ambopadusi
Dia bukan anak ekspatriat.
Bukan graduan universiti elit Ivy League.
Bukan juga individu yang dilahirkan dengan sudu perak di mulut.
Pian Arif hanyalah seorang budak dari Sentul yang percaya kepada satu perkara - kemahiran mampu mengubah nasib.
Bermula dengan sebuah pejabat buruk di tebing Sungai Gombak dan modal yang hampir tidak cukup untuk bermimpi, dia membina Arif Hadid Engineering dari titisan keringat sendiri. Dari kerja pendawaian elektrik biasa, dia meredah industri minyak dan gas; menempuh fasa hampir muflis, bayaran tertangguh, dan malam-malam tanpa tidur yang hampir mematahkan semangatnya.
Namun, medan ujian sebenar menantinya jauh di bumi asing.
Di Kazakhstan, Pian memasuki industri yang keras dan tidak mengenal belas kasihan. Berdepan sistem utiliti era Soviet yang uzur, sabotaj pesaing antarabangsa, dan cuaca ekstrem mencecah minus dua belas darjah Celsius, syarikat kerdilnya dipaksa bertarung dengan masa apabila sistem SCADA utama lumpuh. Satu kesilapan kecil, paip minyak akan meletup dan kontrak jutaan dolar mereka akan terkubur.
Krisis itu meletakkan nama Pian di puncak dunia. Anugerah demi anugerah diraih, sehingga dia diangkat sebagai Wira TVET negara.
Tetapi ketika kejayaan berada di genggaman, musuh sebenar tidak muncul dari luar.
Ia datang dari tanah air sendiri.
Seorang individu yang pernah dibantunya mula merancang konspirasi dari balik tabir. Dalam sekelip mata, Pian diasak dengan fitnah, siasatan SPRM, dan pembunuhan karakter oleh media. Segala yang dibina bertahun-tahun kini berada di ambang kehancuran.
Kini, Pian Arif bukan lagi sekadar menyelamatkan empayar perniagaannya.
Dia sedang bertarung demi maruah keluarga, nama baiknya, dan prinsip hidup yang dipegangnya selama ini.