SyasyaAinaHazlan
Di zaman sekolah menengah, Hayla Aaryna dikenali sebagai pengawas yang garang, tegas, dan sering bertekak dengan seorang pelajar lelaki popular bernama Hayyan Aaryan. Ramai menyangka mereka saling membenci, tetapi hakikatnya, Hayla menyimpan satu rahsia besar - dia menaruh hati pada Hayyan.
Berbekalkan sedikit keberanian, Hayla pernah meluahkan perasaannya. Namun, cintanya ditolak. Hayyan ketika itu menganggap pengakuan Hayla sekadar mainan remaja, malah menyindir bahawa gadis segarang itu tidak mungkin mampu menjadi kekasih idamanya. Sejak hari itu, Hayla berjanji untuk tidak lagi membiarkan perasaannya terlihat oleh sesiapa. Cintanya terkubur, rahsianya terkunci rapat.
Lapan tahun kemudian, takdir menemukan mereka kembali. Hayla kini seorang inspektor polis trafik yang berwibawa, manakala Hayyan telah menjadi seorang peguam muda yang tenang, matang, dan berkarisma. Pertemuan semula itu berlaku di sebuah roadblock - dan seakan mengembalikan memori lama yang tidak pernah benar-benar padam.
Hubungan mereka bermula dengan salah faham, tetapi semakin kerap bertemu, semakin banyak sisi baharu yang terbuka. Hayyan mula melihat bahawa Hayla bukan lagi gadis garang yang pernah ditolaknya dahulu. Dia kini seorang wanita matang yang berani berkorban demi tugas dan keluarga. Bagi Hayla pula, meskipun hatinya masih terluka dengan kenangan lama, sukar untuk menafikan getaran yang kembali hadir.
Berbeza dengan kebanyakan kisah cinta, kali ini keluarga Hayyan tidak menjadi penghalang. Mereka menerima pilihan anak lelaki mereka dengan hati terbuka. Tetapi konflik terbesar terletak pada Hayla sendiri - adakah dia sanggup mengakui cintanya sekali lagi, meskipun pernah ditolak dan dipersendakan suatu ketika dulu?
cinta yang pernah patah, lalu diuji sekali lagi apabila takdir mempertemukan semula dua hati. Adakah luka lama mampu terubat, atau roadblock di hati Hayla masih terlalu sukar untuk ditembusi?