little_garden
PROLOG
Maka tersebutlah sebuah negeri yang termasyhur di seluruh Nusantara, bernama Arkana. Negeri itu makmur lagi sentosa, sawahnya menghijau, sungainya mengalir jernih, dan rakyatnya hidup dalam aman sejahtera di bawah naungan takhta.
Namun pada suatu malam, tatkala bulan merah menggantung di langit dan angin timur bertiup dengan dinginnya, berdirilah seorang panglima di atas puncak Bukit Sengkala.
Panglima itu memandang ke arah kota Arkana yang bercahaya. Dari kejauhan kedengaran suara rakyat bergelak ketawa, sedang mereka tidak mengetahui bahawa malam itu bakal menjadi malam yang terakhir.
Di sisinya terhimpun tujuh bilah keris pusaka, masing-masing bersinar dengan cahaya yang berbeza.
Maka berkatalah seorang lelaki tua yang berdiri di belakangnya,
"Jika ketujuh-tujuh keris itu disatukan, nescaya segala musuh akan binasa. Akan tetapi rakyat Arkana juga akan turut musnah bersama."
Maka panglima itu pun diam seketika.
Lalu katanya dengan suara yang perlahan,
"Sebuah kerajaan boleh dibina semula. Akan tetapi sebuah kekalahan tidak akan pernah diampuni sejarah."