Delaila tidak dilahirkan dalam kemuliaan.Dia hanya seorang bekas hamba, yang memerdekakan hidupnya sendiri selepas tuannya mati kerana dirompak dalam sebuah perjalanan jauh.
Namun segalanya berubah saat Delaila tersalah langkah kerana merompak lelaki di hutan iaitu Artha yang menyembunyikan status sebagai seorang Duke of Ace.
Pertemuan itu bukan hanya sekadar telah mempertemukannya dengan kuasa, tetapi dengan sesuatu yang lebih berbahaya iaitu takdir.
"Apa tujuan kau serang kami?!" - Artha.
"Aku sedang merompak kaulah, bodoh!" - Delaila.
Setelah pertemuan itu, Delaila masuk dengan satu tujuan ke Kota Ace, namun tidak lama kemudian ditangkap dan dibawa ke hadapan Duke Artha. Bukannya hukuman mati, malah yang dia terima adalah... peluang.
Duke Artha Vianto, seorang pemimpin muda yang tajam fikirannya, melihat sesuatu yang tiada sesiapa nampak dalam diri Delaila iaitu kemahuan untuk hidup, dan keberanian untuk mati.
"Berapa kali harus aku tegaskan, yang aku bukan hamba kau! Jikalau kau mahu hukum aku, hukum aku sebagai penjenayah! Aku sanggup dihukum..." - Delaila
"Aku sedang menawarkan pada kau kehidupan yang lebih baik, tetapi... kenapa kau harus memilih jalan susah, wahai si gadis?" - Artha
Tawaran itu, Delaila terima beserta dengan syarat yang dipateri di antara mereka berdua. Sekerdip mata, statusnya berubah. Menjadi 'hamba' kepada Pemangku Kerajaan Ace dan seterusnya dikurniakan Pingat Keberanian atas satu jasanya.
Tetapi kepercayaan itu datang dengan harga yang berat. Harapan Artha ada padanya, di saat dia bertempur atas nama Duke of Ace dengan seseorang yang dahagakan kuasa warisan milik Artha.
Bukan kerana dia diperintah, tetapi kerana hatinya yang mula percaya bahawa mungkin... hidupnya lebih dari sekadar untuk bertahan.
"Sebelum aku pancung kau... aku bercadang untuk menikmati tubuh kau dulu. Di tengah gelanggang ini, biarkan penyokong aku yang menjadi saksinya." - Arzac.
"Sudahi bicaramu, Arzac. Sebentar lagi kita akan bermula..." - Delaila.