Langkah longlai Amran membawanya terus pulang ke rumah. Selipar Makcik Kiah ada di bawah tangga tetapi selipar Pakcik Latif tidak kelihatan. Situasi itu cukup memberitahu Amran bahawa kedua2 orang tuanya sudah pulang dari menoreh getah.
Makcik Kiah terbaring kepenatan di tepi tingkap. Daun tingkap ternganga luas. Memandangkan rumah mereka tiada kipas angin, hanya angin dari luar yang dapat mereka harapkan untuk menyejukkan badan. Namun, biar seluas mana pun tingkap dibuka, kalau tiada angin berhembus dari luar, tetap juga tiada angin yang masuk ke dalam.
Sayu Amran melihat wanita tua itu. Dengkuran kecil dari kerongkong ibunya menzahirkan kepenatan selepas selesai menoreh. Rasa bersalah pula Amran kerana bercuti menoreh hari ini. Tambah kesal di hatinya kerana projek yang membuatkan dia bercuti menoreh pun gagal dilaksanakan. Cutinya yang sia2 sekadar menambah beban kepada ibu dan bapanya.
Amran geram. Perasaan itu muncul sendiri dalam benaknya. Puas dia cuba mengetepikan rasa geram itu, namun makin cuba dihalau, makin kuat rasa meluatnya. Bayangan Abang Tapa yang terkekeh ketawa menyesakkan kepala otaknya. Hatinya tertanya2, apa dosa yang pernah dia lakukan pada Abang Tapa? Seolah2 Abang Tapa memusuhinya dan sedaya upaya hendak menghancurkan hidupnya. Bukan setakat Abang Tapa ketawakan projeknya, malah .....
Layangan fikiran Amran tersekat di situ. Seboleh2nya dia tak hendak lagi memikirkan lagi akan hal itu. Sedaya upaya dia cuba lupakan dan terima ketentuan Tuhan dengan redha. Dia percaya rahsia Tuhan tentang jodohnya masih belum tiba masa untuk dibongkarkan. Amran cuba bersangka baik dan menyerahkan segalanya kepada Tuhan.
Namun, Amran tak dapat lari dari tertanya2, "adakah Fariha tahu tentang hal Abang Tapa ketawakan projek KFCnya?"
Diikuti pula dengan persoalan lain, "adakah Fariha akan mempertahankannya?" memandangkan gadis itu sangat menyokong usaha Amran dan rakan2nya.
PAKCIK LATIF : Ombung.. Ado lak kau kek ghumah.
AMRAN : Eh, abah.
PAKCIK LATIF : Koba nak keluar mo kengkawan.
AMRAN : Tak jadi. Lain kali la kot..
PAKCIK LATIF : Apo lak? Semalam beriyo2 bona, siap mintak cuti.
AMRAN : Ontah la bah. Leman tak datang lak deh tadi. Ni nak poi ghumah dio kojap ni. Ontah apo masalah eh agak eh..
Alasan yang spontan dari mulut Amran itu memberi ilham kepadanya. Fikirnya, baik juga kalau dia ke rumah Leman dan berjumpa sendiri dengan sahabatnya itu. Leman tentu diserang rasa bersalah yang amat sangat hinggakan dia tak sanggup menunjuk muka di kedai Razak pagi tadi. Kalau Amran sendiri pergi menemuinya di rumah, sekurang2nya boleh meyakinkan Leman bahawa Amran tidak mempersalahkannya.
PAKCIK LATIF : Apo kono eh lak Leman? Tak sihat ko?
AMRAN : Ontah la bah. Ni nak poi ghumah dio la kojap laie ni.
PAKCIK LATIF : Bong.. Biska kau ari tu mano deh?
AMRAN : Ado kek Salim. Alak?
PAKCIK LATIF : Kau poie sekolah Udo jap. Bagi duit ni kek dio.
Pakcik Latif hulur beberapa keping wang kertas yang dikeluarkannya dari poket. Amran menyambutnya.
AMRAN : Duit apo lak ni bah?
PAKCIK LATIF : Duit rombongan. Poi mano gak eh dio koba ari tu..
AMRAN : Ooo.. Yo lah. Ombung poi dulu yo..
Amran terus turun dari beranda rumah. Dia menyarung selipar jepunnya dan terus melangkah keluar dari halaman rumah. Hala tujunya masih belum ditentukan. Sama ada dia hendak menuju ke rumah Leman atau ke rumah Salim untuk mengambil basikal dan seterusnya mengayuh ke Sekolah Zaba.
