"Madihah!" Teguran bersuara sedikit kuat itu membuatkan Madihah tersentak. Langkahnya segera mati. Pandangan yang menunduk tadi sudah dipanggung mencari gerangan yang kasar menegurnya. Mata segera dijegilkan. "Apa? Habis kuat dah suara kau panggil aku tu? Volume dah habis tinggi?" perli Madihah sambil menyambung kembali langkah yang cuma beberapa langkah nak sampai ke pintu butik. "Yang kau jalan menonong tak pandang depan tu apasal? Seronok nak langgar orang? Seronok nak langgar tiang?" Madihah menjeling namun dia tidak menjawab. Pintu butik ditolak selepas sandal yang dipakainya ditanggalkan. Sandal berwarna coklat itu diangkat lalu dibawa masuk ke dalam. Diletaknya di atas rak yang berada di sebalik pintu kaca itu. "Pegang jap pintu!" Arahan itu Madihah terima. Dia pegang pintu kaca yang baru hendak tertutup dan membiarkannya separuh terbuka. Dipandangnya ke dalam butik. Kelihatan Nadia sedang melayan dua orang pelanggan manakala Ana sedang menunggu di kaunter pembayaran. Alhamdulillah. Butik Kasih Suci tak lekang dengan pelanggan biarpun tidak diserbu serentak. "Kenapa kau lambat, Dihah? Dah lama kut aku tunggu," bebel Mikail setelah masuk ke dalam butik. Dikerlingnya Madihah yang berada di pintu itu. "Aku balik lewat semalam. Urus order customer." "Pukul berapa kau balik?" "Kul 1 kut." "Pukul 1 pagi???" "Hmm yap." "Kenapa tak bagitahu semalam? Aku ingatkan kau ada kat rumah." "Malaslah aku nak kacau kau. Lagipun Ana ada."