Makmum Syurgaku (End)
Kerana cinta pandang pertama, Soraya nekad menerima lamaran seorang ustaz muda bernama Fakhrul Nazim. Wajahnya yang tenang, tutur kata penuh adab dan akhlaknya membuatkan Soraya yakin bahawa lelaki itu mampu menjadi imam dalam hidupnya. Walaupun baru beberapa kali bersua, Soraya percaya cinta selepas nikah akan mengajar mereka erti bahagia.
Namun, mahligai yang disangka bakal menjadi syurga buat mereka mula diuji dengan salah faham, sikap dingin dan jurang komunikasi. Soraya yang terlalu mengharapkan kasih sayang akhirnya terluka apabila merasakan cintanya tidak dihargai.
"Sampai hati awak... malukan saya pada semua orang. Saya manusia biasa, Fakhrul... saya ada hati. Saya ada perasaan."
Pertengkaran itu membuatkan Soraya menjauh dan menyekat segala komunikasi daripada Fakhrul Nazim. Namun, setelah dua minggu berlalu, rasa rindu mula menguasai hati. Soraya mula menyedari kesilapannya dan mahu kembali memperbaiki hubungan mereka.
Tetapi sebelum sempat mereka memulakan semula kisah cinta itu, Soraya dikejutkan dengan rahsia masa lalu Fakhrul Nazim.
Rupanya, sebelum mengenali Soraya, Fakhrul Nazim pernah bertunang dengan seorang wanita yang meninggal dunia akibat dipukul oleh dua lelaki kejam. Sejak kehilangan itu, Fakhrul Nazim berubah menjadi seorang lelaki yang terlalu takut untuk kehilangan insan yang dicintainya sekali lagi.
Kini, Soraya mula memahami bahawa di sebalik ketenangan Fakhrul Nazim, tersimpan luka yang begitu dalam.
Mampukah cinta mereka kembali mekar setelah hati terluka dan kepercayaan teruji?
Atau mungkinkah Fakhrul Nazim telah menemui 'kesempurnaan' yang selama ini dicari... bukan lagi dalam diri Soraya?