Timbul sedikit perasaan cemburu di hati Amran. Berbanding dengannya, Nora ternyata lebih dimanjakan oleh ibu dan ayahnya. Semasa dia bersekolah dahulu, dia pun pernah minta pada Pakcik Latif untuk menyertai rombongan sekolah, namun tidak direstui kerana masalah kewangan. Tapi berbeza dengan Nora. Walaupun hidup mereka sekeluarga tak banyak berubah berbanding dua, tiga tahun lalu, namun Amran nampak ibu dan ayahnya lebih bersungguh untuk memenuhi keperluan adiknya. Bagaimanapun, Amran tak ambil hati. Nora bukanlah orang lain, adiknya juga.
Amran memutuskan untuk selesaikan tugas menghantar duit rombongan Nora dahulu. Hal Leman boleh dikemudiankan. Mungkin masa Zohor nanti dia boleh jumpa Leman di surau. Maka, langkah Amran dihalakan ke rumah Salim.
SALIM : Den jumpo abah kau tadi.
AMRAN : Kek mano?
SALIM : Kodai Borhan. Sibuk deh nak mintak pinjam moto kek sapo2 yg ado situ. Tapi tak dapek.
AMRAN : Ooo.. Dio nak poi sekolah Nora ngantar duit ni agak eh..
SALIM : Dio jumpo den tanyo an projek kito.. Den koba an tak jadi hari ni. Lopeh tu dio tanyo an kau. Den koba la kau dah balik. Copek2 deh balik ghumah.
Amran faham dengan situasinya. Nampak bersungguh benar ayahnya nak sampaikan wang rombongan untuk Nora. Dengan segera, Amran mengayuh menuju ke Sekolah Zaba. Dia kena pastikan tugasan yg diserahkan oleh ayahnya terlaksana sebelum loceng balik berbunyi.
Sebaik sampai di perkarangan sekolah, Amran terus letak basikal di tepi dinding blok kelas Nora. Kelas Nora hanya di tingkat bawah. Tak susah Amran hendak menemuinya. Macam biasa, tiada pengawal keselamatan pun di pondok pengawal. Sebab itu siapa sahaja bebas keluar masuk sekolah. Namun tak pernah berlaku orang dari luar membuat onar di dalam kawasan sekolah. Juga sangat jarang berlaku pelajar mengambil kesempatan atas ketiadaan pengawal keselamatan untuk ponteng sekolah.
NORA : Cukup ko ni?
AMRAN : Mano den tau. Kau kigho la..
NORA : Ala.. Ni seboleh inggit yo ni. Eihh... Abah ni! Banyak kali dah koba tigo boleh inggit. Ni seboleh!! Mano cukup.. Aduiyai...! Mano lak nak dikobok an laie duo inggit.. Haiyo lah..!!
Tiba2 hati Amran panas mendengar rungutan Nora. Darah Amran menyirap melihat Nora memuncungkan bibirnya. Tapak tangan Amran menggigil dan terasa suhunya meningkat mendadak. Tanpa sempat Amran berfikir panjang, tapak tangan itu melayang dan hinggap di pipi gebu Nora. Nora menjerit kecil dan hampir tersungkur akibat serangan tak terduga itu. Pelajar2 kelas Nora menoleh ke luar sambil berbisik2 sesama sendiri.
AMRAN : Kepalo otak kau cakap abah camtu! Kau pikir nak sonang yo. Kau tak pikir abah tu kemain susah nak kumpo duit. Ekau tau mintak. Tu yo! Tak dapek, bersungut! Tu yo kau tau!!??
Nora mengusap2 pipinya. Pipinya kemerahan kesan tamparan Amran ditambah pula dengan malu diperhatikan rakan2 sekelasnya malah pelajar2 kelas berhampiran juga turut menjengah ke pintu. Pipi yg merah itu dibasahi pula dengan titisan dingin yg meleleh dari celah kelopak matanya.
CIKGU TIMAH : Amran! Kut nak begaduh adik beradik bukan kek sini. Sini tompek belajar!!
AMRAN : Mintak maaf cikgu. Ese balik dulu cikgu..
Amran kutip helaian wang kertas yang bertaburan setelah terlepas dari pegangan Nora. Dikiranya semula. Cukup sebelas ringgit. Dihulurkannya kepada Nora. Sambil teresak2, Nora menyambutnya. Amran seluk saku seluarnya. Dia keluarkan beberapa keping wang kertas yg terlipat rapi. Lalu dihulurkan kepada Nora dua helai not seringgit. Nora menyambutnya tanpa berkata apa2.