ambopadusi
Bagi Luqman, setiap kilometer yang ditempuh di atas motosikalnya sebagai rider adalah demi sebuah masa depan bersama Qistina. Biarlah tubuhnya lencun dihujani air mata langit atau terbakar terik matahari, asalkan impian untuk menghalalkan gadis pujaan hatinya tercapai. Namun bagi Qistina, status Luqman sebagai penghantar makanan tidak pernah cukup untuk menjamin hari esok.
Satu pesanan ringkas yang salah difahami menjadi titik mula badai. Qistina memilih untuk mengikut amarah dan melayan ego. Baginya, rajuk itu satu ujian cinta. Dia sengaja "jual mahal" dan menolak setiap pujukan Luqman yang datang bersama tubuh yang sarat kelelahan.
"Kau ingat mudah sangat nak pujuk aku?"
Kata-kata itu dilemparkan tanpa sedar bahawa kesabaran seorang lelaki yang paling setia juga mempunyai sempadannya. Apabila sekeping kertas membongkar segala rahsia dan pengorbanan Luqman yang tersembunyi, Qistina tersedar daripada silapnya. Namun, apabila dia berlari untuk berpaut semula pada dahan cinta mereka, yang tinggal hanyalah sebuah pintu rumah yang berkunci rapat.
Luqman sudah pergi membawa hatinya yang hancur. Dan Qistina tertinggal bersama beg roti dan penyesalan yang tidak berhujung.