"Nah, gambar. Satu untuk adik, satu untuk kakak."
Jemari kecil itu menghulurkan sekeping gambar yang sudah terkoyak kepada adik kembarnya. Separuh untuknya, separuh lagi untuk Idrees.
Idrees mencebik, dahinya berkerut.
"Dah koyak..."
"Tak apa. Nanti kita cantum balik. Adik simpan satu, kakak simpan satu. Gambar ni kan ada satu je," pujuk Suri, suaranya lembut menenangkan.
Gambar itu satu-satunya kenangan mereka berdua sewaktu bayi. Namun, kerana berebut, ia kini terkoyak dua.
Idrees menatap gambarnya dengan mata berkaca. "Dah tak cantik..." suaranya bergetar, hampir menangis.
Suri tersenyum kecil, menepuk lembut bahu adiknya. "Tak apa, kita boleh buat macam puzzle! Nanti bila dah besar, kita tampal balik. Mesti elok semula."
Idrees terdiam sejenak, merenung potongan gambar di tangannya. Perlahan-lahan, bibirnya yang muncung mula mengendur. Akhirnya, dia mengangguk.
Namun, tiba-tiba mata Idrees membulat. "Tangan kakak darah!"
Suri mengerling tangannya-ada calar kecil, mungkin terkena bucu meja tadi semasa mereka berebut gambar.
"Sakitnya! Huwa! Sorry kakak!" Idrees menangis lagi, menggenggam tangan Suri dengan penuh rasa bersalah.
Suri ketawa kecil, menggoncang tangan adiknya lembut. "Tak sakit pun! Kakak kan kuat!"
Idrees menyedut hingus, matanya merah. "Adik janji tak buat lagi dah. Adik jaga kakak."
Suri tersenyum, menepuk kepala adiknya. "Okey, kita sama-sama jaga."