Ratisya - Bab 1

37 0 2
                                    

Bab 1

DI DALAM sebuah kamar, sepasang suami isteri terlihat sedang terbaring lena. Walau bagaimanapun, keadaan bertukar kacau bila mana Fairuz meracau-racau sehingga mengakibatkan lena Suzie terganggu.

"Abang... Sya datang ni..." Bisikan itu kedengaran di halwa telinga Fairuz yang mula tidak tenang. Dadanya berombak resah.

"Pergi! Jangan ganggu aku!" Kedua-dua belah telapak tangannya memekup telinga. Fairuz mendengar suara itu halus-halus.

"Abang...." Lirih nada itu.

"Diam!!!" Pekik Fairuz sambil terbangun duduk.

"Kenapa ni bang?" Suzie yang tidur bersebelahan Fairuz terjaga. Melihat suaminya dalam keadaan pucat dan berpeluh-peluh itu, cepat-cepat diusap kepala suaminya. "Abang mimpi buruk ke?" Fairuz angguk.

Suzie bangun, dia ingin mendapatkan segelas air minuman untuk suaminya. Setibanya di dapur tiba-tiba dia lihat Fairuz ada di kerusi. Tergamam jadinya. Macam mana boleh ada di situ...? Tadi kan...? Dia hairan.

"A... Abang..." Panggilnya sambil memandang sekilas ke belakang. Bibirnya sukar menutur bicara.

"Abang tak dapat tidur Sue. Abang haus." Balas Fairuz lemah. Ketara kerutan di dahi terbentuk.

"I...iya... Ta... Tapi..." Suzie tergagap-gagap.

Kalau di dapur itu adalah suaminya, jadi siapakah di bilik yang berada di sebelahnya tadi? Suzie kaku di muka pintu dapur.

***

SARAPAN pagi disediakan. Balqis dan Laila sudah sedia berada di meja untuk bersarapan sebelum dihantar ke sekolah. Sambil menyapu jem pada roti, Suzie bertanya pada anak-anaknya, "Kerja sekolah yang cikgu bagi semalam semua dah siap ke?" Lalu jawab mereka sudah. Suzie sangat menitikberatkan soal pembelajaran anak-anaknya. Dia tidak mahu mereka keciciran.

Dalam hatinya tertanya-tanya, kenapa suaminya masih belum turun. Sepatutnya sudah ada di meja. "Abang...!" Panggil Suzie. Namun tiada sahutan. Baru sahaja dia bangun dari duduknya untuk pergi meninjau, kelibat suaminya muncul sambil mengancing lengan baju, bersiap-siap untuk ke tempat kerja.

"Abang sakit perut tadi..." Fairuz menghela nafasnya sambil menarik kerusi lalu dihenyak punggung ke situ. Dia mencapai sekeping roti yang siap disapu jem nenas kemudian disuap ke mulutnya.

"Abang balik makan tengah hari tak hari ni?" Sengaja Suzie bertanya. Kedua-dua anaknya sedang mengunyah makanan.

"Aqis, Lela, cepat makan nanti lambat ke sekolah." Ucap Fairuz yang tidak menjawab pertanyaan Suzie.

"Tunggu la sekajap bang, diorang belum habis makan tu..." Suzie menghalang. Entah kenapa suaminya tergesa-gesa pulak. Dah tak boleh nak sabar dan tunggu sekejap ke? Suzie ketap bibir.

"Saya ni banyak kerja nak kena buat, kalau lambat nanti macam-macam masalah pulak yang timbul." Fairuz memberikan alasan. Suzie juga harus faham keadaan kerja suaminya. Tak boleh bebankan fikiran Fairuz sekarang ni.

"Takkan saya tanya pun tak boleh bang? Saya cuma nak tahu, abang balik makan tengah hari ke tak? Kalau tak balik, tak payahlah saya tunggu."

"Kalau awak nak masak, masak. Kalau tak nak, tak pe. Nanti anak-anak kita kebuluran baru awak tahu. Tak apa, kalau malas sangat nak masak, balik sekolah nanti saya bawak anak-anak pergi makan dekat kedai je." Suzie berkerut dahi. Berlainan benar sikap suaminya. Tak seperti sebelum ini. Banyak yang berubah.

Apa yang dia tahu, sejak dua menjak ni, suaminya sering bermimpi buruk, meracau-racau pada waktu malam. Bila waktu siang, sikap baran suaminya nampak ketara. Terutama awal pagi macam ni, sudah melenting. Di hadapan anak-anak pulak tu. Hal tersebut membuat hati Suzie bagaikan disentap.

"Bukan itu maksud saya bang." Suzie terkilan. Fairuz angkat punggung. Hilang selera nak makan. Balqis dan Laila terbungkam. Mungkin mereka tak pernah melihat keadaan semakin tegang agaknya. Selama ini mereka hidup bahagia sahaja. Tiada cacat celanya. Tetapi sejak kebelakangan ini satu perubahan telah berlaku.

