"Mama, ke mana mama menghilang? Kenapa tinggalkan saya?" Ibu Adilah menghilang secara tiba-tiba ketika Adilah bersekolah rendah. Sejak itu, Adilah menjadikan kawan-kawan sebagai 'pengganti' ibunya.
"Doakan saya jadi tinggi, kurus, dan kacak macam model apabila besar nanti." Adilah hanya ketawa apabila mendengar permintaan Hakim, rakan sekelas yang pendek dan obes, yang selalu tolong belikan nasi lemak untuknya.
"Sebab saya pandailah saya mahu ajar awak jadi pandai macam saya." Ammar mulutnya berbisa, tetapi hatinya baik. Dia mempelawa Adilah menyertainya belajar bersama dua rakan lain, Amni dan Auni.
"Hidup di dunia hanya sekali. Jadi Adilah, hiduplah baik-baik. Jangan sia-siakan masa depan awak." Begitulah pesanan Hana, gadis misteri yang selalu buat Adilah berdebar-debar apabila berada di sampingnya.
"Adik-beradik kami semuanya pandai. Kakak kenalah belajar bersungguh-sungguh supaya dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kami!" Bukan Mila namanya kalau tidak mengeluarkan ayat tajam berbisa menikam jantung Adilah.
Mampukah Adilah hidup baik-baik seperti yang diharapkan? Dapatkah persahabatan mereka bertahan ataupun terputus begitu sahaja apabila masing-masing melalui perjalanan hidup berbeza?
Ini cerita masam manis kehidupan seorang Adilah bersama kawan-kawan yang datang silih berganti dalam hidupnya.
______
Sedutan setiap bab yang dipaparkan adalah sebahagian daripada cerita yang akan diterbitkan dan boleh didapati di semua cawangan kedai buku POPULAR.
Adilah Hidup Baik-Baik! adalah edisi kemas kini daripada novel asal My Angel yang pernah diterbitkan pada tahun 2006.