Blurb/ Sinopsis:
Bertahun Zalia hidup terasing di luar negara. Hidupnya tenang-tenang sahaja selama ini, sehinggalah syer miliknya dalam Merbayu Engineering, jadi rebutan dua lelaki gila kuasa. Farhan dan juga Farouk.
Memandangkan bisnes bunga rose keluarganya sangat memerlukan dana besar, Zalia menjual syer miliknya pada Farhan dan tawaran Farouk ditolak.
"Awak tolak tawaran saya dan kemudian terima tawaran Farhan. Awak belum kenal Farhan, Zalia. Dia gila." - Farouk
Farouk betul. Farhan dua kali ganda gila. Semua staf syarikatnya lelaki. Dari tingkat bawah sampai tingkat atas, semuanya kumbang.
Farhan juga ada anak perempuan. Masih kecil. Namanya Seera. Masalahnya, Farhan itu belum berkahwin. Habis tu, Seera anak siapa?
Terlalu banyak aura gelap dalam diri Farhan. Farhan terlalu menyakitkan dan rumit. Tetapi kenapa semakin Zalia mengenali Farhan, semakin dia dibenarkan menyentuh hati lelaki itu? Kenapa Zalia rasa, semua aura gelap Farhan sekadar penyamaran menutup hatinya yang koyak dua sejak kecil?
"Belum tidur?" Farhan menyapa. Tubuh tegapnya nampak semakin tinggi.
"Belum."
"Kenapa?"
Zalia tidak punya jawapan. Farhan yang sedang melangkah mendekatinya membuat jawapannya terbang ke langit. Bau asap rokok pula semakin kuat. Dia tahu Farhan bukan perokok. Jadi dia sangat tak faham kenapa lelaki itu berjinak-jinak dengan rokok.
"Awak merokok."
Farhan berhenti melangkah. Sorotan matanya tajam menikam Zalia. Kemudian jari tangannya naik menguis tali halus gaun tidur Zalia. Biar melurut jatuh dari bahu Zalia.
"Ya," akuinya kemudian. Matanya masih milik Zalia.
"Kenapa?"
"Sebab awak."
Terlalu banyak versi Farhan. Terlalu banyak luka yang disembunyikan, sedangkan Zalia mahu melihat Farhan yang sebenar. Bukan Farhan yang memakai topeng penyamaran.
"Awak tak boleh suka saya, Zalia."
Farhan tunduk melihat sepuluh jarinya. Ada kesalan pada wajahnya.
"Sebab jiwa saya dah lama rosak."