Benarlah hidayah itu milik Ilahi. Hidayah yang diperolehi Diana membuatkan dia serta-merta meninggalkan kehidupan lamanya yang penuh dengan dosa. Dek penghijrahannya itu, Ejaz terbuka hati untuk menyunting Diana menjadi bidadari dalam hidupnya. "I nak ambil you jadi isteri I." - EJAZ Diana tidak menyangka Ejaz sanggup melamarnya sedangkan Ejaz tahu siapa dirinya sebelum dia berhijrah. Terasa dirinya masih dihargai membuatkan Diana rasa terlalu bahagia. Usai bertunang, perhubungan mereka mula diuji apabila kisah silam Diana dipersoalkan. "Kamu tak malu ke ada isteri yang dah rosak nama macam tu? Semua orang keji dia. Kamu sanggup terima?" - PUAN SALMAH Walau mendapat tentangan daripada uminya, Ejaz tetap meneruskan pernikahannya. Tidak betah untuk dia meninggalkan Diana hanya kerana kisah silamnya. Ejaz yakin Diana sudah berubah sepenuhnya. Penghijrahan Diana membuatkan dirinya sentiasa diuji. Tidak cukup dengan mentua yang membenci dirinya, ditambah lagi dengan fitnah yang sangat mengaibkan dirinya. Terlalu berat pertuduhan yang dilemparkan kepadanya. "I tak mintak orang pandang mulia pada diri I ni. Pandang suci jauh sekali. Cukuplah kalau mereka beri ruang untuk I lalui perubahan hidup I ni dalam keadaan aman. Tanpa cacian. Tanpa hinaan. Sebab I ni tak sekuat mana pun." - DIANA. Ejaz kesal. Dugaan yang menimpa membuatkan Diana hampir mengalah. Mampukah dia terus membimbing bidadarinya dari terus berendam air mata yang tiada kesudahan? Mampukah Diana buktikan kepada mentuanya yang dirinya sudah berubah?