas.
Tidak tahu di mana silap Amir. Badrul sangat membencinya. Bermacam-macam bentuk buli berupa sentuhan fizikal yang dikenakan ke atas Amir. Sepak, terajang, tampar dan tumbuk, semua sudah Amir rasai jika raja setan ini menggila.
YOU ARE READING
Api untuk Amir
Romance"Cinta itu luas maknanya. Kisah ini Bukan hanya untuk pasangan kekasih. Kita masih lagi ada Tuhan, keluarga dan sahabat untuk kita cintai." Apakah yang terjadi apabila sikap keanak-anakan dan periang Amir bertemu dengan lelaki yang sangat matang da...