Malik mengambil minuman yang dibeli di kedai serbaneka, mata melihat sekeliling. Seorang wanita yang sedang memilih roti di rak diperhati, Malik mendekati dan melalui di belakang wanita tersebut sambil memasukkan alat peranti GPS sebesar duit syiling 50 sen yang dicipta sendiri ke dalam beg tangan wanita itu. Malik berjalan seperti biasa dan keluar dari kedai serbaneka, topi yang dipakai Malik perbetulkan. Kiri kanan dipandang sebelum dia bergerak memasuki kereta miliknya, telefon bimbit dibuka.
"Mangsa keempat, target lock" Malik menekan sesuatu pada telefon bimbit, titik merah muncul di peta yang ada di dalam telefonnya. Senyuman sinis diberikan sambil menjeling mangsanya.
Malik menunggu wanita itu keluar dari kedai tersebut, mata peka membaca keadaan. Topeng muka dipakai, topi dan baju hoodie ditukar warna lain. Sarung tangan hitam dipakai, jalan yang lengang tanpa kereta memudahkan kerja. Malik melihat peta yang telah dia lukis. Kawasan pangkah yang ditanda diperhati dengan baik sebelum dia mula bertindak, kamera litar yang ada di jalan itu sudah mereka lepasi hanya tinggal untuk wanita itu masuk ke dalam perangkapnya sahaja.
"Mana pula kunci kereta ni? Jalan dah sunyi ni kau nak hilang pula" Wanita itu menggeledah beg tangan.
"Cik, kenapa?" Malik memandu keretanya dan berhenti di sebelah kereta wanita itu. "Tak ada apa encik, saya cari kunci saja" Wanita itu membalas sambil tersenyum. "Mari saya tolong" Malik menarik brek tangan kereta dan turun menuju ke arah wanita itu.
"Eh, tak apa. Susahkan saja, saya boleh buat sendiri" Wanita itu menolak bantuan tetapi menerima setelah melihat mata Malik yang menawan.
"Encik tak panas ke pakai macam ini?" Tanpa sedar mulut Wanita itu berkata.
Malik tersenyum sinis di sebalik topeng mulut yang dipakai. Kain yang dipegang di tangan sebelah kanan dikeluarkan perlahan-lahan. Wanita tersebut sibuk mencari kunci, pelik kerana tiada balasan dia memandang Malik. Belum sempat berkata apa-apa Malik menekup mulut wanita itu dengan kain yang mengandungi cecair ubat tidur.
"Yara, sedap nama" Malik melihat dompet dan mencampak ia ke belakang.
"Dah habis Reina. Tiara, awak ada air lagi?" Adria membalas pertanyaan Reina. Tiara disebelah menggeleng kepala sebagai jawapan.
Ketiga wanita itu memegang palang besi yang memisahkan mereka, terdapat 7 penjara mini dan 4 daripada sel itu masih kosong tidak berpenghuni. Bunyi kunci dibuka membuatkan ketiga wanita itu berundur ke belakang menyorokkan diri. Malik membawa masuk Yara dengan sebelah tangan, sel yang kosong dia buka dan meletakkan Yara. Kain dan air bersih dibawa masuk bersama, Malik membersihkan anggota badan Yara dan menukarkan pakaian Yara kepada pakaian pengantin.
"Adria, Tiara, Reina kenalkan kawan baru, Yara nama dia. Cantik dan sedap nama dia" Malik mengunci pintu sambil mengenalkan Yara kepada 3 mangsa yang telah dia tangkap sebelum Yara.
"Adria, ingat tak masa masuk sini mula-mula?" Malik membasuh tangan, topi dan hoddie dibuka.
Adria menyorokkan wajah dari memandang Malik, suara menghilang bagai orang bisu. Malik mendekati sel Adria, topeng muka dibuka. Wajah menawan yang memukau, siapa sahaja akan tertipu dengan wajah suci itu yang hakikatnya berhati syaitan jadian. Adria menatap wajah Malik, badannya menggeletar ketakutan. Malik tergelak kecil, meja bulat di tengah bilik dia tujui. Plastik makanan di atas meja dibuka, satu persatu bekas makanan diagihkan kepada mangsa-mangsanya.
"Adria sukarela serahkan diri, Reina sebab nak duit, Tiara cuma nak berjalan..." Malik berkata sambil memberikan air minuman.
Ketiga wanita itu diam, takut andai tersilap bicara mereka akan dicederai. Malik kembali semula ke meja bulat, kerusi ditarik untuk duduk. Pelbagai alatan tajam berada di dalam bekas, satu persatu di ambil dan dibasuh. Pisau yang tumpul, Malik asah dengan teliti.