JULIA SAFYA, seindah nama dan semanis orangnya. Bekerja sebagai pereka dan perunding kad perkahwinan, telah mempertemukan Safya dengan pelbagai ragam manusia. Salah seorangnya adalah Aniq Zackry. Lelaki yang sentiasa menguji sabar seorang gadis sepertinya. Namun, wujudnya Tunku Safwan sedikit sebanyak melegakan hati Safya yang selalu panas dengan sikap menjengkelkan lelaki itu. Benarlah kata orang, sabar itu ada hadnya. Tanpa diduga, Safya meletak jawatan setelah sekian lama memendam rasa dengan karenah klien yang entah apa-apa ditambah pula sikap majikan yang sentiasa menyebelahi pelanggan berbanding dirinya yang berhempas pula bagi memastian kelancaran urusan syarikat. Berita Safya meletak jawatan sampai ke pengetahuan Aniq. Dia yang menjadi punca kejadian itu berlaku, mula dihambat rasa bersalah. Baginya dia harus bertanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku. "I tahu... perbuatan I melampau! I'm so sorry Cik Safya!" - ANIQ "Mudah sangat you minta maaf!" - SAFYA. Namun, sejak dari peristiwa itu, wujud sekeping poskad bersama sebungkus makanan menemani hari-hari yang berlalu. Kau dan aku adalah sebuah rasa. Rasa yang tumbuh lalu bercambah menjadi cinta. Haih, lain macam sungguh kiriman poskad yang diterima. Semakin hari semakin puitis. Dan poskad yang Safya terima hari itu nyata berbeza berbanding sebelumsebelum ini. Safya dihambat keliru dan kabur tentang si pengirim rahsia itu sehinggalah satu panggilan telefon merungkai misteri si pemberi poskad yang saban hari tidak putus asa melayangkan kata-kata puitis untuk tatapan matanya. Yang hilang senyumanmu. Yang kulihat raut sepimu. Kembalilah tersenyum. Kerana aku rindu pada pesonamu. Siapakah jejaka itu? Adakah Aniq yang masih tegar menanti kata maaf? Atau Tunku Safwan yang baik hati orangnya? Atau itu semua kerjanya Si Agus, teman sepejabat? Semuanya bakal terjawab dalam naskah Pasangan Yang Ditakdirkan.