"Mulai hari ni, kau jangan cari aku lagi. Anggap saja Dahlia Sophia yang kau kenal selama ni dah mati." Mahligai cinta yang disangka utuh tanpa sebarang masalah, rupanya ada rahsia terbesar yang diselindungkan. Si isteri setengah mati mempercayai dan mempertahankan si suami demi cinta yang dianggap suci tanpa racun dari orang ketiga. "Jantan tak sedar diri. Aku pertahankan kau depan keluarga aku, kononnya kau ni baik, tapi rupanya haram jadah! Kau tipu aku hidup-hidup! Lelaki yang aku percaya, sayang, cinta selama ni, tak jujur dengan aku. Kau memang tak guna, Fairuz! Aku benci kau!" Kata-kata indah yang disemaikan membuatkan si isteri terbuai tanpa sebarang syak wasangka. Madu yang diharapkan, tapi racun yang diterimanya! "Saya cintakan awak seorang aje. Mana mungkin saya ada yang lain, Dahlia." Datang pula seorang jejaka yang berdarah Malaysian-Russian dalam hidup Dahlia. Pelbagai cara yang dilakukan Muhammad Zachary supaya dapat mencuri perhatian dan hati wanita tersebut. Geli hati melihatnya. "I believe, Allah has destined us together. You're the only one for me, and I'm the only one for you. Sudikah awak menjadi bidadari syurga saya, Dahlia? Saya betul-betul ikhlas nak menghalalkan awak." Dahlia bingung. Sejujurnya dia agak trauma dengan perkahwinannya bersama Fairuz. Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Pada masa yang sama, dia ragu-ragu dengan Zachary. Benarkah lelaki itu bisa menerima dirinya seadanya? Bagaimana jika Zachary berubah fikiran setelah berkahwin dengannya? Apa yang dia harus lakukan? Terima lamaran Muhammad Zachary atau sebaliknya?