PROLOG - DIA YANG MASIH BERNAFAS

18 0 0
                                    

Angin kuat menandakan ribut bakal tiba. Pohon-pohon togel bergoyang tetapi masih teguh bertahan. Sesekali bunyi kasar angin yang bertiup, ibarat bunyi nyaring nyalakan serigala di balik bukit, gagak terus kuat melaung cuba mencari jalan keluar dari rimba yang tidak berpenghujung.

Gak! Gak! Gak! – bunyi gagak memecah sunyi.

Suara serigala di balik bukit saling sahut menyahut, menangis minta dibunuh kerana rimba itu menyesakkan. Di tengah-tengah Jantung Rimba, dia yang masih bernafas, teguh berdiri menanti tetamu yang tidak kunjung tiba. Papan tanda kayu bertulis:

'Café'

Terhuyung-hayang dipukul angin kuat. Kanak-kanak itu memandang lama papan kayu tidak bernama itu, dengan wajah yang hairan. Kemudian, pandangannya beralih pada dinding café yang sepenuhnya ditutupi dengan tumbuhan liar yang menjalar dari bawah tanah, tingkap hingga ke atap rumah. Buruk dan terbiar, itulah keadaannya. Tetapi, aneh masih ada bunga kecil yang berani tumbuh di celah-celah tumbuhan liar yang menjalar. Menjadikan café itu, kadangkala nampak indah dan mencacatkan.

Tiba-tiba, angin kuat berhenti bertiup, ribut tidak jadi hadir, awan mendung mengundurkan diri, memperlihatkan bulan penuh yang terang bercahaya tepat memancar pada café terbiar itu. Rimba itu, jadi lebih sunyi. Gagak patah sayap, musang berdarah tekak dan membisu, yang kedengaran kini hanyalah derapan kaki kecil melangkah stabil tetapi lemah, serta nafas perlahan seorang kanak-kanak.

Tangan kecil itu, menolak lembut pagar kayu yang hampir rapuh. Bunga-bunga layu di taman serta rumput-rumput panjang menemani setiap langkah yang hadir mendekati pintu café. Hujung kainnya yang berwarna kuning lembut kotor dengan kesan lumpur yang masih basah. Dari luar tingkap, kelihatan dua ekor kucing berbadan gempal dan kurus memandang dengan mata bercahaya terang terkena bias cahaya bulan penuh.

Ring ~ bunyi halus loceng di pintu cafe

Pintu café terbuka dengan sendirinya, disambut dengan bunyi halus loceng kecil di pintu. Yang terbentang di hadapanya kini, sebuah ruang luas yang mewah disimbahi cahaya oren dengan perabot yang hampir kesemuanya berwarna coklat gelap. Lampu chandelier yang tergantung di tengah café, tampak megah memperlihatkan wajahnya yang dihiasi batu-batu kristal. Ruang luas itu, bagaimanapun kelihatan kosong dengan perabot mewah yang berada di setiap genap ruang. Di hujungnya, kelihatan satu lorong gelap panjang yang tembus tidak tahu ke dunia mana.

Secara tiba-tiba, ruang itu dipenuhi dengan bau pai pisang yang membangkitkan selera. Kanak-kanak itu menelan air liurnya berkali-kali, menandakan sudah hampir berhari-hari dia tidak makan. Dirinya masih lagi terawang-awangan. Kemudian, dia disapa lembut oleh satu suara asing yang datang dari lorong gelap.

"Selamat Datang." Sapa suara kasar bernada lembut itu. Semakin lama wajah itu semakin jelas dengan langkah perlahan yang keluar dari gelap pekat lorong panjang.

Kelihatan seorang Wanita tua dengan gaun lusuh bersih yang terletak pada badan. Di tangannya, terdapat sebiji pai pisang yang masih panas. Kemudian, wanita tua itu berhenti melihat kanak-kanak perempuan yang berada di hadapanya dari atas ke bawah, dengan senyuman yang masih di wajah. Mata wanita itu, bersinar di sebalik cermin mata separa bulatnya. Ibarat bulan separa yang terang disaat langit malam mendung.

"Selamat datang." Kata Wanita tua itu.

Kanak-kanak itu, sekadar berdiri terkaku dan terkebil-kebil. Wajahnya kosong, dengan pandangan mata yang hilang ibarat tersesat di tengah rimba. Dia kelihatan mati. Maksud Wanita tua itu, jiwanya mati.

"Nama?" Soal Wanita tua itu.

"Amaya." Jawab kanak-kanak itu, pendek.

"Selamat datang ke café Amaya's." Kata wanita itu sekali lagi dengan hati yang terbuka.

"Nampaknya, kita ada pemilik baru." Kata Wanita tua itu dengan suara garau yang ramah dan wajah yang ceria. Tidak semena-mena, lorong di mana wanita tua itu hadir, bercahaya terang.

'Akhirnya! Café ini tidak lagi mati. Jiwa-jiwa yang terluka sudah ada ubatnya.' – detik Wanita tua itu.

Dari luar café, Angin kembali bertiup kencang seperti mahu ribut, nyalakkan serigala semakin nyaring bergema di balik bukit ibarat gembira dan ruang café itu kembali bersinar terang setelah sekian lama.

Amaya di Tengah Hujan MalamWhere stories live. Discover now