AlexHRillian
Pertemuan di ruang pejabat itu hanyalah satu kebetulan yang canggung, namun takdir nampaknya mempunyai rencana yang lebih besar. Bagi Natrah, Harith Zayyan adalah perlambangan lelaki yang punya segala-galanya-kacak, berharta, dan berkedudukan. Manakala dia? Hanyalah seorang gadis yang sedang bertarung dengan realiti hidup demi kelangsungan keluarga dan masa depan anak buahnya, Fariz.
Satu kemalangan yang tidak diduga menjadi jambatan yang menghubungkan dua dunia yang berbeza. Harith hadir bukan sekadar sebagai lelaki yang mengganggunya, tetapi sebagai pelindung yang menawarkan keikhlasan di saat Natrah paling memerlukan. Namun, tembok ego dan rasa rendah diri dalam diri Natrah bukanlah mudah untuk diruntuhkan.
"Kak Piah kan? Saya Harith, bakal suami... err... kawan... kawan Natrah. Lepas ni akak tak payah bungkuskan untuk Natrah ya? Saya nak ajak dia keluar makan tengah hari." - HARITH ZAYYAN
"Hoi! Sedap mulut aje minta Kak Piah macam tu!" - NATRAH
Tatkala cinta mula berputik dan bahagia seolah-olah dalam genggaman, bayang-bayang masa lalu mula mengekori. Obsesi seorang wanita bernama Zaheera membawa ancaman yang tidak pernah terlintas di fikiran, mengubah sebuah majlis indah menjadi medan pertaruhan nyawa.
"Kau... buat dia benci aku! Kau buat dia buang aku! Dasar betina tak guna! Apalah yang dia nampak dekat kau sampaikan aku ni... yang kaya, yang cantik, yang cintakan dia sepenuh hati aku! Dibuang macam sampah sebab dia kejar kau hari tu! Kenapa?" - ZAHEERA
"Lepaskan anak buah aku dulu. Baru aku biarkan Harith ikut kau." - NATRAH
Adakah ketulusan Harith cukup kuat untuk menyembuhkan luka di hati Natrah? Atau adakah dendam masa lalu bakal meragut segalanya sebelum janji suci sempat dimeterai?
Kerana bagi Harith, hanya ada satu nama yang terpahat di hati...