Tidak lain dan tidak bukan, mesti ada sesuatu yang tak kena. Jangan-jangan... Suzie mula menyimpan syak wasangka. Selagi belum ada bukti, dia tak boleh menuduh. Dia berharap masalah ini bukanlah masalah besar dan boleh diselesaikan.

***

FAIRUZ meluru ke arah pintu pejabatnya. Di tepi ruang itu terdapat meja kerja salah seorang kakitangannya, "Bos! Apa khabar hari ni?" Saiful senyum melihat bos sudah sampai. Tetapi seukir senyum pun tidak dibalas Fairuz. Muka kelat dipamer. Saiful bingung melihat keadaan tersebut.

Sebaik pintu ditutup rapat, Nora rakan kerja Saiful turut perasan akan perubahan sikap bos mereka. Dia mendekati Saiful, "Apasal dengan bos kita tu? Macam ada masalah je?" Nora bukan nak menyibuk, tetapi ingin mengetahui keadaan sebenar. Jika masalah peribadi dicampurkan dengan kerja, dia bimbang nanti bosnya itu akan membuat keputusan terburu-buru atau melenting tak tentu pasal.

"Manalah aku tahu, mood tak baik kut hari ni." Ujar Saiful tergaru-garu kepala sendiri.

"Tak pernah-pernah aku tengok Encik Fairuz kita tu muka macam tu. Mesti ada apa-apa ni..." Nora terangguk-angguk.

Tiba-tiba pintu pejabat dikuak semula. Berdiri Fairuz sambil bercekak pingang. "Ni korang berdua buat apa? Tak reti nak sambung buat kerja ke?!" Tengking Fairuz memarahi mereka. Pekerja lain yang ada di situ turut terperanjat.

Cepat-cepat Saiful dan Nora kembali ke tempat masing-masing. Mereka tak sangka akan dimarahi sedemikian rupa. Apa boleh buat, Fairuz itu kan bos...

Di dalam ruang biliknya, Fairuz kelihatan runsing. Fikirannya kelihatan terganggu. Dia sendiri pun tak tahu kenapa jadi sedemikian rupa. Sekejap dia duduk, sekejap dia bangun. Mundar mandir dia di situ.

Siapa Ratisya? Itulah yang meniti dibibirnya. Dari semalam lagi dia tertanya-tanya, siapakah perempuan yang bernama Ratisya selalu muncul dalam mimpi-mimpinya. Kenapa seringkali datang menganggu lenanya?

Pintu biliknya diketuk lalu dikuak oleh Nora. "Ada apa lagi ni Nora? Awak tak ada kerja ke nak buat?" Bebel Fairuz.

"Sorry bos, ada orang nak jumpa."

"Siapa?"

"Katanya kawan bos."

"Jemput dia masuk." Balas Fairuz berwajah serius yang tiada senyum. Naik takut Nora melihatnya.

Tidak lama kemudian muncul orang yang dikatakan Nora di muka pintu. Orang yang dikenali Fairuz.

"Laaa kau Kamal, jemput duduk." Fairuz mempersilakan Kamal, kawan lamanya duduk. Memang sudah lama tak berjumpa. Tahu-tahu muncul di hadapan mata.

Kamal melilau mata melihat isi pejabat Fairuz. "Semakin maju bisnes kau sekarang Fai. Tak sangka aku kau boleh sukses sampai macam ni sekali." Kamal memuji perniagaan percetakan yang diusahakan oleh Fairuz yang semakin berkembang hebat.

"Biasa je Kamal... eh Kamal, kau buat apa sekarang? Lama betul tak jumpa kau la..." Baru Fairuz mengukir senyum. Kalau tidak dari tadi muka kelat sahaja. Bila Kamal datang bertemu, dia layan baik. Kamal duduk di kerusi yang ada di hadapan Fairuz usai berjabat tangan.

"Aku biasalah, makan gaji..." Ucapnya perlahan. "Aku datang ni bukan saja-saja. Atas dasar urusan bisnes." Katanya lagi. Kamal menunjukkan sesuatu kepada Fairuz. Dia mahu Fairuz sendiri menilainya.

Fairuz melihatnya. Dia dapat tender projek papan tanda. Boleh tahan juga pembiayaannya. Fairuz senyum. Rezekinya tak putus-putus. Dia pun tak sangka pulak yang Kamal datang memberikannya projek.

"Ratisya apa khabar, Fai?" Tersentak Fairuz bila nama itu terpacul dari mulut Kamal. Macam mana Kamal boleh kenal Ratisya? Tiba-tiba, pintu pejabatnya diketuk. Muncul Nora di muka pintu. "Bos, ada orang nak jumpa." Terus pandangannya kembali semula ke arah Kamal. Tapi Kamal tak ada. Fairuz kebingungan sendiri. Dia mengusap wajahnya.

Kali ini orang yang datang ingin berjumpa dengannya bukan Kamal, tetapi orang lain yang berurusan perniagaan dengannya. Dia masih dihambat rasa bingung. Apa yang sebenarnya telah berlaku ke atas dirinya sendiri? Fairuz buntu.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Sep 05, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

RATISYA - Bab 1Where stories live. Discover now