Zulfan Raaif- suami penyayang. Lelaki setia. Murah senyuman. Seorang pereka hiasan dalaman yang berjaya. Semua orang senang berurusan dengan dia.
Atau sekurang-kurangnya, itu yang orang lain lihat pada luaran kehidupan lelaki itu.
Namun, selepas satu tragedi, segalanya berubah. Adra Marissa, isteri merangkap cinta pertamanya mati dalam keadaan misteri pada malam reunion dan ulang tahun pertama perkahwinan mereka.
Beberapa bulan kemudian, Raaif bernikah dengan Athilia Maisara, sahabat baiknya. Tetapi perkahwinan itu tidak lebih daripada sebuah sandiwara dalam kegelapan, sebuah lakonan palsu di atas pentas. Raaif tidak pernah memilih Maisara, dan tidak akan pernah.
Selepas Maisara keguguran, hubungan mereka menjadi dingin. Seperti dua orang asing yang tidak pernah saling mengenal.
Pada awalnya, Maisara percaya dia boleh membina kebahagiaan bersama lelaki itu. Ternyata wanita itu silap. Dia cuma hidup dalam bayang seorang wanita yang telah mati.
Dan semakin lama, Maisara mula menyedari sesuatu. Suaminya tidak seperti yang dia sangka.
Di sebalik wajah tenang dan senyuman sang jejaka, siapa sebenarnya Zulfan Raaif? Suami yang penuh kasih atau... lelaki yang masih terperangkap dalam bayang kematian isterinya?
Firdaus, seorang pegawai penyiasat menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan kes ini. Kes kematian Adra dibuka kembali selepas dua tahun. Namun, semakin dia hampir kepada kebenaran, semakin banyak kejadian misteri yang berlaku. Seolah-olah ada seseorang yang mengawal situasi ini sejak awal.
"Sampah selalunya akan cuba menyorok di celah-celah bandar, tapi bau busuknya tetap tersebar. Tak apa, aku tunggu. Sampai masa, dia sendiri akan tenggelam dalam najis yang dia cipta."
Dan Firdaus tidak pernah tahu bahawa permainan ini sudah lama bermula.
Kerana dalam dunia ini, yang paling licik bukanlah yang memburu, tetapi yang sudah lama mengawal papan catur.
Start : 24 March 2025
End :
Status : Slow update