Hasad

290 4 0
                                    

Sebuah Proton Wira 1.3 menaiki gon setinggi 3 meter. Agak meraung bunyi enjinnya. Apabila berhenti, enjin terus dimatikan.

"Pak Imam! Assalamualaikum. Ooo Pak Imam!" Jerit Subri dari luar rumah.

Jeritan memanggil Pak Imam Zaini itu tidaklah susah untuk didengari dek kerana rumah Pak Imam Zaini hanyalah berdindingkan papan. Dari luar kedengaran tapak kaki memijak lantai dari papan. Kriuk.. Kriuk.. Kriuk.. Kreeeek! Pintu dibuka. Bunyi engsel pintu yang berkarat menyusahkan sedikit untuk pintu usang itu dibuka.

"Waalaikumussalam. Ha, Subri. Awat yang hang dok mai pepagi ni? Nak ajak pi kendughi ka?" Pak Imam Zaini yang berasal dari Parit Buntar dengan telo utaranya.

"Tadak aih. Bukan kendughi pun. Saja la nak mintak Pak Imam tulong buatkan doa selamat kat kedai makan saya hat baru nak bukak tu." Subri pula orang Sungai Petani.

"Uish. Hang bukak kedai makan noh. Dasat. Hang bukak kat mana Subri?"

"Adalah bukak kedai makan kecik kecik ja. Juai nasik kandaq. Dekat simpang dekat dekat Paloh Inai tu."

"Oh. Nak pi sana pukui berapa ni?"

"Satgi lepaih Zohot ka. Bulih kot noh."

"Insya Allah bulih. Tadak apa pun nak buat petang satgi. Satgi nak pi sekali ka hang pi dulu?"

"Saya pi dulu kot noh. Bulih pi masak masak dulu. Nanti Pak Imam teruih pi kedai ja la noh."

"Ok. Ok. Satgi apa apa aku bagitau hang lain."

"Saya gerak dulu noh. Assalamualaikum Pak Imam."

"Waalaikumussalam warohmatullah."

Kereta Proton Wira 1.3 dihidupkan kembali. Dimasukkan gear mengundur. Teet! Teet! Teet! Teet! Vroooommm. Tin! Tin! Hon dibunyikan dua kali sambil mengangkat tangan tanda hormat. Pak Imam mengangkat tangan kembali.

"Cantik Wira tu. Tapi aku berkenan yang 1.5 punya." bisik hati kecil Pak Imam Zaini.

Dia lalu masuk ke dalam rumah untuk mengerjakan solat sunat Dhuha dan istikharah. Memohon supaya kenduri doa selamat nanti akan dapat dilangsungkan dengan sempurna.

++++++++++++++++

Hari yang tenang di Felda Lepar Hilir 3 itu bertambah nyaman dengan angin sepoi sepoi yang bertiup dari bukit ke bukit. Pepohon mangga dan rambutan yang ditanam di pinggir rumah rumah peneroka, menari nari daunnya ditiup angin.

Kehidupan seharian para peneroka yang menyabit sawit biasanya akan berakhir pada tengah hari sebelum waktu Zuhur masuk. Selepas solat Zuhur berjemaah, mereka akan pulang ke rumah masing masing untuk berehat. Ada yang menyambung kehidupan dengan meniaga pisang goreng. Ada yang menjahit jala. Ada yang ke hutan menahan taju. Ada yang hanya berdiam di rumah menonton televisyen.

Tengah hari itu, Pak Imam Zaini sudah bersedia untuk ke Paloh Inai untuk membantu Subri membaca doa selamat untuk kedai makannya. Dengan berbaju melayu kuning langsat dan seluar slack, Pak Imam bergerak ke kereta seraya berpesan kepada orang rumahnya.

"Abang pi sat nah. Sayang ada nak pesan apa apa ka? Satgi balik abang belikan."

"Satgi belikan laksa dekat Lepar 1 bulih? Dekat kedai Mat Serabut tu. Hari tu beli tak dan ghasa. Mamat bagi habih."

"Ok. Satgi balik abang singgah beli sat. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam. Hati-hati bang."

Kereta Toyota KE 30 dihidupkan. Senyap bunyi enjinnya. Gear dimasukkan dan Pak Imam terus bergerak ke destinasinya. Paloh Inai.

Siri Pendek Pak Imam Zaini Where stories live. Discover now