Kerana memiliki seorang ayah yang tidak pernah menghargai dan menyayanginya, Khaira bersyukur dikurniakan abang tiri sebaik Qiel serta ibu tiri yang begitu menyayanginya seperti Puan Sahila. Namun bila Qiel mengambil keputusan untuk pergi meninggalkan rumah selepas kematian Puan Sahila, Khaira rasakan dunianya tidak lagi indah. Kepada siapa lagi dia nak menumpang kasih? Khaira sedar dia tak mampu untuk menidakkan hukum dan ketentuan Yang Maha Berkuasa. Yang pergi akan terus pergi, yang terikat akan terlerai. Tinggal berdua bersama Encik Hafizi sangat menbacar. Mental dan emosinya sering terdera. Segalanya meruncing saat Khaira dikejutkan dengan berita bahawa dia akan dikahwinkan dengan Hisham. Apatah lagi Khaira tahu dirinya sekadar dijadikan alat untuk melunas segala hutang ayahnya. Bukan dia tidak menolak, tapi ugutan demi ugutan memaksa Khaira merelakan dirinya menjadi isteri kepada lelaki yang tidak dia cintai. Pertolongan Qiel cuba diraih. Lelaki itu bersetuju membantu, namun hingga hari dia akan dibawa ke sempadan Qiel tak juga muncul. Khaira rasa ditipu. Nekad, dia melarikan diri dari rumah. Dia mencari Qiel. Khaira tahu tinggal serumah dengan Qiel adalah salah, namun hanya bersama dengan lelaki itu dia berasa selamat. Tak siapa menduga bila sesuatu yang Khaira cuba elak akhirnya berlaku. Dia ditemui semula oleh ayahnya. Sinar bahagia yang dirasai perlahan memudar. Khaira dipaksa berkahwin. Dalam keterpaksaan dia menerima ketentuan yang sama sekali tidak diinginkan. Khaira tahu dia dah tak mampu nak mengelak setelah ayah hampir saja membunuhnya. Saat hari pernikahan tiba, Qiel tiba-tiba datang bersama duit 50 ribu ringgit. Datangnya demi menuntut Khaira untuk dijadikan isteri. Khaira terkejut. Dari mana Qiel mendapatkan wang sebanyak itu? Mampukah Qiel 'merampas' Khaira dari Encik Hafizi?