+Delusion | One
"BON Anniversaire.
Cette robe te va très bien."Nota kecil yang dititipkan kepadaku tanpa nama pengirim kubelek. Nota yang ditulis tangan itu disertakan sekali dengan kotak hadiah yang dibalut reben putih.
Dek tanda tanya yang giat mengasak minda, aku beranikan diri untuk membuka bungkusan hadiah tersebut. Hadiah ini berupa sekuntum ros putih dan sekeping gambar rakamanku yang terbaru.
Usai aku labuhkan semula kotak itu di atas meja yang menghimpunkan kotak kotak hadiah, mata aku mulai melilau ke sekeliling. Aku rasakan diriku diperhati.
Seolah olah ada mata mata yang ligat memerhati tindak tandukku sepanjang majlis ini berlangsung. Aku yakin, mereka itu ada disebalik tetamu yang hadir.
Masakan si penghantar ini boleh memberi pujian terhadap gaun yang kupakai jikalau dia tidak melihatnya dengan mata kepala sendiri. Tak semena dada aku diselubungi keresahan.
Gelas tinggi kugapai segera lalu baki cecair merah aku cicip sekali dua.
"Hey, what's wrong?" dek terperanjat akan tindakan figura itu melingkarkan lengannya di pinggangku, peganganku di gelas hampir terlucut.Tapi, ada setitis dua yang tumpah ke bajuku. Buatkan aku lekas melabuhkan gelas ke atas meja semula. Tak lupa nota tadi sempat aku keronyokkan sebelum aku lempar ke bawah meja.
"Oh, i'm sorry."
"Tak mengapa, Darren. Silap saya sendiri." aku undur ke belakang, ingin membina jarak antara kami.
Darren senyum tipis lantas dia menarik tisu lalu dihulurkan kepadaku. Aku sambut pemberiannya lantas menyapu titis air yang tumpah ke kain gaun putihku. Automatik aku menyumpah seranah dalam hati. Hari ini hari istimewa buatku dan ayah.
Tapi, kecuaian sendiri buatkan hati aku mulai panas. Gaun mewah yang aku sarungkan di tubuh sudah kotor dan secara tidak langsung mood aku turut rosak dibuatnya.
"Oh, ya. Sebelum saya terlupa. Here, your birthday gift. Special from Darren."
Sedang aku asyik menyapu bekas merah di gaunku, sebuah kotak hadiah dihulurkan kepadaku.Kelopak mata kuangkat sehingga mata aku dan Darren Hans berlaga. Ragu ragu aku menyambut pemberian itu sehinggalah jemariku digapainya. Diletakkan kotak hadiah itu di atas telapak tanganku sebelum kelibat lelaki itu beredar.
Mahu tak mahu, aku terpaksa menerima pemberian itu. Reben yang membalut kotak itu kurungkai sehingga ianya terlerai. Tulisan tangan Darren Hans yang tertulis pada sekeping kad aku amati.