Tiada sesiapa lagi yang bersuara.
Suara orang di sekitarnya seakan tidak wujud. Kedinginan tidak terasa. Tiada sesiapa yang bergerak. Pandangan pemuda itu masih melekat pada Haydar, terbeliak.
Akhirnya, pemuda itu membalas, "menarik."
Haydar tergelak. Dia tahu pemuda itu memandangnya aneh. Dia yakin pemuda itu berkira-kira sama ada Haydar waras atau sebaliknya.
"Sejak hari itu, budak itu belajar mendengar," Haydar menyambung, "dan bersuara apabila orang mendengar. Dia ambil Sains Tulen sebab mahu jadi ahli psikologi. Tetapi, aku selalu lihat dia di sana. Berdiri di depan taman permainan. Termenung."
Haydar terdiam, "sehinggalah suatu hari, ada suatu perkara aneh berlaku."
"Apa yang berlaku?"
Ting!
Haydar tergamam. Sebuah bunyi dentingan loceng, bergema di dalam kepalanya. Halus dan berat.
Ting!
Sekali lagi, bunyi itu kedengaran.
"Kau dengar bunyi itu?"
Pemuda itu meliar sekeliling dan bertanya, "orang berjalan?"
Tidak. Hanya Haydar seorang yang mendengar. Dia melilau ke sekeliling, sebelum badannya terkaku.
Di hadapan pagar taman permainan, seorang lelaki tua, tersenyum ramah ke arah mereka berdua. Tongkat di tangan diketuk-ketuk ke tanah, menghasilkan bunyi loceng yang kuat.
Lelaki aneh yang pernah ditemuinya dahulu.
Suara lelaki tua itu bergema, "sudah tiba masanya, anak muda."
Haydar berkerut. Semua yang berlaku ini, angkara lelaki tua itukah?
Belum sempat dia pergi, pemuda itu menarik lengannya dan bertanya cemas, "k-k-kau nak pergi... mana?"
Haydar terhenti.
Dia berpaling, menatap pemuda itu dengan dalam. Nafasnya tertahan-tahan, giginya diketap kuat.
"Aku akan pergi," ucap Haydar, perlahan. "Terima kasih atas semuanya."
"Tapi kau—"
"Aku dah tahu jalan pulang sekarang," Haydar tergelak, "aku orang gila. Jangan fikir sangat apa yang aku cakap."
"Tunggu," Pemuda itu menggeleng, "aku masih tak—"
Haydar mendakap erat pemuda itu.
Keheningan menjengah buat seketika. Desiran pepohon kedengaran seperti memujuk halus. Haydar merasakan matanya hangat. Pemuda itu pula terkaku.
"Aku minta maaf," Suara Haydar bergetar, "sebab jadi sahabat yang teruk, Lut."
"Apa... m-maksud kau?"
"Kau mungkin berubah," Haydar membalas, "tapi kau penipu yang teruk."
Lambat-lambat, tangan pemuda itu menjalar, membalas pelukannya. Haydar merasakan bahunya basah dan sejuk.
"Mungkin... aku pun dah gila macam kau, kan?" Lutfan tergelak, tetapi suaranya serak. "Lagipun, Lutfan kau dah lama tiada."
"Haydar pun dah tiada," bisik Haydar, "tetapi aku masih hidup, sama macam kau."
"A-aku minta maaf," Lutfan bersuara, hampir tidak didengari, "sebab menyusahkan kau."
Air mata Haydar menitis di atas kot Lutfan. Haydar mengetap mulut, menahan esakannya.
Dia menggeleng, "kenapa kau fikir macam tu?"
"S-s-sebab aku gagap dan... tak boleh diharap."
"Gagap bukan kelemahan kau," Haydar melepaskan pelukan sambil menepuk bahu Lutfan. Dia mengukir senyuman, "gagap buatkan kau kuat!"
Lutfan hanya tersengih sambil mengesat air matanya.
"Walaupun aku tak pasti apa yang berlaku," kata Lutfan, "kau pun akan pergi juga, kan?"
"Kalau aku terus di sini, susahlah."
Mereka hanya tergelak, hambar.
"Aku harap, situasi kita berbeza," Haydar berundur, dan bunyi dentingan loceng itu semakin kuat. "Aku mahu cerita banyak benda dengan kau, tahu?"
"Tetapi," Haydar menumbuk dadanya, perlahan, "aku tidak pernah hilang daripada kau."
Lutfan mengangguk sambil tersenyum lemah. "Kau pun jangan hilangkan aku."
Bunyi loceng itu semakin kuat, dan berat di dalam kepalanya. Pandangannya mulai silau.
Sebelum pandangannya memutih, Lutfan mengangkat tangan sambil tersenyum.
"Jangan lupakan aku."
520 patah perkataan
YOU ARE READING
Hai Dunia Berbeza
Proză scurtăTajuk: Hai Dunia Berbeza Genre: Short Story Sub Genre: Drama, Sci-fi, Mystery AMARAN: Segala pendapat watak yang berunsurkan negatif bukan pendapat penulis itu sendiri, tetapi merupakan pandangan watak di dalam cerita ini. HAYDAR panik, kerana sebai...