Inilah yang dikatakan cinta itu buta. Sudah berapa kali dan berapa ramai kenalan Nayli berpesan agar tinggalkan sahaja Si Naufal itu. Tapi, Nayli ini sahaja yang masih tidak nampak dan tidak sedar apa yang sudah Naufal gunakan dirinya untuk kesenangan Naufal sendiri.
Sekarang Nayli mahu menangis pun sudah tiada guna. Benda sudah terjadi. Duitnya sudah kurang dek dikikis oleh Naufal. Mentang-mentanglah Nayli ini pemurah. Senang-senang sahaja Naufal ambil kesempatan. Tetapi, Nayli sendiri yang terlebih pemurah sampai orang sanggup ambil kesempatan.
Nayli mengemaskan segala gambar dan kad-kad ucapan yang dia terima dari Naufal. Semua kenangannya itu disimpan di dalam kotak untuk dibakar nanti. Tiada guna lagi Nayli simpan semua kenangannya bersama Naufal.
"Tak guna betul. Habis duit aku beribu-ribu nak tolong kaulah kononnya. Sekali kau guna duit tu nak bahagiakan perempuan lain. Muka tak malu!" Bebel Nayli sambil mencampakkan kotak tersebut di tepi meja kerjanya.
Telefon bimbit Nayli berbunyi, tanda ada panggilan masuk. Nayli mencapai telefon bimbitnya lalu menghempaskan badannya ke atas katil.
Nama di skrin telefon bimbit dibaca. Lalu Nayli merengus dan mencampakkan telefon bimbitnya ke hujung bantal.
"Apa lagi dia ni nak? Tak cukup lagi nak sakitkan hati aku?" Bebel Nayli lagi.
Selama dua tahun bersama Naufal, setiap perbelanjaan hanya dikeluarkan oleh Nayli sahaja. Paling mahal Naufal pernah keluarkan duit untuk mereka berdua hanyalah tiga kuntum mawar merah.
Nayli tidak pernah berkira kerana dia faham akan keadaan Naufal yang masih belum bekerja tetap itu. Malah Nayli dengan berbesar hati sanggup pinjamkan wang pendahuluan untuk Naufal mulakan bisnesnya. Hari demi hari ada juga perasaan musykil terhadap bisnes Naufal kerana setiap kali disoalkan mengenai progres dan perkembangan, pasti ada sahaja alasan yang diputar-belitkan oleh Naufal sampai Nayli sendiri malas mahu bertanya lagi. Dia cuma berfikiran positif bahawa kemungkinan Naufal mahu bisnesnya diuruskan secara peribadi tanpa bantuan sesiapa.
Malangnya, segala tanggapan Nayli itu meleset. Duit yang dilaburkan bagi membantu bisnes Naufal diselewengkan kearah yang tidak sepatutnya. Naufal bukan sahaja tidak jalankan bisnes seperti yang dijanjikan, malah dia telah gunakan semua wang itu untuk kekasih-kekasih gelapnya.
Dasar tidak tahu malu. Sudahlah malas bekerja. Digunakan pula wang pinjaman secara salah. Malah curang pula. Bukan setakat main kayu tiga, ini sudah masuk kayu empat, lima dan enam sudah. Entah apalah malangnya Nayli asyik dapat lelaki sebegini.
Dulu sebelum Nayli bersama Naufal, dia sudah hampir berkahwin dengan Hannaf. Sudah berjanji raya ketiga Aidilfitri keluarga Hannaf akan menghantar rombongan meminang sebelum meneruskan majlis perkahwinan pada Hari Raya Aidiladha, tetapi Nayli dikejutkan dengan berita yang tidak disangkanya apabila Hannaf menyatakan hasrat ingin memutuskan hubungan mereka.
Alasan yang diberikan Hannaf ialah mereka tidak mendapat restu dari keluarga Hannaf, dan Hannaf akan dikahwinkan dengan pilihan keluarga mereka hujung tahun yang sepatutnya Nayli dan Hannaf berkahwin. Nayli yakin itu bukan alasan utama, perempuan yang mahu disatukan dengan Hannaf itu sudah beberapa kali mesej Hannaf dibelakang Nayli.
Nayli bukan tidak hairan dengan Hannaf dan perempuan itu, cuma dia terlampau bersangka baik kerana Hannaf mengatakan bahawa perempuan itu hanyalah sepupu jauhnya. Padahal Nayli sudah ditipu hidup-hidup. Nayli tidak menyalahkan sesiapa kerana salah dirinya sendiri terlampau cintakan Hannaf sampai segala kesalahan Hannaf tidak dapat dihidu oleh Nayli.
Dua tahun kisah Nayli dan Hannaf berlalu, sekali-sekala Nayli ada juga mengambil tahu perkembangan Hannaf kerana mereka masih berhubung sekadar kawan. Tidaklah sekerap yang disangka, hanya dua atau tiga bulan sekali sahaja mereka akan berhubung untuk bertanya khabar. Sekadar untuk tidak memutuskan perkenalan mereka.
YOU ARE READING
Bersama Tak Selamanya
RomanceNayli tidak pernah jumpa apa itu cinta sejati. Apa yang dia selalu jumpa dan lalui hanyalah cinta tangkap muat yang akhirnya lelaki-lelaki tersebut hanyalah mahu mengambil kesempatan keatas kesenangan yang dia ada. Hampir sahaja Nayli mahu berpu...