APABILA “ BERSAHABAT “ DENGAN TUHAN
Siapa yang bersahabat dengan tuhan, pasti semakin sunyi dengan manusia. Di tengah keramaian, dia rasa keseorangan. Pada saat kesukaan, dia berasa kedukaan. Pada ketika orang tertawa, dia menangis senderian. Tubuh lahirnya dengan manusia, sedangkan batinnya jauh ’terbang’ kepada Allah SWT
Jika kita bersahabat dengan Allah, ertinya semakin renggang dengan manusia. Manusia ramai tidak akan mengendahkan kehadiran kita. Apa yang sukar ialah kita masih hidup di tengah-tengah khalayak ramai. Perhubungan sesama manusia perlu dijaga, sedangkan pada waktu yang sama, hati kita mencari-cari simpati tuhan ~ Moga-moga Dia Yang Esa itu sudi ’berkawan’ dengan kita.
Para rasul diberi kemampuan luar biasa. Hati mereka dapat bersama Allah, sedangkan pada waktu yang sama tubuhnya lahir dengan manusia. Hal ini ramai yang tidak tahu. Mereka sebenarnya tersangat sunyi di dunia. Gurauan, keriangan, tawa dan senda itu semuanya sebagai hiasan lahir semata-mata. Lihatlah nabi Muhammad SAW ketika hampir saat wafatnya, sambil memandang keatas, Baginda berkata dengan gembira ” Teman Yang Tertinggi ”. Maksudnya ialah Allah. Mereka ialah orang pilihan Allah didunia lagi.
Semakin seseorang itu rapat dengan tuhannya, semakin hatinya menjauh dengan manusia. Namun, oleh kerana perintah Allah suruh berbuat baik sesama manusia, mereka bermujahadah menghadirkan diri di khalayak dengan senyuman. Mereka mengasihi manusia, hidup seperti manusia biasa, justeru taat kepada perintah ’temannya’ iaitu Allah SWT. Namun begitu, kedapatan ’sahabat-sahabat’ Allah ini tidak mampu berbuat demikian. Mereka inilah golongan yang memencilkan diri dari manusia ramai, bersunyi-sunyi dengan Allah kerana mereka sudah ada teman yang paling setia.
Bersahabat dengan Allah bukanlah semudah sebutan. Akan diuji dan diduga bertubi-tubi, siapa yang sanggup dan tahan? Siapakah yang sanggup menyerahkan jiwa dan raga serta segala-galanya untuk teman yang tertinggi ini? Tidak ramai yang sanggup.
Sebab itulah yang terpilih menjadi teman Tuhan di dunia bukanlah sebarangan orang. Susah mereka, kesabaran mereka, pengorbanan mereka adalah semaksimum kemampuan seorang manusia. Golongan ini adalah pilihan Tuhan bukan boleh diminta-minta.
Adapun bagi kita, kalau diakui sebagai HAMBA, itu pun sudah cukup besar dan sangat bermakna. Cukuplah itu sebagai jaminan agar kita terselamat dari azab api nerakaNya........
” YA ALLAH YA TUHAN KAMI, KAMI TELAH MENGANIAYA DIRI KAMI SENDIRI, DAN JIKA ENGKAU TIDAK MENGAMPUNKAN KAMI DAN MEMBERI RAHMAT KEPADA KAMI, NESCAYA MENJADILAH KAMI DARI ORANG-ORANG YANG RUGI ”
Huzaifah Ibn Yaman