Hujan mulai reda. Tatapan matanya semakin pudar. "Awin, kita berjaya bukanlah dalam keadaan kita yakin yang kita akan berjaya. Kita berjaya dengan keyakinan bahawa Tuhan tidak akan pernah mengecewakan kita atas segala usaha-usaha kita. Dia lah Tuhan yang tidak akan pernah meninggalkan kita sendirian. Yakinlah, ada takdir indah di hujung-hujung cerita, meski sekarang masih kabur diselimuti ketakutan-ketakutan yang ada dalam diri." "Tapi aku ni seorang yang gagal beb. Bukan dalam pelajaran je. Hampir semua benda. Aku ni beban keluarga. Aku tak ada hala tuju hidup macam orang lain." "Mungkin kau rasa kau tak ada hala tuju hidup kerana kau masih belum dapat gapai impian yang tinggi seperti orang lain. Boleh jadi, kita yang terlalu takut untuk bermimpi. Kita meletakkan diri sendiri dalam ruangan yang sempit, sedangkan tidak ada yang menghalang kita untuk ke tempat yang lebih luas. Kita yang terbiasa menghukum diri sendiri atas kesalahan yang sebenarnya boleh jadi pendorong kita untuk memperbaiki diri." "Semua benda memang salah aku, jiya." Awin berdengus kecil lalu dia lantas berdiri untuk meninggalkan tempat tersebut. Belum sempat Awin mengatur langkah, Jiya kembali bersuara. "Bagi aku, yang paling penting adalah memaafkan diri sendiri."