Najmi ialah seorang pelajar tingkatan 5 dan juga atlet olahraga yang amat disanjungi & terkenal di sekolahnya dengan gelaran BUDAK SPIKE EMAS. Gelaran itu mula tercetus apabila dia sering menggunakan spike emas sewaktu menyertai acara balapan. Ia juga amat sinonim dengan dirinya yang sentiasa memenangi pingat emas dan langsung tidak boleh dikalahkan oleh peserta lain. Tetapi, sikapnya yang terlalu memilih kawan membuatkan segelintir pelajar sukar untuk mendekati dirinya. Dia hanya berkawan dengan rakan setingkatan sahaja. Hanya Ashraf sahaja pelajar tingkatan 4 yang berjaya mendekati Najmi. Kehadiran seorang pelajar baru yang berumur 14 tahun iaitu Zafri, telah pun mencuri tumpuan ramai kalangan pelajar sekolah kerana dikatakan dia adalah atlet olahraga terbaik di Terengganu sebelum berpindah ke Johor. Ia terbukti apabila Zafri mempamerkan banyak sijil penyertaan dan kemenangan di peringkat negeri kepada guru persatuan olahraga sekolah itu. Maka tidak hairanlah, Zafri juga telah berjaya mengalahkan atlet senior yang berada di sekolah Najmi. Ini membuatkan juara bertahan itu rasa tercabar dengan kebolehan pelajar baru tersebut. Lebih-lebih lagi Zafri adalah junior di sekolah itu. "Ini je cara untuk aku buktikan pada ayah aku, yang aku boleh berjaya!" - ZAFRI "Kau jangan harap boleh rampas tempat aku!" - NAJMI "Fikir dahulu sebelum lakukan sesuatu. Jangan ikutkan perasaan." - ASHRAF Sejak daripada hari itu, banyak tentangan yang telah diberikan oleh Najmi kepada Zafri. Dia langsung tidak boleh menerima jika pelajar junior itu akan merampas tempatnya. Tetapi, Zafri sendiri tidak akan mendiamkan diri. Hal ini telah menyebabkan terjadinya peristiwa yang tidak di ingini serta meretakkan hubungan Najmi dengan rakan-rakan yang lain. Jadi, apakah kesudahannya? Adakah Najmi akan terus menyimpan hasad dengki kepada Zafri? Atau Zafri akan bertindak di luar jangkaan? Semuanya akan terjawab dalam kisah ini.
Detail lengkap