1. Semalam ini Mira pakai sari di Instagram. Cuma sekarang di Twitter rancak orang berbincang tentang hal itu. Sengaja saya tulis berbincang, walaupun sebenarnya ia lebih kepada berbalah, tunjuk jaguh, mengejek dan macam macam lagi istilah negatif yang boleh digunapakai. Tentu sekali tak semua begitu. Ada yang betul betul ikhlas berdiskusi tetapi nak cari perbualan perbualan ini dalam keributan reaksi, tentu sekali jadi satu perbuatan yang hampir menyeksa diri. Tapi berbaloi!
2. Ada orang berpendapat yang berbincang atau bercakap tentang isu penting di media sosial seperti Twitter misalnya adalah perkara yang sia sia. Saya salah seorang yang pernah berpendapat demikian. Dalam sebuah forum anjuran Frinjan di Rumah Titi beberapa tahun lalu, saya kata "Tulislah sebijak manapun dalam Twitter, penghargaan yang paling tinggi hanyalah retweet" ketika mengulas tindakan seorang panelis yang mengkritik buku di Twitter.
3. Saya rasa saya berpendapat seperti itu kerana menganggap Twitter ialah sebuah tempat seperti taman permainan, tempat kita berlari sambil bersosial, bergembira, main buaian, menikmati papan lungsur dan sebagainya. Namun akhirnya selepas beberapa tahun, saya berhijrah daripada pemikiran tersebut. Taman permainan secara luarannya memang nampak begitu, tempat untuk enjoy. Tetapi sebenarnya di situlah salah satu tempat seorang kanak-kanak membesar dan belajar. Sebenarnya kita boleh bergembira dan dalam masa yang sama, belajar. Kita sangka kita cuma boleh pilih satu, tapi kita boleh pilih kedua duanya.
4. Secara ringkasnya, saya tak boleh nafikan yang saya membesar di Twitter. Banyak perkara yang saya belajar, hasil daripada pemerhatian dan pemikiran terhadap persoalan-persoalan yang ditimbulkan. Sesetengah orang kata Twitter ini toksik. Saya setuju, cuma saya tertanya tanya apa yang mereka masih buat di Twitter? Adakah ketoksikkan Twitter merampas kemampuan mereka untuk log keluar atau hapuskan saja akaun dan berpindah ke ruang yang lebih sihat? Saya tak dapat jawapan, mungkin kerana saya tak berani tanya depan depan. Cuma saya terus berada di Twitter kerana, maaflah jika kenyataan ini kedengaran seperti tidak merendah diri, saya rasa saya cukup bijak mengawal ruang yang ganas dan liar ini dengan menggunakan pengalaman yang ada. Tentu sekali disebalik kebijaksanaan, sekali sekala kebodohan akan hadir sebagai peringatan. Itulah yang kita namakan kesilapan, sewajarnya dimanfaatkan sebagai sebuah pengalaman
5. Saya akan tulis tentang sari sebentar lagi, tapi penting untuk saya dirikan pendapat ini - sesebuah ruang boleh jadi toksik dan boleh jadi berguna, bergantung kepada bagaimana kita memperlakukannya. Kita mempunyai kawalan sepenuhnya ke atas ruang tersebut, termasuk Twitter, kerana sesungguhnya kita mempunyai banyak pilihan. Kita pilih siapa yang kita follow, tweet mana yang kita beri reaksi atau apa yang kita balas. Atau memetik kata kata tukang kayu terkenal yang saya lupa namanya,
"Boleh saja nak macam mana pun, kita buat dia"
6. Bila Mira Filzah, seorang artis melayu terkenal memakai sari iaitu pakaian tradisi kaum India, ada seorang perempuan kaum India yang mempersoalkannya dan mengatakan ia sebuah cultural appropriation atau apa yang saya faham sebagai sebuah tindakan menggunapakai atau mengadaptasi sesebuah elemen daripada budaya kaum atau masyarakat marjinal, terpinggir atau tertindas dalam cara yang mengetepikan sejarah, cerita atau penglibatan serta cenderung menyinggung mereka.
7. Tulisan saya selepas ini hanyalah pemerhatian pemerhatian yang saya bikin, dan mungkin disusuli pendapat ringkas yang tidak difikirkan dan ditimbang dengan teliti kerana saya mahu catatkan pengalaman ini sementah dan sesegar mungkin. Saya juga akan selit cerita cerita kecil berkaitan kerana kenapa tidak?
8. Antara reaksi paling popular yang saya lihat ialah orang melihat pendapat atau isu cultural appropriation ini sebagai isu golongan woke. Saya tak dapat nak bagi definisi woke ini apa, kerana saya tak pernah guna perkataan ini secara serius. Cuma saya boleh teka yang golongan woke ini di mata mereka yang mencaci ialah orang orang yang berpura pura atau terlebih cakna dan sedar tentang permasalahan sosial. Saya tertarik dengan penggunaan perkataan "terpaling woke". Seolah olah sepatutnya kamu harus woke dengan sederhana sahaja. Mungkin mereka yang berpendapat seperti ini ialah pengikut falsafah aku ingin mencintaimu dengan sederhana Pak Sapardi. Saya murtad ajaran ini, dan kemudian saya peluk ajaran Aloysius Mowe, iaitu mencintai seseorang secara sederhana bererti tidak bercinta sama sekali. Kerana mungkin itulah satu satunya cara kita dapat menguji batas kemungkinan.
