irah_syah31
Story By: irah_syah31
Start: 21/02/2026
End: ??/??/????
Kehilangan.
Siapa yang tidak pernah merasainya?
Kehilangan insan yang paling disayangi adalah luka terdalam. Luka yang mungkin tidak berdarah, tetapi sentiasa berdenyut dalam diam.
Ada yang berkata:
"Apabila kita kehilangan sesuatu yang bermakna, barulah kita benar-benar memahami erti kekesalan."
Kesal kerana tidak meluangkan lebih masa.
Kesal kerana tidak memeluk lebih erat.
Kesal kerana terlalu banyak kata sayang yang tertangguh.
Itulah yang dirasai oleh Thaqif Zulqarnain.
Seorang pemuda yang baru melangkah ke alam dewasa, namun takdir meragut kedua ibu bapanya dalam satu kemalangan tragis, hanya beberapa jam selepas mereka meraikan hari graduasinya. Saat dia ingin menakluk dunia, dunia pula meruntuhkan seluruh sandarannya.
Hatinya hancur.
Jiwanya kosong.
Hidup yang dahulu berwarna tiba-tiba menjadi kelabu dan dingin.
Di saat dia hampir tenggelam dalam lautan penyesalan, dia dipertemukan dengan Irsyad Luthfi. Seorang lelaki yang hadir tanpa diduga, membawa kata-kata yang menenangkan dan mengajarnya tentang reda serta makna menerima takdir.
Namun pertemuan itu bukan sekadar kebetulan.
Seminggu selepas itu, sepucuk surat daripada Irsyad ditemui dalam begnya. Surat yang ringkas, tetapi cukup untuk menggoncang hati yang sudah retak. Surat itu akhirnya membawa Thaqif ke Darul Insyirah Care & Rehabilitation Centre di Parit Buntar, Perak - kampung halaman arwah ibu bapanya.
Di situlah bermulanya perjalanan Thaqif...
Dalam mencari erti kehilangan, memahami makna pengorbanan, dan menemukan sesuatu yang selama ini tidak pernah dia sedari - bahawa sesungguhnya, setiap takdir yang pahit tersimpan hikmah yang paling indah.
Apakah yang membuatkan dia bertekad untuk mencari Irsyad semula sehingga dia memulakan perjalanannya ke sana?
Mampukah dia bangkit daripada bayang-bayang masa lalu?
Atau penyesalan itu akan terus menjadi teman seumur hidupnya?