Sekali lagi saya nak buat pengakuan, saya juga dulu mempunyai kejengkelan (nak guna kebencian macam terlalu teruk) dalam melihat orang orang yang membincangkan masalah sosial ini, terutamanya apabila ia terlalu rumit atau menggunakan istilah istilah yang saya malas nak Google. Cuma dulu tak wujud atau tak popular perkataan woke.
Kemudian pada satu hari, saya berdepan dengan rasa jengkel yang sama daripada orang lain. Ia melibatkan hal puisi. Seperti kebanyakan orang, saya juga bermula dengan membaca. Saya enjoy puisi seperti kanak kanak enjoy taman permainan. Tetapi akhirnya bila saya bersama sekelompok penyajak yang aktif menulis dan secara tak langsung saya bertanggungjawab kritik sajak kawan kawan, saya rasa ada kekurangan bila wujud persoalan persoalan seperti kenapa sajak ni tak best, atau apa lagi yang boleh buat sajak ini jadi lagi mantap, kenapa ada sajak cocok atas kertas tapi bukan di pentas dan sebagainya. Untuk isi kekurangan atau sebenarnya kelompongan pengetahuan ini, saya mula baca dan cuba fahami teks teks yang membincangkan sajak dalam bentuk yang lebih akademik dan dibantu oleh rakan rakan penyajak yang dah pun mempunyai pengetahuan tentang itu. Saya mula tweet tentang definisi sajak, strukturnya, istilah istilah yang berkaitan dalam menghasilkan sesebuah sajak dan sebagainya. Tentu sekali sama seperti saya dulu, hal hal ini kedengaran sangat asing dan rumit di mata segelintir penggemar atau penyajak lain di susur masa saya. Hasilnya saya diejek atau kena kutuk belakanglah senang cerita. Kerana bagi mereka sajak lahir dari hati dan sesuatu yang suci seperti luahan hati atau ekpresi diri seperti itu sangatlah sakral sehingga tak boleh diusik. Saya setuju dan saya tak ada masalah sebenarnya. Penyajak macam tukang masak, ada yang belajar daripada pengalaman dan ada yang ke universiti ambil kos kulinari, setiap satu tak kurang dan tak lebih daripada yang lainnya.
Saya akhirnya jadi apa yang saya benci dulu, cewah. Tetapi dalam hal ini kebencian tersebut saya bebaskan dengan kefahaman. Jadi poin saya adalah, jangan jadi macam saya dulu, membenci perkara perkara yang kita gagal ataupun tak nak fahami. Kalau nak benci, sekurang kurangnya fahamilah dan cari alasan yang bagus untuk membantah, selepas itu baru kita akan lebih berkaliber dalam membenci.
Kalau sekadar benci dan alasan membenci itu hanya kerana seseorang itu woke, mungkin kitalah yang rugi tertidur sepanjang hari.9. Seterusnya saya lihat ada orang malah kawan kawan yang tiba tiba mengaku samada mempunyai bau bau bacang, berketurunan dan berdarah India, atau membuat pengumuman dia mempunyai kawan kawan India. Dalam hal ini mereka seolah olah mahu dilihat sebagai sah, atau seperti seorang wakil rakyat yang diundi, dan berhak menjadi suara kepada masyarakat India. Atau sekurang kurangnya ada pas untuk menyampuk.
Ini sesuatu yang lucu, bukan kerana saya nafikan hak mereka untuk mengeluarkan pendapat. Kelucuan ini tidak ada kena mengena dengan pendapat mereka, tetapi kerana bagaimana menjadi sesuatu kaum, wujud sebagai satu pilihan buat mereka. Hari ini jika mereka dapat beroleh manfaat untuk menjadi orang India, mereka lakukannya dengan sepenuh hati. Namun ketika orang India ditindas dan direndahkan dalam beberapa hal, mereka tidak ikut sama terkesan kerana hari itu mereka bukan lagi orang India. Atau kawan kawan India mereka seolah olah tak wujud. Cybertrooper di media sosial juga menggunakan strategi yang sama, iaitu menyamar sebagai kaum lain dan keluarkan pendapat yang kononnya mewakili semua suara.
Tapi taklah saya nak menafikan darah dan keturunan tuan tuan dan puan puan, kerana siapalah saya, sekadar seekor anjing di susur masa. Cuma hadirkanlah diri dalam wajah yang sama ketika kaum tersebut dituduh sebagai pendatang misalnya.10. Ulang suara, semua orang berhak berpendapat. Dalam masa yang sama, tidak tahu itu default mode, bodoh sombong itu pilihan. Sebelum ada yang tersinggung, saya letak kusyen sikit - oh ini cuma peringatan untuk diri saya saja. Tidak ada kena mengena dengan mereka yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.
11. Melawak saja. Semua benda ada kena mengena.
YOU ARE READING
Satu Hari Mira Pakai Sari
Non-FictionSatu hari, Mira pakai sari. Tetapi sari yang dipakai satu hari, menimbulkan segala macam reaksi yang sebenarnya patut dibincangkan berhari hari bermula semalam setiap hari. Oh tapi tulisan ini bukan nak terangkan salah betul pakai sari satu hari ata...